Muslihat Sultan Siak Melawan Belanda

OLEH: Haziq Azhar

Hubungan Kesultanan Siak Inderapura dengan Belanda semakin renggang selepas kemangkatan Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah atau dikenali sebagai Raja Kechil.

Sultan Siak baharu, Sultan Muhammad Abdul Jalil Muzaffar Syah amat benci kepada Belanda kerana Belanda berniat mahu mendominasi perdagangan di Selat Melaka melalui pembinaan kubu di Pulau Guntung.

Sultan Muhammad Abdul Jalil Muzaffar Syah sedar bahawa tindakan Belanda bukan sahaja melemahkan penguasaan Siak malah menganggu hasil ekonomi Siak.

Belanda juga begitu angkuh dengan mengenakan cukai kepada penduduk Siak. Oleh itu, Sultan Muhammad Abdul Jalil Muzaffar Syah menghantar Laksamana Raja Dilaut kononnya berunding dengan Belanda.

Hasil rundingan tersebut tidak membuahkan hasil sehingga Siak tiada pilihan selain berperang dengan Belanda. Siak sedar kekuatan mereka belum tentu mampu mengalahkan Belanda. Ketegangan berlaku antara Belanda dengan Siak tercetusnya Perang Guntung.

Pada mulanya, Siak menghantar armada perang mereka dinamakan 'Harimau Buas' namun armada mereka tidak mampu mengalahkan Belanda kerana meriam Belanda dikatakan terlalu besar.

Siak sedar ramai askar telah terkorban akibat serangan tersebut apatah lagi bantuan ketenteraan yang diterima oleh Belanda dari Melaka.

Sultan Muhammad Abdul Jalil Muzaffar Syah mendapat satu buah akal fikiran untuk mengalahkan Belanda dengan muslihat.

Baginda menghantar utusan kononnya mahu berunding kembali dengan Belanda dan turut membawa hadiah berupa emas, berlian dan permata.

Tanpa disedari, askar Siak terus menyerang kubu tersebut dan Belanda begitu terkejut dengan serangan Siak kerana masih leka dengan hadiah emas yang sebenarnya umpan untuk membunuh mereka. Ramai askar Belanda terkorban akibat serangan mengejut daripada Siak.

Komandan Belanda turut dibunuh oleh menantu Sultan, Sayyid Umar Panglima dan Belanda terpaksa menyerah kalah kepada Siak.

Ini membuktikan kehebatan bangsa Melayu dalam bermain tipu muslihat dalam peperangan dan Perang Gantung adalah buktinya.

p/s: Gambar sekadar hiasan

___________________________
Haziq Azhar
Varia Kini - Federasi Sejarah

Comments