Mengkritik Burhanuddin Helmi Isu 'Kebangsaan Melayu'

OLEH: Taufiq Tuah


Burhanuddin Helmi merupakan salah seorang yang ada jasanya di dalam kemerdekaan Malaya. Kita tidak menafikan usaha-usahanya dalam membentuk minda Melayu pada zaman itu. Walaupun pandangannya yang agak berbeza dengan Melayu Konservatif, namun sebenarnya pandangan itu mampu menjadi salah satu sudut pandang yang berbeza di dalam pemikiran masyarakat.

Apa yang paling jelas ialah, Burhanuddin Helmi sebenarnya banyak dipengaruhi dengan idealis Soekarno Hatta. Banyak perkara yang telah dibuat oleh Soekarno akan cuba diadaptasi oleh Burhanuddin di Malaya. Contoh yang saya mahu tekankan di sini ialah semangat 'Bangsa Indonesia'.

Di Indonesia, Soekarno berjaya memupuk semangat 'Bangsa Indonesia' iaitu kesatuan jiwa yang menyatukan seluruh orang-orang Indonesia di bawah satu nama tanpa kepentingan suku, kaum, negeri dan kepulauan. Maka satu nama yang digunakan ketika itu ialah 'Bangsa Indonesia' dan istilah 'Indonesia' itu akhirnya berjaya dikongsi bersama seluruh suku di Indonesia.

Hal yang sama cuba dibuat oleh Burhanuddin Helmi. Namun istilah yang digunakan ialah 'Kebangsaan Melayu'. Kenapa Kebangsaan Melayu? Hal ini kerana pada hemat beliau, Melayu itu tersangat lah luas. Beliau merupakan tokoh yang terawal mengumumkan (universalize) istilah Melayu ke tahap yang lebih luas. Bagi beliau, Melayu itu bukan sahaja suku Melayu yang berada di Malaya, Sumatera dan Borneo tetapi juga sebenarnya meliputi juga seluruh kepulauan Indonesia dan juga Filipina.

Oleh sebab pemahaman beliau 'Melayu' ialah bangsa yang sangat umum, maka istilah 'Kebangsaan Melayu' pun diciptakan nisbah kepada bangsa-bangsa rumpun nusantara.

Namun perlu difahami pula apakah konsep 'Kebangsaan Melayu' yang cuba dibawa oleh beliau. Pertamanya, maksud istilah 'bangsa' itu sendiri sebenarnya umum dan boleh merujuk kepada kaum, negara, kerakyatan ataupun sekumpulan masyarakat. Maka istilah 'bangsa' yang digunakan di dalam 'Kebangsaan' juga sebenarnya bersifat umum. Namun apa yang difahami ialah, beliau cuba menisbahkan 'kebangsaan' itu sebagai 'kerakyatan'.

Ini bermakna pada hemat beliau, orang-orang bukan Melayu (Cina dan India) juga boleh menjadi 'Bangsa Melayu' tanpa mengubah gaya hidup mereka. Asalkan mereka itu setia kepada negeri-negeri Malaya dan sudah tidak ada setia dengan negara asal mereka.

Disebabkan 'Kebangsaan Melayu' ini bersifat kerakyatan, maka orang Melayu sendiri juga boleh menjadi bukan 'Kebangsaan Melayu' walaupun darahnya ialah Melayu. Sebab isu kebangsaan Melayu yang cuba dibawakan ialah bersifat 'kerakyatan' dan bukannya 'perkauman'. Ini menjadikan, semua rakyat di dalam Malaya akan disebut sebagai 'Bangsa Melayu' tidak mengira kaum dan suku mereka.

Jika dilihat kembali, kaedah ini sebenarnya sama sebagaimana yang berlaku di Thailand yang mana semua rakyat Thailand ialah bangsa Thai walaupun hakikatnya ada diantara mereka yang Melayu dan etnik-etnik minoriti yang lain. Darah asal mereka tersembunyi dengan kerakyatan mereka.

Kaedah yang cuba dikehadapankan oleh Burhanuddin inu sebenarnya agak kurang menyenangkan. Manakan tidak, orang-orang India dan Cina juga akhirnya boleh dipanggil sebagai 'Melayu'. Malah lebih tradis, orang yang memang sudah Melayu akhirnya terpaksa seolah-olah meminta untuk menjadi Melayu kerana jika dia Melayu yang bukan rakyat Malaya maka dia belum Bangsa Melayu.

Walaupun kita faham impian Burhanuddin ialah inginkan Malaya, Borneo dan Indonesia bersatu maka mungkin tidak ada isu Melayu yang bukan bangsa Melayu. Namun masa akan berubah dan Melayu masih ada di luar dari tanah Nusantara.

Menggunakan Istilah Melayu di dalam isu kerakyatan ini seolah-olah memberi mudah orang bukan nusantara untuk mengaku Melayu. Kita faham jika ini berlaku, ia akan menjadi musibah yang besar.

Dalam percubaan Burhanuddin mengaplikasikan 'Kebangsaan Melayu' persis 'Bangsa Indonesia', beliau tersilap satu perkara penting iaitu pemilihan Istilah. Istilah Indonesia dipilih sebagai istilah perpaduan kerana ia tidak melambangkan mana-mana etnik khas. Soekarno tidak memilih nama Jawaland atau Sundaland untuk menyatukan seluruh Indonesia kerana memahami nama itu bersifat ke-etnik-an. Sedangkan Sundaland ialah nama yang sesuai juga kerana nama Nusantara ini dahulunya memang Sundaland. Namun suku Sunda itu wujud dan ini akan membuatkan kaum lain rasa terhakis.

Burhanuddin memilih nama 'Melayu' kerana memandang istilah Melayu itu merangkumi nusantara. Hakikatnya bukan semua orang Nusantara bersetuju untuk menyebut 'Melayu' sebagai ganti 'Nusantara'. Hal ini kerana istilah 'Melayu' itu sendiri yang bersifat ke-etnik-an membuatkan kaum lain akan rasa Melayu lebih dominan dari kaum lain. Sama juga halnya ketika Burhanuddin cuba menyatukan seluruh nusantara dengan nama 'Melayu Raya'. Suku lain akan melihat diri mereka akan terhakis kerana kelihatan Melayu sebagai kaum dominan.

Jadi kesilapan beliau yang dapat dijelaskan di sini ialah:-
1. Memilih istilah Melayu sebagai fungsi kerakyatan.
2. Memilih istilah Melayu sebagai fungsi penyatuan segala suku nusantara pada waktu itu.

APA YANG BERLAKU AKHIRNYA

Alhamdulillah Malaya merdeka dan mengklafikasikan rakyat Malaya kepada dua iaitu orang 'Bumiputera' dan 'Bukan Bumiputera'. Hal ini bagi menjaga kedudukan orang Melayu sebagai tuan rumah. Sehingga Sabah dan Sarawak bergabung dengan Malaysia, istilah 'Bumiputera' ini telah meletakkan kaum asal Borneo di dalam kedudukannya sebagaimana orang Melayu. Maka istilah 'Kebangsaan Melayu' tidak realeven sama sekali.

Malah, Perlembagaan Malaya menyucikan lagi istilah Melayu dengan,

Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaya, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan (a) lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura atau (b) ia adalah keturunan dari seseorang yang tersebut.

Maka istilah Melayu di dalam perlembagaan telah digandingkan dengan 'Islam' , 'Adat Budaya Melayu', 'Bahasa Melayu' dan 'Persekutuan - Singapura'. Tanpa salah satu daripada ciri-ciri ini maka terlucutlah 'Melayu' dari diri mereka. Namun perlu juga akui bahawa takrifan Melayu di dalam perlembagaan ini agak longgar kerana akhirnya isu yang sama juga, orang bukan Melayu tapi Islam, beradat Melayu, berbahasa Melayu fasih dan dari setitik keturunan Melayu juga boleh ditakrif sebagai Melayu. Mungkin ini ialah hikmah daripada perpaduan yang bakal terjalin. Akhirnya orang Islam itu bukan sahaja bersaudara kerana imannya tetapi juga kerana takrifan Melayu. Konflik Melayu Peranakan Arab dan Melayu Peranakan Keling akhirnya selesai sama sekali.

Maka tepatlah sebagaimana yang disebutkan di dalam sajak Usman Awang yang bertajuk 'Melayu' yang berbunyi,

"....Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)...."

Mungkin istilah Melayu tak dapat menjadi slogan penyatuan seluruh Nusantara sebagaimana yang didambakan oleh Burhanuddin Helmi. Namun syukur juga lah kerana istilah Melayu berjaya menjadi tanda penyatuan di dalam Malaya (Semenanjung Malaysia).

Semoga Allah menerima segala amal-amal soleh Burhanuddin Helmi dan mengampuni segala dosa-dosanya. Walaupun hajat yang tidak kesampaian, namun hajatnya ialah hajat yang murni. Beliau berbudi pada tanah dikala ramai orang Melayu masih termangu menunggu padi tumbuh sendiri.

Wallahualam

___________________________
Taufiq Tuah 

Comments