OLEH: Taufiq Tuah
Adapun begitu, tetap juga berlaku di dalam sejarah rentetan penderhakaan demi penderhakaan terhadap kesultanan Melayu. Contoh paling masyhur ialah penderhakaan Hang Jebat kepada Melaka. Namun jika kita terus lagi mengamati rentetan sejarah, kita akan dapati kisah-kisah kerabat diraja sendiri yang juga ingin merampas pangkat diraja. Ini juga dikira sebagai penderhakaan. Tidak termasuk ada pembesar yang berpengaruh juga kadang cuba merampas kuasa raja.
Walaupun begitu banyak renteran penderhakaan daripada pelbagai zaman. Tidak pernah berlaku satu jenis bantahan terhadap sultan seperti yang akan diceritakan ini. Impaknya sehingga SEMUA KESULTANAN MELAYU di MALAYA tergugat.
Berbeza dengan rentetan sebelum ini yang mungkin hanya akan menggugat satu kerajaan dan satu sultan sahaja. Namun kali ini melibatkan seluruh 9 sultan di Malaya.
Hal ini berlaku sekita 1940-an selepas tahun Jepun menyerah kalah. ketika British cuba meminta persetujuan raja-raja Melayu untuk menubuhkan Malayan Union. Ketika itu jelas, bahawa raja-raja Melayu tidak mudah untuk bersetuju dengan Malayan Union.
Manakan tidak, kerana raja-raja Melayu juga sebenarnya masih memikirkan kepentingan Melayu rakyat marhaen. Oleh sebab itu, British menyebarkan tuduhan bahawa golongan elit Melayu sebenarnya bersubahat dengan Jepun.
Antara mangsa tuduhan ketika itu ialah Sultan Musa Udin dari Selangor. Kononnya baginda dinaik takhtakan oleh Jepun sedangkan Sultan Musa Udin ialah waris sah takhta Selangor. Tuduhan itu berjaya sehingga sehingga baginda ditahan di tahanan Kuala Lumpur dan kemudiannya di buang negeri Pulau Kokos.
Sebenarnya tuduhan ini ialah bentuk ugutan kepada raja-raja Melayu lainnya. Isyarat bahawa mana-mana raja yang enggan bersetuju untuk menanda tangani Malayan Union, maka raja-raja ini juga akan mendapat nasib yang sama.
Selepas ugutan ini dibuat, banyak lah sultan-sultan yang digulingkan dan digantikan dengan sultan yang dipilih oleh British. Sultan Ali di Terengganu, Syed Hamzah (waris sah) juga digulingkan. Maka semakin nyatalah bahawa semua raja-raja Melayu ini tersepit dan tidak ada jalan lain selain bersetuju dengan Malayan Union.
Maka khabar tentang persetujuan raja-raja Melayu kepada Malayan Union ini telah tersebar kepada orang awam. Maka orang-orang Melayu pun mulai gusar kerana memahami ini merupakan malapetaka.
Oleh sebab itu, orang-orang Melayu dengan tekanan, menghidupkan kembali Persatuan Melayu Selangor, Persatuan Melayu Perak dan Persatuan Melayu Pahang. Malah muncul lagi persatuan-persatuan Melayu yang lain sebagai tanda marah kepada sultan-sultan Melayu.
Benar, kedudukan raja Melayu akhirnya digugat oleh orang-orang Melayu sendiri. Orang-orang Melayu ketika itu fikir bahawa raja-raja Melayu tidak lagi mampu menjaga hak-hak orang Melayu. Maka orang Melayu lebih mengharapkan persatuan-persatuan Melayu ini sebagai tekanan kepada British. Ramai orang Melayu menganggap raja-raja Melayu ini mudah diugut oleh British, maka persatuan-persatuan ini lah yang akan menyampaikan suara orang Melayu.
Buat pertama kali munculnya persatuan-persatuan moden Melayu yang melawan raja-raja Melayu sendiri. Hal ini lebih jelas apabila Mohamad Yunus Hamidi dari Persatuan Melayu Selangor mengutuskan amaran kepada Sultan Alam Shah Selangor seperti berikut,
"...Dari jauh hamba patek menyusun jari yang sepuluh menyembahkan bahawa dengan menanda-tangani treaty MacMichael itu Tuanku telah membelakangi rakyat Tuanku, diharap jangalah Tuanku murka sekira-kiranya rakyat Tuanku di suatu masa kelak akan membelakangi Tuanku..."
Begitu juga telah dikeluarkan artikel daripada Majalah Majlis, Januari 1946,
"Di negeri Perak, orang-orang rakyat Melayu kita Perak telah pecat, perturun seorang Sultannya daripada takhta kerajaan Perak, iaitu al-marhum Sultan Ismail dan ditabal al-marhum Sultan Abdullah menggantikannya..... Tatkala demikian adalah harus mana seorang raja atau sultan yang hendak sign mana-mana surat treaty menyerah hak-hak negeri kepada mana-mana pihak yang lain, jika lebih dahulu tiada mendapat persetujuan rakyat negeri adakah surat-surat treaty itu diakui sah?"
Hujah ini mengemukakan seolah-olah orang-orang Melayu sendiri lah yang ada hak mewakili orang Melayu dan bukan lagi raja-raja Melayu. Sehingga majalah Majlis akhirnya mengatakan slogan "Tiada Raja Tiada Rakyat" sudah tidak boleh diterima.
Buat pertama kalinya Melayu di Malaya secara beramai-ramai telah memutuskan ketaatan kepada raja-raja Melayu. Buat pertama kalinya institusi diraja Melayu dikritik oleh golongan konservatif sendiri di Malaya malah secara terang-terangan. Titah-titah raja Melayu ketika itu hampir sahaja tiada nilainya lagi kepada orang Melayu.
Hal ini berlarutan sehinggalah Dato' Onn Jaafar meredakan keadaan. Beliau berjaya mengumpulkan orang Melayu di Hotel Stesyen di Kuala Lumpur pada 1 April 1946. Tarikh yang sama juga raja-raja Melayu menghadiri pelantikan rasmi Sir Edward Gent sebagai gabenor pertama.
Pada hari itu, Dato' Onn Jaafar melaungkan "Daulat Tuanku" sebagai semangat kepada raja-raja Melayu agar menolak Malayan Union. Beliau juga berucap, "Hari ini kita telah membina Kesatuan Melayu" yang merujuk kepada kesatuan hubungan sultan dan rakyat yang kembali jernih.
Keesokan harinya raja-raja mengadakan sidang akhbar dan mengumumkan mereka menolak perjanjian MacMichael (Malayan Union). Begitulah tamatnya konflik Sultan-Rakyat di Malaya.
JALUR MASA (TIMELINE) MUDAH
British Mengugut Raja-Raja Melayu menanda tangani Malayan Union →Raja-raja enggan bersetuju →Sultan Selangor dibuang negeri sebagai tekanan kepada raja-raja Melayu → Raja-raja terpaksa mempersetujui → Rakyat berang dengan sultan → Dato' Onn Jaafar menjernihkan keadaan.
IBRAH DAN PENGAJARAN
1. Raja-raja Melayu sebenarnya sedang tersepit diwaktu itu. Jika tidak bersetuju, khuatir kedudukan raja akan diganti dengan yang pro-British. Namun jika bersetuju, terpaksalah menghadapi kemarahan orang Melayu.
2. Usaha orang Melayu memarahi sultan bertubi-tubi di akhbar-akhbar dan majalah sebenarnya tidak memberi keuntungan. Sepatutnya tekanan diberikan kepada MacMichael yang menjadi kepala agenda ini.
3. Sepatutnya orang Melayu perlu bekerjasama dengan raja-raja Melayu sejak awal lagi. Perbincangan bersama pemerintah dan rakyat ini lah yang akhirnya menyelesaikan masalah Malayan Union dan masalah amarah Melayu kepada raja selama ini. Orang Melayu boleh memberikan semangat dan sokongan telus kepada raja Melayu bagi menentang British.
4. Jika konflik sultan dengan rakyat ini tidak diselesaikan, kemungkinan besar Malayan Union akan ditandatangani. Malah mungkin juga raja-raja Melayu ini akan jatuh kerana tiada lagi Melayu yang mentaati mereka. Raja-raja Melayu hampir jatuh ialah kerana orang Melayu sendiri.
5. Jangan lah kita ulangi silap kita. Kuatkan sokongan kita kepada raja-raja Melayu (di dalam hal makruf) dan berbincanglah dengan baik bersama mereka ketika mereka berbuat kemungkaran.
Wallahualam
___________________________
Taufiq Tuah
Telegram: https://t.me/revolusimelayubaru
Instagram: https://www.instagram.com/revolusimelayubaru
_____________________________

Comments
Post a Comment