OLEH: Freddie Aziz Jasbindar
Sebelum terjadinya rusuhan kaum terbesar di negara kita selepas perang dunia ke 2 pada 13 Mei 1969, beberapa rusuhan kaum juga pernah berlaku di beberapa buah negeri di Tanah Melayu termasuklah Negeri Sembilan.
Dikatakan rusuhan kaum yang telah berlaku di Padang Lebar, Negeri Sembilan adalah antara peristiwa paling buruk yang pernah diceritakan.
Rusuhan kaum yang tercetus akibat daripada peristiwa amuk di Padang Lebar berdekatan Pekan Batu Kikir, Negeri Sembilan terjadi 23 tahun sebelum peristiwa 13 Mei iaitu pada tarikh 6 November 1946.
Peristiwa rusuhan di Padang Lebar, Negeri Sembilan ini bukanlah memberi kesinambungan kepada peristiwa 13 Mei yang melanda negara kita, tetapi ia punyai kaitan yang cukup rapat dengan perang di Batu Kikir, Negeri Sembilan.
Kisahnya waktu itu Tanah Melayu dikuasai oleh komunis dan peraturan-peraturan serta larangan-larangan yang dikenakan oleh ahli Bintang Tiga secara tidak sengaja telah mengakibatkan tercetusnya perang Batu Kikir.
Dalam peristiwa rusuhan kaum di Padang Lebar, orang kampung telah membunuh hampir semua penduduk yang berketurunan Cina di pekan Padang Lebar. Peristiwa itu berlaku berpunca daripada akibat rasa tertekan orang Melayu dengan kezaliman pemerintahan Bintang Tiga yang majoritinya orang cina.
Kebanyakan ahli Bintang Tiga berpengkalan di dalam hutan, tempat memecah batu berhampiran Kampung Serting. Pada waktu itu, pekan Simpang Pertang (Pekan Batu Kikir) adalah markas besar buat Bintang Tiga. Mereka menjadikan gua-gua di hutan berhampiran sebagai tempat persembunyian.
Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, ahli-ahli pasukan Bintang Tiga mula keluar dari hutan. Mereka mula bertindak ganas ke atas orang Melayu dan menganggap mereka telah menjadi tali barut Jepun. Kesempatan ini diambil oleh orang-orang cina di Padang Lebar untuk menganiaya orang Melayu.
Ahli-ahli Bintang Tiga menangkap dan menghukum ramai orang Melayu walaupun atas kesalahan paling kecil seperti mempertikai harga ikan yang mahal yang dijual orang Cina. Kesalahan itu dijadikan isu bagi mereka sehinggakan si pembeli dikenakan hukuman mati.
Selain itu ada juga didenda dengan jumlah yang tidak munasabah. Antaranya dikenakan denda dengan membayar satu pikul daging kambing, wang enam puluh ribu ringgit, dua tahil emas dan sebatang pen Parker.
Denda yang tidak munasabah ini bertujuan untuk menghukum orang tersebut dengan lebih berat memandangkan mereka tidak mampu membayar denda yang dikenakan. Sejak Bintang Tiga berkuasa, boleh dikatakan ramai orang Melayu telah dihukum dan dibunuh.
Dalam pada masa yang sama ahli Bintang Tiga teruskan keganasan mereka dengan pergi dari satu rumah ke satu rumah orang melayu hanya kerana untuk mencari kesalahan orang melayu.
Oleh yang demikian, kemarahan orang melayu memuncak apabila terdapat berita dari Pekan Lebar yang mana ahli Bintang Tiga telah menangkap 40 orang melayu dalam masa 2 minggu.
Orang melayu mula bersepakat dan merancang untuk menghapuskan kesemua orang cina di pekan Padang Lebar. Maka tercetuslah peristiwa amuk Padang Lebar yang amat gerun dan tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini.
Antara orang yang bertanggungjawab mengetuai amukan tersebut adalah Haji Dollah. Beliau bersama-sama dengan penduduk setempat telah melakukan persediaan yang rapi bagi menghadapi amukan ini antaranya bertemu dengan Kiai Selamat (seorang yang alim dan arif dalam ilmu persilatan) di Kampung Lonek untuk menuntut ilmu persilatan.
Haji Dollah dan orang-orang kampung mula berhimpun di pekan Padang Lebar untuk memulakan rancangan mereka. Mereka berpecah dan berkumpul berasingan di sepanjang jalan di pekan kecil itu.
Dikatakan amukan dimulakan oleh Datuk Nara Sutin Bin Daim yang merupakan seorang guru dan diikuti oleh anak-anak muridnya. Maka ramailah orang Cina dibunuh oleh orang melayu dalam peristiwa berdarah itu.
Kebanyakan mereka yang terbunuh telah dipenggal kepalanya oleh orang melayu yang melakukan amukan tersebut. Akibat dendam kesumat terhadap mereka, dikatakan tidak ada satu orang cina pun yang hidup melainkan seorang sahaja yang bernama See Kun.
See Kun dikatakan telah berjaya melarikan diri walaupun mengalami kecederaan di bahagian perut dan terselamat selepas mendapat rawatan di pekan Kuala Pilah.
Dia adalah merupakan saksi utama dalam peristiwa amukan tersebut. Mangsa-mangsa yang dibunuh, kebanyakannya dibunuh oleh mereka yang berdendam atas kematian ahli keluarga mereka.
Kejadian tersebut akhirnya telah sampai ke pengetahuan pihak atasan Bintang Tiga. Satu pasukan Bintang Tiga telah dihantar ke pekan Padang Lebar dengan bertujuan untuk melawan dan menuntut bela.
Semasa dalam perjalanan, mereka telah dihalang oleh satu pasukan tentera Gurkha yang telah diarahkan supaya melindungi orang-orang Melayu di sekitar pekan Padang Lebar.
Oleh sebab hampa dihalang memasuki kawasan pekan Padang Lebar, mereka sempat membunuh seorang Melayu yang kebetulan berada di situ. Ekoran daripada peristiwa amukan itu, pihak berkuasa telah menahan 11 orang melayu penduduk tempatan dan dijatuhkan hukuman gantung.
Walau bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu hukuman gantung telah digantikan dengan hukuman penjara. Pihak berkuasa pada ketika itu telah mengeluarkan perintah melarang orang ramai membawa senjata tajam apabila keluar ke pekan.
Pihak Bintang Tiga turut membantu memastikan semua penduduk mematuhi perintah tersebut. Larangan tersebut telah membawa padah pada pihak berkuasa kerana ia menjadi alasan berlakunya pertumpahan darah bagi kali kedua.
Kali ini pertumpahan darah berlaku di pekan Batu Kikir. Peristiwa ini terjadi tidak sampai seminggu daripada peristiwa di pekan Padang Lebar.
Walaubagaimanapun, peristiwa hitam ini perlu diteliti kerana ianya memberi pengajaran tentang kehidupan yang harmoni datang dari kepercayaan dari satu kaum kepada satu kaum yang lain untuk tinggal bersama di dalam satu tempat.
___________________________
Freddie Aziz Jasbindar
Telegram: https://t.me/revolusimelayubaru
Instagram: https://www.instagram.com/revolusimelayubaru
_____________________________
Comments
Post a Comment