Adakah Benar Law of Attraction Ajaran Rasulullah?

OLEH: Ustaz Suhili Nain

PENDAHULUAN.

=======

Tersebar satu video pendek, berdurasi lebih kurang 2 minit, menyatakan bahawa ajaran Law of Attraction adalah ajaran Rasulullah SAW, dengan menyatakan 4 dalil daripada hadis untuk menyokong dakwaan tersebut. 

Justeru, dalam artikel ini saya akan mengupas mengenai dakwaan video tersebut, adakah benar bahawa ajaran Law of Attraction ini diajarkan oleh Rasulullah SAW ataupun sebaliknya. Selepas ini saya akan menyebut Law of Attraction sebagai Hukum Tarikan.

.


=======

APA ITU HUKUM TARIKAN (LAW OF ATTRACTION)?

======= 

Sebelum menjawab persoalan, adakah dalil hadis yang dikemukakan dalam video tersebut membuktikan Rasulullah SAW mengajar Hukum Tarikan ataupun tidak, terlebih dahulu kita perlu jelas apakah itu Hukum Tarikan.

Hukum Tarikan adalah satu fahaman yang menyatakan bahawa minda kita mempunyai kuasa menarik apa yang kita fokus. Minda yang memancarkan gelombang ke alam ini, berupa gelombang positif ataupun negatif, kemudian alam akan menerima pancaran gelombang itu, lalu ia akan memberikan kepada kita sesuai dengan gelombang yang kita hantar kepadanya.

Hukum Tarikan bukan berkenaan sudut pandang positif ataupun negatif semata-mata, ia adalah kepercayaan, bahawa minda kita benar-benar memiliki kuasa yang mengatur alam dan mencipta takdir. Manakala alam berkemampuan menunaikan apa yang kita hajati. 

Bagaimana Hukum Tarikan percaya manusia ada kuasa mengatur alam, mencipta takdir dan alam juga berkuasa memberikan apa dihajati manusia? 

Ini kerana, asas aqidah Hukum Tarikan adalah Pantheism, iaitu segala-gala yang wujud ini adalah wujud tuhan. Rhonda Byrne dalam buku The Secret mengatakan manusia ini adalah tuhan dalam bentuk fizikal.

Mungkin ada yang terkejut membaca konsep Hukum Tarikan ini, namun itulah hakikatnya. Ia bukan sekadar fikir positif, maka dapat benda baik, fikir negatif, maka dapat benda buruk. Terdapat falsafah kufur yang menjadi asas ajaran Hukum Tarikan ini.

Ada pun dakwaan yang disebut dalam video yang tersebar bahawa Hukum Tarikan sebagai bayangan fikiran bertukar menjadi realiti adalah satu penjelasan yang tidak menyeluruh.

.

=======

ADAKAH HUKUM TARIKAN BERLANDASKAN FIZIK KUANTUM?

=======

Tidak sama sekali. Segala dakwaan mengaitkan ia dengan atom, dunia quantum, eksperimen molekul air, Alberit Einstein adalah tidak benar. Malah, Hukum Tarikan sebenarnya berlawanan dengan fakta sains. 

Para ahli sains mengkritik Hukum Tarikan dengan menyatakan ia adalah pseudosains. Perkara ini saya ada ulas dalam daurah pembongkaran bahaya Hukum Tarikan yang saya muat naik di YouTube. Ringkasnya, Hukum Tarikan ini ada kepercayaan falsafah kufur yang tidak berlandaskan sains sama sekali.

.

=======

MENJELASKAN KEKELIRUAN MEMAHAMI DALIL HADIS.

=======

Dalam video yang tersebar, pembuat video menjelaskan 4 dalil hadis bagi menyokong Hukum Tarikan. Dalil yang disebutkan pembuat video adalah seperti berikut:

.

1. Suatu hari, Rasulullah SAW menjenguk seseorang yang sedang sakit demam. Baginda bersabda, Semoga penyakitmu ini menjadi penghapus dosamu." Orang itu menjawab, "Tapi ini adalah demam yang mendidih, yang jika menimpa orang tua yang sudah renta, boleh menyeretnya ke lubang kubur." Mendengar keluhan orang itu, Rasulullah SAW bersabda: "Kalau demikian anggapanmu, maka akan begitulah jadinya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

2. “Barangsiapa yang redha, maka keredhaan itu untuknya. Barangsiapa mengeluh, maka keluhan itu akan menjadi miliknya.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

3. “Salah satu kebahagiaan seseorang adalah keredhaannya menerima keputusan Allah." (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Nabi SAW bersabda: "Ketika seorang hamba berkata: Laa Haula Wa Laa Quwwata Illa Billah.” Maka Allah berfirman: "Lihatlah (hai para malaikat) orang ini telah menyerahkan urusannya kepada-Ku." (Hadis Riwayat Ahmad)

.

Penjelasan saya adalah seperti berikut:

.

Hadis pertama, perkataan Rasulullah SAW, “Kalau demikian anggapanmu, maka akan begitulah jadinya” tidak boleh dijadikan bukti Hukum Tarikan, kerana jika difahami sedemikian, maka ia akan membawa kefahaman bahawa mati dan hidup lelaki itu ditentukan oleh kehendaknya sendiri, bukan kehendak Allah SWT. Itu adalah dakwaan yang menyelisihi aqidah Islam. 

Apabila saya merujuk kitab hadis, Al-Imam Al-Bukhari, telah meletakkan hadis ini dalam bab “Tanda Kenabian” dalam Shahih Al-Bukhari. Berdasarkan syarah hadis, maksud kata-kata itu adalah pengakuan Rasulullah SAW bahawa lelaki itu akan meninggal dunia, lalu ia benar-benar berlaku. Itu adalah antara tanda kenabian dan mukjizat.

Hadis kedua dan ketiga, tiada kaitan dengan dakwaan bayangan fikiran akan menjadi realiti. Ia hanya menyebut berkenaan siapa yang reda dengan ujian, qada’ dan qadar Allah SWT, maka dia akan beroleh reda Allah SWT dan bahagia dalam hidupnya.

Hadis keempat, adalah dalil batilnya ajaran Hukum Tarikan, bukan menyokongnya. Ini kerana, ucapan “Laa hawla walaa quwwata illa billah” bermaksud, tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuasaan Allah SWT, sedangkan Hukum Tarikan mengajarkan bahawa minda manusia berkuasa, memancarkan gelombang positif ataupun negatif sepanjang masa, berupaya mengatur alam, malah mencipta takdir manusia seperti yang didakwa dalam buku The Secret oleh Rhonda Byrne.

Menyatakan Rasulullah SAW mengajar aqidah Hukum Tarikan adalah dakwaan yang cukup berat, kerana asas Hukum Tarikan adalah Pantheism, segala wujud adalah tuhan, akan membawa kepada menghalalkan penyembahan berhala.

.

=======

KESIMPULAN.

=======

Video yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan Hukum Tarikan adalah satu video yang penuh dengan kekeliruan, malah jelas pembuat video sebenarnya tidak memahami konsep Hukum Tarikan yang sebenar. Begitu juga, pembuat video telah terkeliru dalam memahami 4 dalil hadis yang dinyatakan. 

Hukum Tarikan adalah satu perbahasan yang besar, ia melibatkan aqidah. Perkara ini telah dikritik oleh para ulama Islam, boleh rujuk dalam video Membongkar Bahaya Ajaran Hukum Tarikan.

https://www.youtube.com/watch?v=yb7-iojUHTw&t

Video tersebut bukanlah huraian yang cukup lengkap, kerana masih ada yang boleh saya tambah, apabila ada maklumat-maklumat baru yang saya perolehi selepas daurah tersebut bagi  membuktikan kesesatan dan kebatilan ajaran Hukum Tarikan.

Saya anjurkan juga untuk anda membaca artikel saya “Adakah Setiap Pemikiran, Perkataan, Perasaan Dan Tindakan Semuanya Adalah Doa?” yang menjelaskan kekeliruan golongan Hukum Tarikan terhadap pengertian doa.

https://www.facebook.com/suhili.nain/posts/4220413194653014 

Semoga apa disampaikan dalam artikel ini, dapat menjawab persoalan yang dikemukakan dalam perenggan terdahulu. Sekiranya anda rasa pembongkaran ini penting dan bermanfaat, jemput untuk klik KONGSI agar lebih ramai yang tahu bahawa ajaran Hukum Tarikan ini.

Sekiranya ada yang masih belum jelas ataupun ada persoalan, boleh tuliskan dalam ruangan komen di bawah, mungkin kita boleh membincangkannya bersama-sama, insya Allah.

Sekian.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments