Menuju PRU-15

 OLEH: Ahmad Fazrin Yahaya




Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil. Ia stabil dengan majoriti yang solid. Kita tidak akan pernah tahu apa yang bakal negara hadapi dalam setiap 5 tahun setelah PRU diadakan. Nasib negara tak sepatutnya dipertaruhkan dengan keinginan untuk mencuba dan memberi peluang kepada kerajaan baharu memerintah, kecuali lah sekiranya kerajaan sedia ada tersebut benar-benar terbukti sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir negara dengan teruk dan gagal membawa apa-apa manfaat dan memberi masa depan yang jelas untuk rakyat. 


Ramai yang komplen bahawa ahli politik asyik dengan berpolitiking di saat negara dihimpit dengan masalah Covid19 antara yang paling teruk di dunia pada masa ini. Sedangkan untuk mentadbir negara demokrasi berparlimen ini kita berhajat kepada majoriti yang solid untuk menguruskan negara dengan baik. Tanpa majoriti yang solid, kepimpinan tipis ini akan sentiasa diasak oleh politikus murahan dengan lompatan demi lompatan. Jadi bagaimana negara nak ditadbir dengan penuh fokus dan wawasan yang ada hala tuju yang jelas?


Tapi mereka yang komplen ini tidak sedar bahawa ahli politik ini juga lah yang kita harapkan untuk tadbir negara. Berapa banyak pelaburan baik yang masuk ke dalam negara kerana kebijaksanaan politik para ahli politik ini memenangi hati para pimpinan negara asing. Berapa banyak sumbangan dan bantuan bencana negara dapat dinikmati dari negara luar kerana hubungan baik yang dibina oleh para ahli politik ini.


Bukan semua ahli politik kerjanya politiking sahaja. Jangan nafikan jasa sesetengah dari mereka yang banyak juga dalam merangka polisi yang baik untuk rakyat dan negara. Jadi sudah menjadi tanggungjawab para ahli politik untuk memainkan peranan politik mereka apabila kerajaan yang diharap rakyat untuk menguruskan negara keluar dari pandemik tapi terus hilang punca walaupun setelah menjalani tempoh darurat selama 6 bulan.


UMNO sebagai sebuah parti politik tertua dan paling lama memegang tampuk pemerintahan, sudah pasti memiliki rasa tanggungjawab yang besar untuk memainkan peranan. Kebanyakan ahli parlimen UMNO telah memberi kerjasama baik setelah pembentukan kerajaan PN. Sokongan terus diberikan hinggalah setelah darurat berlalu selama 6 bulan, kes semakin mencanak, jika tiada sebarang usaha diambil oleh UMNO yang memiliki bilangan kerusi parlimen yang terbesar di Dewan Rakyat (sebelum lompatan berlaku), pastinya ia akan memberi satu bebanan rasa bersalah untuk terus menyokong PM.


Apatah lagi setelah titah YDPA yang merupakan pemerintah tertinggi negara yang jelas meminta agar sidang parlimen disegerakan, PM masih lagi belum menzahirkan apa-apa tindakan yang meyakinkan. Ini termasuk langkah-langkah Menteri MITI yang jelas tidak menggambarkan bahawa beliau bersama aspirasi kerajaan PN dan PM untuk mejayakan proses pemulihan negara dari ancaman Covid19.


Jadi, apa tanggungjawab kita sebagai rakyat selain berdoa, komen dan komplen ahli politik? Saya cadangkan:


1. Bila PRU15 nanti, pilihla parti atau gabungan parti politik yang ada pengalaman memerintah negara dan menjaga kebajikan rakyat. Usah terbuai lagi dengan keinginan cuba dan beri peluang 5 tahun. Ekonomi negara boleh runtuh dalam masa 22 bulan sahaja setelah dibina lama sejak merdeka. Usah terbuai juga lagi dengan manifesto harapan kosong yang direkacipta hanya untuk memberi harapan palsu demi undi rakyat.


- Jika anda rasa anda telah muak dan putus harap dengan para ahli politik yang ada, saya cadangkan anda dan anda yang seramai lebih kurang 14 juta orang pengundi yang berdaftar boleh daftar parti-parti baharu atau sebagai calon bebas bertanding untuk 222 kerusi parlimen dan 576 kerusi dun. Kita hanya perlukan 798 orang calon ahli politik muka baharu sahaja untuk kita walk-the-talk bagi memberi nafas baharu kepada politik negara. Ia hanya sekitar 0.0026% sahaja dari total populasi negara.


-Jika kita semua tak mampu ambil peranan ini, jadi memadailah kita memilih para ahli politik yang ada dan doakan banyak-banyak pada Allah agar mereka diberi hidayah untuk menjadi ahli politik yang baik dan bijak mentadbir negara.


2. Setelah kerajaan dengan majoriti solid terbentuk, desaklah kerajaan melalui pelbagai saluran untuk usulkan akta anti lompat parti. Kerana kita semua telah saksikan bagaimanan fenomena lompat parti ini benar-benar mengancam kestabilan negara. Tiada ahli politik yang tidak boleh dibeli. Sebagai tambahan, desak juga untuk diusulkan akta dana politik agar rakyat dapat tahu dari mana dan berapa parti-parti politik ini terima sumbangan untuk kelangsungan politik mereka. Dengan mudah rakyat boleh nilai apakah kecenderungan yang bakal diperjuangkan oleh parti-parti ini bila mereka jadi kerajaan. Jadi senang rakyat nak buat keputusan bila mengundi nanti.


3. Desak juga agar diusulkan pindaan perlembagaan untuk memberi lebih kuasa dan autoriti kepada YDPA dan Raja-Raja Melayu. Kita dapat lihat sejak pasca PRU14, YDPA dan institusi Beraja telah banyak kali diperlekehkan baik oleh ahli politik juga rakyat. Jika kita sebagai rakyat mengharapkan peranan lebih signifikan dari YDPA, wajiblah kita untuk mendesak agar parlimen mengusul dan meluluskan pindaan perlembagaan yang lebih memberi kuasa kepada YDPA. Baginda sebagai payung negara, rakyat dan kedaulatan agama Islam wajar sekali diberi satu kuasa yang hampir kepada mutlak (jika bukan sepenuhnya mutlak) untuk membuat sebarang titah keputusan yang penting dan muktamad di saat-saat negara dalam musibah dan bencana, tanpa ada sebarang cabaran pemimpin bawahan yang terdedah kepada unsur politik.


4. Ajar diri kita untuk tidak termakan cerita rekaan dan fitnah terutama pada waktu kempen PRU nanti. Dapat berita pelik, tabayyun lah dahulu. Tersilap tidak percaya lebih baik dari tersilap menghukum orang itu salah hanya berdasarkan berita palsu. 


5. Bersyukurlah bila kita dapat sebuah kerajaan yang telah banyak menjaga kebajikan rakyat. Nak kerajaan sempurna untuk penuhi semua keinginan perut kita, sampai kiamat pun kita takkan dapat. Ada kerajaan negara Arab yang tak pernah kenakan cukai walaupun satu jenis cukai pun, berikan pendidikan percuma, berikan gaji tinggi, sediakan kesihatan percuma dan terbaik, pun masih ada dari kalangan rakyat mereka yang komplen dan tak puas hati.


Semua cadangan di atas hanya mampu kita laksanakan jika sebuah kerajaan baru dengan majoriti solid terbentuk. Jika tidak, episod sama pasca PRU14 akan kita tonton dan saksikan sekali lagi setelah tamat PRU15.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments