OLEH : Saufy Jauhary
Pernahkah anda rasa ingin mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA)? Bolehkah rakyat biasa menulis surat kepada baginda?
Sebenarnya setiap rakyat Malaysia tidak dilarang untuk mengutus surat kepada baginda. Surat kepada Yang di-Pertuan Agong disebutkan sebagai warkah. Lebih tepat lagi Warkah al-Ikhlas.
Sebagaimana surat-surat yang lain, warkah al-Ikhlas terbahagi kepada dua jenis iaitu warkah rasmi dan warkah tidak rasmi. Kedua-dua jenis warkah ini mempunyai format dalam bentuk tersendiri. Pada dasarnya bentuk warkah tersebut adalah daripada bentuk warkah-warkah zaman dahulukala. Cuma bahasanya dimodenkan sedikit bersesuaian dengan keadaan semasa tanpa meninggalkan bahasa istana .
Warkah rasmi mempunyai beberapa jenis, iaitu:-
FORMAT WARKAH TIDAK RASMI
1) Dimestikan menggunakan laras bahasa Istana.
2) Pada permulaan warkah (kepala surat), ditulis sama ada huruf arab atau rumi dengan “Qaulahu al-Haq” ataupun “al-Mustahaq”. Kalimah "al-Mustahaq" adalah untuk warkah yang menyatakan tentang hal-hal yang dirasakan penting oleh pengirim.
3) Mempunyai ayat sembah seperti “Daulat Tuanku” ataupun “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun” atau sekadar “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun”. Hendaklah ayat sembah ini ditulis bagi setiap kali memulakan perenggan baru.
4) Pada perenggan pertama hendaklah memulai dengan memperkenalkan diri dengan menyatakan nama penuh dan tempat tinggal. Kemudian menyertakan doa kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
5) Pada akhirnya selepas tandatangan disebelah kanan surat, hendaklah dituliskan lokasi warkah tersebut dikarang berserta dengan tarikh di sebelah kiri surat.
6) Si pengirim yang tidak dikenali oleh baginda seeloknya mengirim surat kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan dikepilkan sekali warkah tersebut.
Contoh Warkah al-Ikhlas kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (warkah tidak rasmi):-
Bismillahirrahmanirrahim
Qaulahu al-Haq
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Daulat Tuanku syah alam zillullahu fil alam.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, harapkan diampuni sembah patik *hamba tua/*hamba didik/*pacal (sebutkan nama penuh) yang hina bernaungkan diri di bawah panji-panji keadilan di (sebutkan alamat penuh termasuk nama kampung, mukim, dan negeri). Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Allah ‘Azza Wajalla apalah jua kiranya bertelut menghadap ke bawah tapak cerpu Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, *Sultan/*Raja/*Tuanku (sebutkan nama penuh dan gelarannya) yang bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan Istana Negara dengan beroleh aman kesejahteraannya fiddunya wal akhirah khaladallahu taala mulkahu wa Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong wa abad adlahu wa ihsanah, amin ya rabbal a’lamin.
Ampun Tuanku beribu-beribu ampun,
Waba’dahu daripada itu, adapun ehwal warkah al-ikhlas ini dipersembahkan dengan penuh hormat dan takzimnya adalah untuk___________________________________________________________________________________________________________(nyatakan isi warkah)
Ampun Tuanku,
Demikianlah warkah yang tidak sepertinya ini yang teriring dengan maksud dan tujuannya serta iringan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala mudah-mudahan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku berdua, Putera-putera, Puteri-puteri dan seluruh kerabat sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah S.W.T. , dilanjutkan usia zaman dan sentiasa berada dalam sihat walafiat selama-lamanya.
Patik *hamba tua/*hamba didik/*pacal yang menjunjung titah,
(tandatangan dan nama penuh si pengirim)
Termaktub di __________(sebutkan alamat)
Pada __________(tarikh Masihi)
Bersamaan ________(tarikh hijrah)
Pada muka sampul surat, hendaklah ditulis:-
Kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,
*Sultan/*Raja/*Tuanku (sebutkan nama penuh dan gelarannya)
Istana Negara
Jalan Tuanku Abdul Halim
50480, KUALA LUMPUR
03-6200 1000
Ataupun dituliskan surat ditujukan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu dengan mengepilkan warkah tersebut dengan memohon beliau menyampaikan warkah tersebut kepada baginda.
YBhg. Kolonel Datuk Nazim bin Mohd Alim (Bersara)
Setiausaha Sulit Kanan kepada
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI
Istana Negara
Jalan Tuanku Abdul Halim
50480, KUALA LUMPUR
03-6200 1024
03-6205 2277
Berikut adalah Warkah al-Ikhlas bertarikh 29 Julai 2021 daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Y.A.B Perdana Menteri yang telah tular di media sosial pada 30 Julai 2021 :-
Rujukan:
1) Gelaran Dan Peraturan Melakukan Tataadab, V.W.Y. Tung, Terbitan Pelanduk Publications, Cetakan pertama 1989.
3) Warkah Melayu Lama, Ab. Razak Ab. Karim, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama 2006.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment