OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Deepavali secara literal bermaksud deretan atau susunan lampu. Sementara intipatinya terkandung dalam sebuah seloka "Tamaso ma jyotirgamaya" yang bermaksud "pimpinlah aku dari kegelapan kepada cahaya".
Masyarakat utara India meraikan Diwali (Deepavali) sempena kepulangan Sri Rama - penjelmaan ke-7 Dewa Vishnu - dan isterinya Sita ke negara Ayodhya selepas pengasingan di dalam hutan Dandaka selama 14 tahun. Dalam masa pengasingan itulah Rama mengalahkan Raja Ravana - bangsa kacukan antara manusia dan rakshasa iaitu bangsa makhluk jahat atau orang-orang berjiwa jahat.
Kaum India Utara merayakan Diwali sehari lewat daripada masyarakat di selatan, dan mereka juga menganggap Diwali sebagai perayaan untuk menyambut dan menyambut tahun baharu.
Manakala bagi masyarakat selatan India pula merayakan Deepavali sebagai perayaan untuk menandakan berakhirnya kejahatan dan permulaan kebaikan, sempena Dewa Krishna mengalahkan Narakasura si raja syaitan yang durjana.
Di ambang kematiannya, Narakasura memohon agar tidak ada yang meratapi kematiannya. Oleh kerana itulah masyarakat Hindu akan meraikannya dengan cahaya dan warna dan mengadakan perayaan Deepavali pada hari tersebut.
Selepas Narakasura mati maka Dewa Krishna pulang di awal pagi dan lalu dimandikan dengan minyak harum. Kerananya mandi awal pagi dengan minyak masih menjadi tradisi Deepavali sehingga kini.
Sementara itu pula bagi masyarakat barat India, Diwali dikaitkan dengan hari Dewa Vishnu - yang dalam penjelmaan sebagai Vamana - berjaya menyelamatkan Dewi Lakshmi dari penjara Raja Bali.
Daripada cerita diatas dapat disimpulkan bahawa Deepavali sangat berkait dengan para Dewa seperti Dewa Vishnu, Dewa Krishna dan Dewi Lakshmi.
Ada sedikit perbezaan antara Diwali dan Deepavali dimana Diwali dirayakan selama lima hari manakala Deepavali pula selama empat hari.
FILSAFAT HARI-HARI PERAYAAN CAHAYA
[Lima Hari Perayaan Diwali]
(1) Dhanteras
Hari pertama adalah untuk meraikan kelahiran Dewa Dhanvantari - tuhan kesihatan dan Ayurveda - yang akan disembah pada waktu petang. Pada hari ini juga Dewi Lakshmi disembah dan didoakan untuk kekayaan dan kemakmuran.
Hiasan Kolam Rangoli - hiasan tradisional di atas lantai - dibuat untuk mengalu-alukan Dewi Lakshmi sang Dewi Kekayaan dan Kemakmuran Pada malam hari, lampu tanah liat (diyas) terus dinyalakan sepanjang malam sebagai penghormatan kepada Dewi Lakshmi dan Dewa Dhanvantari.
(2) Naraka Chaturdashi atau Choti Diwali
Hari kedua ialah Naraka Chaturdashi atau Choti Diwali. Pada hari inilah Dewa Krishna membunuh syaitan Narakasura. Choti Diwali adalah hari apabila Diwali bermula.
Orang ramai akan bangun awal dan menyapu minyak aromatik pada tubuh mereka sebelum mandi. Ini dikatakan dapat menghapuskan segala dosa dan kekotoran. Mereka memakai pakaian baru, melakukan Puja dan menyalakan diyas (lampu tanah liat) serta bunga api.
(3) Lakshmi Puja
Hari ketiga berupa kemuncak Diwali. Hari ini memperingati kembalinya Dewa Rama ke Ayodhya selepas mengalahkan rakshasa Ravana. Juga pada hari ini munculnya Dewi Lakshmi dari lautan susu. Justru acara utama pada hari ini adalah melakukan puja kepada Dewi Lakshmi dimana Dewi Lakshmi dipercayai akan memasuki rumah dan memberkati orang ramai dengan nasib yang baik.
Lampu tanah liat, lilin atau lampu elektrik akan diletakkan di sekeliling rumah. Ahli keluarga bertukar hadiah dan berkumpul bersama untuk menyalakan bunga api.
(4) Govardhan Puja atau Padva
Hari keempat ialah Govardhan Puja atau Padva. Ia adalah hari apabila Sri Krishna menaklukkan keangkuhan Dewa Indra dengan mengangkat Gunung Govardhan yang besar.
Krishna ini dianggap penjemlaan ke-8 Dewa Vishnu. Malah ada pandangan yang beranggapan dia merupakan Kepribadian Tuhan Yang Maha Esa.
Mengikut lagenda, Dewa Indra murka dengan menurunkan hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir atas penduduk desa Vrindavana yang berada di Gunung setelah mereka tidak melakukan ritual pemujaan kepada dirinya sebaliknya pemujaan dilakukan kepada Gunung Govardhan yang menjadi tempat bercucuk-tanam serta menternak lembu para penduduk.
Bagi melindungi penduduk kampung dari banjir kilat akibat murka Dewa Indra maka Krishna mengangkat Gunung Govardhan lalu meminta seluruh penduduk serta haiwan peliharaan penduduk Vrindavan berlindung di bawah bukit yang tersebut. Perbuatan Krishna telah menyedarkan Dewa Indra lalu sang Dewa bertaubat.
Pada hari ini orang ramai membentuk sebuah bukit kecil yang biasanya dibuat daripada tahi lembu sebagai lambang Govardhan lalu memujanya.
(5) Bhai Dooj
Hari kelima dan terakhir ialah Bhai Dooj. Pada hari ini saudara perempuan akan menjemput saudara lelaki mereka untuk menjamu makan dan mengadakan upacara ‘tilak’.
Tilak atau 'tanda' biasanya dibuat di dahi, dibuat dengan tangan atau dengan acuan logam, menggunakan abu daripada api korban penyembahan, pes cendana, kunyit, tahi lembu, tanah liat, arang, atau plumbum merah.
[Empat Hari Perayaan Deepavali]
(1) Deepavali
Hari pertama adalah perayaan yang menandakan peristiwa Dewa Krishna mengalahkan raja syaitan Narakasura.
Pemerintahan Narakasura disamakan dengan kegelapan, dan terbunuhnya dilihat sebagai terhapusnya kegelapan untuk menyambut terang. Lantaran itu semasa Deepavali, lampu adalah peringatan bahawa kegelapan hanya boleh dihapuskan melalui cahaya.
(2) Lakshmi Puja
Hari kedua ialah Lakshmi Puja. Ia sama seperti dalam Diwali dimana Dewi Lakshmi muncul dari samudera susu pada hari ini. Oleh itu pada hari ini Dewi Lakshmi disembah untuk beroleh kekayaan dan kemakmuran.
(3) Karthika Suddha Padwa atau Bali Padyami
Pada hari ketiga ini menandakan kemunculan Dewa Vishnu yang menjelma di Bumi sebagai Vamana (kerdil) dan mengalahkan raja Bali - seorang berbangsa raksasa. Bali atau Mahabali in telah mengadakan perang melawan para dewa dan mengusir mereka dari syurga.
(4) Yama Dvitiya
Hari keempat adalah hari ketika Yama sang Dewa Kematian telah berpesta dengan saudara perempuannya. Dewa Yama telah meletakkan 'tilak' di dahi saudarinya untuk kesejahteraannya. Begitu juga, saudara perempuannya meletakkan tilak di dahi Dewa Yama untuk mendoakan kesejahteraan.
KESIMPULAN
Ini membuktikan betapa Diwali atau Deepavali bukanlah sebuah perayaan berteraskan budaya masyarakat India semata-mata. Sebaliknya Deepavali memadukan kerohanian, agama, budaya dan nilai sosial dalam menterjemahkan ajaran veda.
Ketika sebuah perayaan itu menyangkut dengan aqidah maka kita harus menahan diri dari terlibat dengan meraikannya.
Biarkanlah penganut agama tersebut meraikannya. Dan jika ada kesempatan maka terangkan pada mereka bahawa setiap agama memiliki peraturan maka peraturan agama Islam adalah tidak terlibat dalam perayaan agama lain. Sebaliknya jika sambutan yang tidak ada kaitan dengan agama, pasti umat Islam tidak dilarang untuk ikut serta.
Sesungguhnya inilah sebuah sikap toleransi dalam Islam.
Sebuah pesan dari Allah - yang harus umat Muhammad saw genggam erat:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku" (Al-Kafirun : 1 - 6)
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment