Sejarah Terhenti.

OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin.

Sejarah terhenti di Afrika Selatan, bermula 1652, apabila Syarikat Hindia Timur Belanda menguasai tanah tersebut sehingga diperkenalkan model buruh paksa dan perhambaan. Emas dan gading gajah adalah barang dagangan tersohor milik Afrika. 

Sejarah terhenti di Indonesia sejak ketibaan Belanda yang menjajah Melaka pada 1641 seterusnya berkonflik dengan Sultan Agung di Banten. Pulau-pulau di Indonesia adalah sumber bagi segala rotan, akar kayu, herba dan rempah ratus. 

Sejarah terhenti di India sejak 1757, apabila berlakunya perang Plassey antara EIC dengan Nawab di Bengal lalu menandakan langkah awal bagi penjarahan India yamg secara rasminya dijajah bermula 1858. Sebelumnya, India merupakan antara negara yang terkaya di dunia di bawah dinasti Mughal. Berlian Kohinoor adalah lambang kemegahan tersebut. 

Sejarah juga terhenti di Tanah Melayu selepas jatuhnya Melaka ke tangan Portugis pada 1511. Melaka adalah pusat kuasa Melayu ketika itu. Peristiwa ini turut menandakan permulaan siri penjajahan yang panjang, sehingga 1957. Melaka, pada zamannya, adalah antara pelabuhan terpenting dunia pada zamannya sehingga Tome Pires menulis dengan maksud lebih kurang, "Barangsiapa yang menguasai Melaka bermakna sedang menunggu untuk mencekik lehernya Venice". Venice adalah pelabuhan paling makmur di Eropah.

'Sejarah terhenti' maksudnya bermulanya era sejarah dikuasai dan dibentang oleh kelompok penjajah. Dunia ditawarkan dengan sejarah yang para penjajah ingin dunia tahu, bukan sejarah sebenar bangsa-bangsa yang dijajah. Tujuannya untuk menanamkan 'inferiority complex' kepada anak jajahan dan pada yang sama mengangkat martabat bangsa penjajah.

Saya menulis ini untuk merespon kepada persoalan yang ditimbulkan dalam medsos. "Apa pencapaian orang Melayu dari tahun 1511 hingga British mara pada abad ke-19? Built any cities? Or any new ports". Saudara, demikianlah natijah daripada penjajahan. Penjajahan adalah pemandulan. 

Kalau nak dibina semula kegemilangan, mulakan hari ini. Pertama, tumbangkan para pemimpin pengkhianat, penyamun, perasuah dan penjarah harta rakyat. Merdekakan akal, maka dengan sendirinya bangsa akan maju. 

#shmsejarah

-Sahul HM-



Comments