Entah macam mana klip podcast satu saluran ini telah tular dengan gantungnya mengatakan kapal Nabi Nuh berapa di Nusantara di atas gunung tertentu.
Isu yang sama telah banyak saya bantah dan rungkaikan pada penulisan-penulisan sebelum ini. Malah saya rasa ramai juga orang lain sentuh bab sama. Tapi entah bagaimana kedangkalan tersebar dan diangkat di persada media.
Benar, bodoh ialah produk percuma. Tapi tak perlu dipasarkan kebodohan itu kepada pengguna-pengguna awam yang sebenarnya tak perlukan pun produk itu.
Sejarah ini tidak jelas. Setidak-tidaknya, memerlukan bukti untuk mendakwa sesuatu peristiwa itu berlaku atau tidak. Bukti itu pula mestilah sejajar dengan sejarah. Rekod sejarah juga, jika diketahui di dalam rekod itu ada tokok tambah yang melampau maka jelas bukanlah rujukan yang patut dijadikan rujukan utama.
Sejarah ini tak semestinya kita menang. Tak semestinya yang indah-indah sahaja. Hakikatnya sejarah itu memang sangat banyak waktu kita di bawah. Jadi ketika ada sejarah kita seperti itu, insaf dan ambil iktibar. Tak ada manfaatnya kita menafikan semua itu. Jadikan tauladan dan sempadan.
Ketika sejarah kita itu hebat dan gemilang, jadikan sebagai motivasi. Jangan sampai kita sombong dan bongkak. Lupa diri dan bangga diri. Sehingga generasi hanya disajikan dengan manisnya kisah-kisah lama. Sehingga lupa yang hari ini, megah dahulu tiada lagi.
Terlalu terpukau dengan kemegahan lama, sehingga di saat ini hanya tersadung sendiri.
Sejarah ketika kita merekayasanya mengikut tekak kita, itu juga menipu. Itu juga berdosa. Itu juga mengkhianat bangsa. Itu juga perosak bangsa.
Melahirkan pentaksub-pentaksub bangsa yang rendah IQ-nya. Sorak kerana kehebatan palsu. Bertepuk dari sejarah yang dibuat-buat. Demi mengisi sukanya nafsu yang buta.
Taufiq Tuah
28.01.26 | 09.08.47
Comments
Post a Comment