Bani Jawi Yang Mengunggu Imam Mahdi Dan Tanda Kemunculannya


OLEH: Taufiq Tuah


Bani Jawi ialah nama lain kepada Melayu. Zaman berzaman juga menyebut jika ada orang mualaf, maka si mualaf akan dipanggil 'masuk jawi' ataupun makna lainnya masuk Melayu. Walaupun hakikatnya bangsa dan darah tidak boleh ditukar. Istilah itu hanyalah menunjukkan kait rapat diantara  Melayu dan Islam.

Kemudian hadir pula orang yang mengemukakan idea bahawa Bani Jawi ialah Bani Tamim (sebagaimana yang pernah RMB huraikan pada artikel sebelum ini). Juga muncul golongan yang menunggu kemunculab Imam Mahdi. Adakah boleh kita menunggu Imam Mahdi?


1. PANDANGAN PERTAMA mengatakan Imam Mahdi tidak akan muncul selagi sistam Khilafah tidak diadakan kembali. Kononnya Imam Mahdi hanya akan muncul apabila wujud sistem Khilafah dan akan mengambil takhta khilafah itu dengan mudah.

Oleh itu, golongan ini sedang cuba berkempen untuk Muslim membentuk Khilafah dan berpegang kepada panji Ar-Rayah dan Al-Liwa. 

Ada dua golongan orang yang berpandangan ini.

Hizbut Tahrir: Hanya berkempen dari segi penyebaran risalah dan wacana-wacana.

Daesh: Membentuk khilafah dengan ketenteraan.


2. PANDANGAN KEDUA ialah mereka yang merasakan Imam Mahdi sudah wujud. Lalu mereka kononnya sedang bersama di jalan Imam Mahdi dan menunggu waktu untuk bangkit. Pandangan ini ada daripada berberapa golongan.

Syiah:  Mendakwa Imam Mahdi sudah lahir dan termasuk di dalam Imam Maksum 12 Syiah. Sedang bersembunyi di dalam Gua.

Tarekat Sesat: Mendakwa pimpinan dan ulama mereka sebagai Imam Mahdi. Membentuk angkatan dan cuba merampas kuasa pemerintah sebagaimana mereka yang pernah merampas Mekah.

3. PANDANGAN KETIGA hanya menunggu sahaja di rumah.Menjalani kehidupan seperti biasa. Tetapi giat dalam hatinya berkata "Imam Mahdi akan datang dalam kalangan Melayu". 


PERSOALAN: Perlukah kita menunggu Imam Mahdi?

Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh kita menunggu Imam Mahdi. Hanya dalam hadisnya mengatakan 'jika' ada nanti, maka ikutilah Imam Mahdi. Tidaklah tahap menunggu sepertimana menunggu bila hujan mahu turun. Hal ini kerana ada isyarat hadis mengatakan tanda-tanda munculnya Imam Mahdi.

“Akan terjadi perselisihan setelah wafatnya seorang pemimpin, maka keluarlah seorang lelaki dari penduduk Madinah mencari perlindungan ke Mekah, lalu datanglah kepada lelaki ini beberapa orang dari penduduk Mekah, lalu mereka membaiat Imam Mahdi secara paksa, maka ia dibaiat di antara Rukun dengan Maqam Ibrahim (di depan Kaabah). Kemudian diutuslah sepasukan manusia dari penduduk Syam, maka mereka dibenamkan di sebuah daerah bernama Al-Baida yang berada di antara Mekah dan Madinah.” 
(HR Abu Dawud 3737)

Hadis diatas membawa kronologi bagaimana Imam Mahdi itu benar-benar Imam Mahdi. 

1. Terjadinya perselisihan kerana kematian seorang pemimpin.
★ Perselisihan kerana kematian pemimpin semamangnya banyak berlaku sepanjang sejarah peradaban mana-mana empayar. Jadi, tanda pertama ini agak samar untuk diamati.

2.Penduduk Mekah membaiat seorang warga Madinah (Imam Mahdi) secara paksa.
★Hal ini membuktikan bahawa Imam Mahdi tidak akan mengaku dirinya Imam Mahdi kerana hadis mengatakan dia dibaiat secara paksa. Malah adanya orang Melayu yang mengaku dirinya Imam Mahdi atau mungkin orang Yaman juga ada, itu semua ialah palsu kerana Imam Mahdi yang sebenar ialah orang Madinah.

3. Dibaiat di antara Rukun dan Makam Ibrahim di Kaabah.
★Maka mana-mana ketua yang dibaiat di luar Kaabah, nyata bahawa mereka bukan Imam Mahdi. Hal ini termasuklah Empayar Langkasuka Imam Mahdi yang pernah membuat onar di Istana Negara tempoh lalu. Juga bukan Imam Mahdi bagi mereka yang dibaiat di Yogjakarta atau yang dibaiat di Hadramaut. Imam Mahdi hanya dibaiat di Kaabah.

4. Tentera yang memburu Imam Mahdi akan terbenam di Al-Baida.
★ Akan ada sekumpulan orang yang ditelan oleh bumi di Al-Baida dalam perjalanan memburu Imam Mahdi. Tanda yang terakhir ini belum pernah dijumpai bermakna Imam Mahdi belum muncul di kalangan kita.


Kronologi ini akhirnya membuktikan bahawa kita tidak perlu menyediakan kerajaan untuknya. Tidak perlu menyediakan istana untuknya dan sebagainya. Imam Mahdi tidak dibaiat di Iraq atau di Syria. Imam Mahdi akan di baiat secara paksa dan di Kaabah.

Imam Mahdi akan hadir dengan masa yang dikehendaki Allah SWT yang mana Allah sengaja merahsiakannya. Tetapi Allah juga memberikan tanda-tanda Imam Mahdi itu yang benar atau palsu kerana mengetahui akan ada individu yang mengambil kesempatan atas nama mulia ini.

Walaupun Imam Mahdi belum muncul, Islam tetap perlu ditegakkan. Ajaran tauhid dan akidah Islam perlu ditegaskan. Hak dan kemanusiaan Islam perlu dipertahankan. Syariat Islam juga perlu dilaksanakan. Ketika adanya Imam Mahdi ataupun belum ada Imam Mahdi, Islam tetap Islam.

Bani Jawi ini banyak menunggu Imam Mahdi dengan alasan, itulah sahaja harapan Islam pada akhir zaman ini. Sedangkan kita tidak boleh putus harapan. Kita sebagai Muslim, perlulah terus mencuba dalam apa sahaja sektor dalam menegakkan Islam. 

Muslim di sektor kedoktoran, maka hujahkan lah bahawa Islam ada mengajar perubatan melalui Sunnah Rasulullah SAW.

Muslim di sektor politik, mestilah terus memperjuangkan syariat Islam dalam negara ini.

Muslim di sektor Media, perlu menangkis segala fitnah yang media antarabangsa  lemparkan terhadap Islam. Terus promosikan Islam secara meluas dengan penuh hikmah.

Muslim di sektor pendidikan mestilah mendidik generasi dengan ilmu yang sahih dan akhlak yang baik.

Semua Muslim memainkan peranan dalam menegakkan dan mempertahankan Islam. Walaupun ketika ketiadaan Imam Mahdi. Wallahualam.

___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________








Comments

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
    Replies
    1. selagi tiada dalil sahih daripada Al-Quran dan Hadis, maka segala teori hanyaah teori semata-mata. Insyallah kita boleh kembali merujuk kepada AlQuran dan Hadis

      Delete

Post a Comment