Huraian Wasiat Raja-Raja Melayu

OLEH: Taufiq Tuah


Kesultanan Melayu mempunyai keunikannya tersendiri. Kebiasaannya, setiap negara mempunyai seorang Sultan / Raja / Amir / Queen / King.  Misalnya England yang mempunyai seorang permaisuri berkuasa, Arab Saudi yang hanya seorang Raja berkuasa (Shariful Haramain).  Qatar dan Jordan juga hanya seorang Raja. Thailand juga seorang Raja. Brunei juga seorang Sultan. Tetapi di Malaysia, Malaysia mempunyai 9 orang sultan atas nama Kesultanan Melayu berkuasa di dalam Malaysia.

Ini membuktikan toleransi yang tinggi di dalam budaya Melayu sehinggakan Sultan Melayu sesama sultan Melayu boleh bersetuju membentuk persekutuan. Maka dalam hal ini, kita telusuri apakah wasiat yang disampaikan oleh raja-raja Melayu sewaktu mencapai pembentukan Malaya.

Wasiat Raja-raja Melayu merujuk kepada 7 wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 .

1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
★ Maka ini membuktikan semangat kita haruslah berpandukan pada satu persekutuan yang sama. Segala anasir yang mahu membentuk persekutuan lain seperti 'Sarawak Merdeka' ataupun 'Kerajaan Sulu Lahad Datu' adalah bertentangan dengan wasiat ini.


2.Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan  hutan simpan dan tanah simpan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain
★ Ini ialah bukti bahawa Kesultanan Melayu tidak bersifat perkauman terhadap bangsa lain. Masih diberikan peluang untuk bangsa lain untuk mempunyai tanah di dalam Malaysia.


3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
★ Maka Rejimen Askar Melayu sangat berkait rapat dengan institusi diraja kerana mereka memikul tanggungjawab menjaga rakyat Malaysia daripada segala ancaman yang mana tugas itu diberikan oleh raja-raja Melayu. Begitulah tugasnya seorang pemimpin (Raja) iaitu menjaga dan melindungi rakyatnya.


4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.
★Maka mana-mana idea buruk yang cuba menjadikan Malaysia Negara Republik ataupun yang cuba menjatuhkan institusi diraja adalah melanggar wasiat ini.


5. Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan.
★ Oleh itu, Islam ialah agama utama dalam Islam. Setiap penganut agama lain mestilah menghormati keutamaan ini. Juga kita sesama yang berlainan agama tidak boleh sekali-kali mengutuk atau menghina agama lain. Hal ini bagi menjaga keharmonian yang telah kita bina bersama. Segala apa yang mencabar syariat Islam di dalam negara ini juga haruslah ditegah misalnya LGBT.


6. Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu.
★ Maka setiap rakyat di Malaysia tidak mengira bangsa atau agama mestilah fasih dalam berbahasa Melayu. Jangan perendahkan Bahasa Melayu daripada bahasa asing sebagaimana dahulu kita menganggap orang yang cerdik pandai haruslah reti berbahasa Inggeris. Ubah persepsi buruk itu. Adakah menjadi aib bagi orang cerdik pandai yang melazimi Bahasa Melayu?  Jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa dominan. Sebagaimana kita mulakan sistem pendidikan Sains dan Ilmu Hisab di dalam Bahasa Melayu. Mungkin juga selepas ini Bahasa Melayu akan menjadi bahasa di salam bidang kejuruteraan perniagaan. Semuanya boleh, hanya kita jangan sekali-kali memperendahkan bahasa kebangsaan.


 7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah  dan Sarawak ).
★ Maka jelas bahawa Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak mempunyai keistimewaan dalam negara ini yang mana kaum bukan bumiputera tidak boleh mempertikaikan. Jug
 a orang-orang Bumiputera juga tidak boleh mempertikaikan hak kerakyatan Cina dan India yang tinggal di Malaysia.

Cina dan India tidak boleh meminta di sama tarafkan kedudukan mereka. Hata dia seorang India Muslim (Mamak) sekalipun, taraf keistimewaan masih tidak berhak keatas mereka. Namun keistimewaan mereka sebagai Muslim akan tetap diberikan sewajarnya. Sama juga dengan orang Bumiputera tidak boleh melaungkan ayat seperti "Cina balik Cina lah" atau "India balik India lah" kerana nenek moyang mereka telah menjadi kerakyatan sah di Malaysia.


PERUNDANGAN
Akhirnya, setiap apa yang ada di dalam wasiat ini diabadikan di dalam perundangan Malaysia iaitu.

“Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris.” – Perkara 1, Perlembagaan Persekutuan.

“Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang merupakan tanah simpanan Melayu sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus menjadi tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri itu.” – Perkara 89, Perlembagaan Persekutuan.

" Yang Di-Pertuan Agong adalah Pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan" - Perkara 41, Perlembagaan Persekutuan.

“Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif (hak istimewa), kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.” – Perkara 181, Perlembagaan Persekutuan.

Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.” – Perkara 3 (1), Perlembagaan Persekutuan.

"Menguatkuasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan." - Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan.

“Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.” – Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.



Maka dengan wasiat ini, kita haruslah teliti di mana kita sememangnya mempunyai raja-raja yang sangat bertoleransi ke atas semua kaum dan agama. Semoga keharmonian ini berkekalan dan tidak ada sengketa sesama kita rakyat Malaysia. Wallahualam.



Raja-Raja Melayu Dulu dan Kini.


Rejimen Askar Melayu Diraja Dulu dan Kini



___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________





Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .






Comments