Patih Gajah Mada Dari Majapahit Seorang Muslim?

OLEH: Taufiq Tuah



Telah tersebar pandangan sejarawan yang mula mengangkat nama Gajah Mada (tokoh terhebat Majapahit) sebagai seorang Muslim. Dakwaan ini mengatakan nama sebenar Gajah Mada ialah, 'Gaj Ahmad'. Adakah benar dakwaan ini?

Gajah Mada ialah seorang yang sangat hebat. Seorang yang sangat pakar dalam menakluk empayar-empayar lainnya. Majapahit menemui zaman kemahsyuran adalah di zaman wujudnya Gajah Mada. Sehingga Gajah Mada berani bersumpah untuk berpuasa (tidak makan makanan berempah) selagi tidak menakluk seluruh Nusantara. Sumpah ini dinamakan 'Sumpah Palapa' yang mana sumpah ini bersifat ikrar dan janji.

Sumpah itu sebagaimana yang ditulis di dalam Serat Pararaton,

Sira Gajah Madapatih Amangkubhumi tan ayun amuktia palapa, sira Gajah Mada: "Lamun huwus kalah nusantara isun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seran, Tañjung Pura, ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana isun amukti palapa".

Terjemahan,

Dia Gajah Mada Patih Amangkubumi tidak ingin melepaskan puasa. Ia Gajah Mada (berkata), "Jika telah mengalahkan Nusantara, saya (baru akan) melepaskan puasa. Jika mengalahkan Gurun (Pulau Gorom) , Seram (Pulau Seram), Tanjung Pura (Empayar di Kepulauan Borneo), Haru (Kerajaan Aru di Sumatera), Pahang (Kerajaan Pahang), Dompo (Sumbawa), Bali, Sunda, Palembang (Sriwijaya), Tumasik (Singapura), demikianlah saya (baru akan) melepaskan puasa".


Persoalannya, adakah benar Gajah Mada ini sebenarnya seorang Muslim?


SIVA BUDHA / HINDU BUDHA
Bukti paling kukuh, sebenarnya Gajah Mada ialah penganut agama Hindu Budha dan bukan lah seorang Muslim. Hal ini sebagaimana yang telah terbukti di dalam rekod-rekod sejarah. Juga kita jelas bahawa Majapahit ialah empayar yang mana menjadikan ajaran Hindu Budha sebagai agama rasmi. Juga agama yang kedua utama di Majapahit ialah agama Kejawen. Tidak dinafikan ada penduduk di Majapahit sebenarnya mengamalkan Islam, namun Patih Gajah Mada tidak termasuk di antara pengamal Islam itu.



NAMA JAWA
Namanya 'Patih Gajah Mada' sebenarnya mempunyai maksud di dalam Bahasa Jawa.

Patih ialah gelaran kepada pembesar di dalam Empayar Majapahit.  Maka  'Patih' ialah nama pangkat dan jawatan.

Gajah pula ialah nama haiwan. Budaya zaman dahulu, akan menggunakan nama haiwan tertentu untuk menzahirkan kehebatannya. Maka nama Gajah ialah nama yang menaikkan status seseorang. Begitu juga nama lainnya seperti Hayam Wuruk yang mana 'Hayam' itu bermaksud 'Ayam'. Juga di dalam sejarah Tanah Melayu juga kita kenali Tok Gajah yang mana Gajah hanyalah nama simbolik kepada kehebatan tokoh tersebut.

Mada pula bermaksud hebat. Ada juga yang mengatakan ia bermaksud jeneral. 

Maka teori bahawa Gajah Mada ialah Gaj Ahmad ialah tidak berasas.


ADAKAH GAJAH MADA YANG MUSLIM?
Sebenarnya ada juga penama Gajah Mada lain yang Muslim. Namun ia daripada kesultanan Kelantan lama. Hal ini berlaku lebih kurang pada abad 13 atau 14 Masihi.

Sultan Baki Shah ibni al-Marhum Sultan Mahmud ialah Raja Kerajaan Chermin. Antara daripada anaknya ialah Putri Selindung Bulan yang mana telah berkahwin dengan Sayyid Husain Jamadi al-Kubra [Ratnavamsa Pandita Parnen]. Daripada perkahwinan ini maka lahir lah Sayyid 'Ali Nurul Alam bin Husain Jamadi Al-Kubra. Nama Sayyid 'Ali Nurul Alam ini lah yang sering menjadi bualan para penggemar sejarah. 
Sayyid 'Ali Nurul Alam bin Husain Jamadi Al-Kubra ini akhirnya memegang nama Pateh Arya Gajah Mada. 

Maka Gajah Mada yang didakwa Islam bukanlah sama dengan Patih Gajah Mada di Majapahit. Wallahualam






___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________




Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments