Apa Itu Khalifah Al-Uzma? Adakah Uthmaniah Ialah Khalifah Al-Uzma?

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

KHALIFAH HANYA BERBENTUK BILA SELURUH NEGARA ISLAM BERSATU

Imam al-Mawardi (w. 450H) berkata:
"Sekiranya imamah (kepimpinan dan pemerintahan) diberikan kepada dua orang di dua tempat yang berbeza (dalam masa yang sama), maka imamah keduanya adalah tidak sah, kerana umat tidak dibenarkan memiliki dua imam (khalifah) pada waktu yang sama". (al-Mawardi, al-Ahkam al-Sulthaniyah)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah berkata:
"Berdasarkan as-Sunnah, umat Islam hanya memiliki seorang pemerintah sahaja, manakala yang selainnya hanyalah bertindak sebagai pembantunya. Jika ditakdirkan umat Islam terkeluar dari peraturan ini sama ada dengan sebab maksiat (atau kesalahan) yang dilakukan oleh sebahagian daripadanya ataupun dengan sebab kelemahan sebahagian umat Islam, ataupun dengan sebab-sebab yang lain, dan mereka memiliki beberapa orang pemimpin, wajib ke atas setiap pemimpin tersebut menjalankan hukum hudud dan memberi hak kepada mereka yang layak menerimanya". (Majmu’ al-Fatawa)

Syaikh Dr. Khalid B. Ali al-Anbari: "Hukum asal bagi umat Islam ialah mereka memiliki seorang khalifah (imam) sahaja".  (Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah)


SETELAH TUMBANGNYA DINASTI UMAWIYAH MAKA UMAT ISLAM TIDAK PERNAH BERSATU


Al-Hafiz Ibnu Katsir (w 774H) berkata:
"Pengangkatan dua imam (bagi memimpin umat Islam) atau lebih di muka bumi (pada masa yang sama), adalah tidak dibenarkan. Berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, "Sesiapa yang mendatangi kamu, sedangkan semua urusan kamu telah bersatu (di bawah seorang pemimpin), dengan tujuan untuk memecah-belah kesatuan tersebut, maka bunuhlah ia siapapun orangnya".



Ini merupakan pendapat jumhur (majoriti) ulama. Dan ini adalah berdasarkan ijma' sebagaimana yang diriwayatkan lebih dari satu pendapat antaranya Imam al-Haramain.  Mazhab Karamiyah mengatakan, dibenarkan mengangkat dua orang imam (pemimpin), malah lebih juga boleh, sebagaimana yang telah berlaku di antara Ali dan Mu'awiyah yang keduanya merupakan imam yang wajib ditaati.

Mereka mengatakan, apabila dibolehkan mengutus dua orang Nabi dalam waktu yang sama dan bahkan lebih dari dua orang, perkara ini turut dibolehkan dalam imamah, kerana soal  kenabian kedudukannya lebih tinggi dari soal imamah tanpa diperselisihkan.  Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Imam al-Haramain daripada al-Ustaz Abu Ishaq bahawasanya dibolehkan mengangkat dua imam (dalam satu masa untuk wilayah yang berbeza) atau lebih sekiranya pelbagai wilayah terbentuk dan saling berjauhan serta kawasan telah menjadi terlalu luas.  Walau bagaimanapun, Imam al-Haramaian masih bimbang dengan persoalan ini.

Aku (Ibnu Katsir) katakan, keadaan ini adalah sebagaimana Bani Abbasiyah yang berjaya mendirikan pemerintahan di Iraq, Fatimiyyin di Mesir, dan Bani Umayyah di Maghribi". (Tafsir Ibnu Katsir)


Imam ash-Shan'ani (w. 1182H) berkata:
"Sabda-nya 'keluar dari ketaatan' maksudnya adalah ketaatan kepada khalifah (pemimpin) yang telah disepakati atasnya, atau merujuk pemimpin bagi daerah (atau wilayah) atau negara di mana ia bernaung. Kerana tidak semua umat Islam pada masa pemerintahan Bani ‘Abbasiyyah tunduk dan patuh kepada seorang khalifah ketika itu, malah setiap wilayah ada pemimpin yang bebas menguruskan wilayahnya masing-masing (mereka bebas melantik pemimpin bagi wilayah mereka sendiri), maka sekiranya makna hadis ini diperuntukkan kepada khalifah yang diakui untuk setiap wilayah Islam (umat Islam), sudah tentu hadis ini sangat sedikit faedahnya". (Subulus Salam Syarah Bulughul Maram)

Imam Asy-Syaukani  (w. 1255H) menjelaskan:
"Adapun selepas penyebaran Islam, semakin luas wilayahnya, dan jarak yang jauh di antara negeri-negerinya, maka telah diketahui bahawa setiap negeri atau beberapa negeri bergantung kepada seorang pemerintah atau sultan. Begitu juga dengan negeri yang lain. Seseorang pemerintah itu tidak memiliki kuasa untuk mengeluarkan perintah mahu pun larangan selain dari negerinya atau beberapa negeri yang tunduk kepadanya.

Oleh itu, berbilang-bilang pemerintah atau sultan bagi setiap negeri masing-masing diharuskan (dibolehkan). Setiap daripada mereka wajib ditaati selepas bai’ah yang diberikan oleh penduduk negeri tersebut dan ia berhak mengeluarkan perintah dan larangan. Begitulah juga dengan pemerintah bagi negeri yang lain.

Apabila terdapat segolongan pihak yang cuba merampas kuasa daripada seseorang pemerintah yang telah memiliki kedaulatan (kuasa) dan juga diberi bai’ah (kepercayaan) oleh penduduknya, maka pada ketika itu, hukuman ke atas golongan tersebut ialah dibunuh jika ia tidak bertaubat.

Penduduk negeri yang lain tidak wajib mentaatinya, atau pun berlindung di negaranya kerana kedudukan yang jauh antara negeri. Penduduk seperti ini tidak sampai kepada hal-ehwal pemerintah atau pun sultan mereka, dan mereka tidak mengetahui siapa yang masih hidup atau yang sudah mati daripada pemerintah mereka. Kewajiban untuk taat dalam keadaan ini merupakan satu kewajiban yang tidak terdaya untuk ditanggung. Perkara ini sedia dimaklumi oleh mereka yang arif dalam bidang pentadbiran rakyat dan negara.

Maka ketahuilah kamu tentang perkara ini, kerana ia amat sesuai dengan kaedah syara’. Dan bertepatan dengan yang sedia ada. Pendapat yang bercanggah dengannya tidak perlu dihiraukan kerana memang terdapat perbezaan yang sangat ketara di antara negeri-negeri Islam semasa zaman awal Islam dengan yang ada sekarang". (As-Sailul Jarrar al-Mutadafiq ‘Ala Hada’iqil Azhar)



KETIKA UMAT ISLAM BERPECAH MAKA SETIAP WILAYAH MELANTIK PEMIMPIN SENDIRI

Abu Abdillah Ibnu al-Azraq al-Maliki (w. 869H) berkata:
"Bahawasanya syarat supaya umat Islam (di dunia ini) hanya dipimpin oleh seorang pemimpin sahaja bukanlah suatu kewajiban apabila ianya memang tidak mungkin dilaksanakan". (Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah)


Imam al-Qurthubi membawakan perkataan Imam al-Haramain dalam tafsirnya:
"Pada pandanganku, perlantikan dua imam bagi satu kawasan yang kecil sempadannya adalah tidak perlu. Pendapat ini merupakan satu ijma’. Adapun sekiranya kedudukan jarak yang membezakan di antara dua imam tersebut jauh serta kemungkinan ini ada, manakala seseorang khalifah itu berada jauh dari rakyat, maka pada ketika itu al-Ustaz Abu Ishaq membolehkan untuk dua kawasan yang sempadannya sangat jauh supaya hak dan hukum-hakam (perundangan) rakyat tidak terabai". (al-Jami’ li Ahkamil Qur’an)


Imam al-Juwaini (w. 478H) berkata:
"Sebagian ulama berkata: 'Apabila suatu masa mengalami kekosongan dari penguasa tunggal, maka penduduk setiap daerah dan setiap desa, haarus mengangkat di antara orang-orang yang memiliki kecerdasan dan pemikiran, seseorang yang dapat mereka ikuti petunjuk dan perintahnya, dan mereka jauhi larangannya. Karena apabila mereka tidak melakukan hal tersebut, mereka akan ragu-ragu ketika menghadapi persoalan penting dan tidak mampu mengatasi persoalan yang sedang terjadi". (Ghiyats al-Umam fi lltiyats al- Zhulam)


Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab berkata
"Para imam dari setiap mazhab telah bersepakat (ijma') bahawa sesiapa yang dapat menguasai sesuatu kawasan atau negeri atau beberapa negeri, maka dia memiliki keistimewaan sebagai pemimpin (pemerintah) untuk semua urusan. Jika tidak, sudah tentu dunia ini akan huru-hara. Ini adalah kerana manusia sejak zaman dahulu sebelum zaman Imam Ahmad lagi sehinggalah ke hari ini tidak pernah tunduk hanya kepada seorang imam. Mereka tidak pernah mendengar seorang pun ulama yang mengatakan bahawa sesuatu hukum itu tidak sah untuk dilaksanakan melainkan melalui pemimpin tertinggi". (Ad-Durur as-Sunniyyah fi al-Ajwibah an-Najdiyyah)



SEBAHAGIAN ULAMA MENETAPKAN ISTILAH KHALIFAH HANYA SAMPAI KEPADA HASAN BIN ALI


Al-Qalqasyandi (w 821 H) berkata:
"Imam generasi salaf, antara lain Ahmad bin Hanbal, berpendapat memakruhkan mengucapkan nama khalifah untuk para penguasa setelah Sayidina Hasan bin Ali radhiyallahu 'anhuma (maksudnya sejak Mu’awiyah bin Abi Sufyan), dalam informasi yang diceritakan oleh Imam al-Nahhas dan lainnya. Mereka berhujjah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al Tirmizi, dari Safinah, bahawa Rasulullah saw bersabda: "Khilafah setelahku berjalan selama 30 tahun, kemudian setelah itu adalah kerajaan". Sa'id bin Jumhan berkata: "Lalu Safinah berkata kepadaku: 'Hitunglah masa khilafahnya Abu Bakar, Umar dan Utsman. Kemudian hitunglah masa khilafahnya Ali dan Hasan bin Ali. Maka akan kita dapati semuanya 30 tahun". Sa'id berkata: "Aku berkata kepada Safinah: "Sesungguhnya orang-orang Bani Umayyah beranggapan bahawa khilafah ada pada mereka". Safinah menjawab: "Mereka telah berbohong. Sebenarnya mereka para raja, dan termasuk seburuk-buruk para raja". (Ma'atsir al-lnafah fi Ma’alim al-Khilafah)



TURKI UTHAMNIYAH BUKANLAH KHALIFAH TERAKHIR
Khalifah terakhir (maknanya negara Islam bersatu di bawah seorang pemimpin) hanyalah ketika Damsyik digempur oleh Bani Abbas pada tahun 132H / 750M lalu Abu al-Abbas al-Saffah ditabalkan menjadi Sultan di Kufah kemudian ibu negara di pindahkan ke Baghdad.Dalam pertempuran terakhir antara Khalifah dengan pembangkang di Sungai Zab, lebih dari 300 anggota keluarga Umayyah terbunuh. Khalifah Marwan tewas lalu menuju ke Mesir untuk berlindung tetapi dibunuh ketika menyeberang Sungai Nil. Bani Abbas melakukan pembunuhan massal keatas keturunan Bani Umayyah.

Tetapi ada yang terselamat antaranya Abdurrahman bin Muawiyah. Maka beliau melarikan diri ke Spanyol dan memerintah saki baki kerajaan Umawiyah di Andalusia. Kerajaan Umawiyah berdiri sehingga tahun 1031M di Andalusia.Jadi dapat kita ketahui bahawa setelah terbunuhnya Khalifah Marwan, dunia Islam terpecah kepada dua kelompok, satu di Timur berpusat di Kufah kemudian Baghdad, dan satu lagi di Andalusia yang masih meneruskan ketaatan kepada Nabi Umayyah.

Makanya mustahil untuk menyatakan bahawa khalifah masih wujud walhal ketika itu, prasyarat khalifah al uzma tidak mampu di munculkan oleh mana-mana pihak!Satu hal yang menarik, bahawa Dinasti Uthmaniyah telah melaksanakan sistem sekular pada penghujung hayatnya sekitar tahun 1840M. Dr. Ihsan Yilmaz dalam buku berjodol "Muslim laws, Politics and Society in Modern Nation States" menulis:

"Kod Keseksaan Uthmaniyyah 1858 adalah berdasarkan kepada kod Napoleon 1810, mengetepikan hukuman Islam. Ia di wujudkan oleh Kerajaan Perancis - sejenis sistem mahkamah, dengan tribunal pertama, mahkamah rayuan dan mahkamah tinggi rayuan. Ini adalah hierarki yang pertama sistem mahkamah sekular di negara ini ... Ini kod jenayah sekular dan sistem mahkamah kekal beroperasi sehingga 1923".



PARA ULAMA YANG HIDUP PADA ZAMAN BERBILANG KHALIFAH DAN BANYAKNYA NEGARA ISLAM

Para Ahli hadis yang meriwayatkan hadis tentang khalifah telah hidup dalaam zaman "ketiadaan imamah al kubra" dan mereka menyampaikan hadis-hadis tersebut kepada generasi seterusnya. Lalu timbul persoalan atas sikap mereka yang tidak berusaha menggerakkan massa bagi menegakkan khilafah, apakah mereka:


1) Mengetahui kewajiban menegakkan khilafah tetapi mereka meninggalkan usaha tersebut kerana nafsu

2) Tidak mengetahui kewajiban menegakkan khilafah walau mereka meriwayatkan hadisnya

3) Mengetahui kewajiban tersebut tetapi gagal menggerakkan massa kerana pelbagai faktor

4) Mengetahui kewajiban tersebut tetapi mereka memandang hal tersebut bukan alawiyat yang utama lantas mereka tidak menggerakkan massa


Justeru apa yang ada dalam fikiran kita? Pilihlah salah satu daripada 4 kebarangkalian di atas.

Al-Muwaththa', susurran Imam Malik (95 H-179 H)
Al-Maghazi wal Siyar, susunan Muhammad ibn Ishaq (150 H)
Al-jami', susunan Abdul Razzaq As-San'any (211 H)
Al-Mushannaf, susunan Sy'bah Ibn Hajjaj (160 H)
Al-Mushannaf, susunan Sufyan ibn 'Uyainah (198 H)
Al-Mushannaf, susunan Al-Laits Ibn Sa'ad (175 H)
Al-Mushannaf, susnan Al-Auza'i (150 H)
Al-Mushannaf, susunan Al-Humaidy (219 H)
Al-Maghazin Nabawiyah, susunan Muhammad Ibn Waqid Al¬Aslamy
A1-Musnad, susunan Abu Hanifah (150 H)
Al-Musnad, susunan Zaid Ibn Ali
Al-Musnad, susunan Al-Imam Asy-Syafi'i (204 H)
Mukhtalif Al-Hadis, susunan Al-Imam Asy-Syafi'i
Al-Jami’ al-Shahih, susunan Imam al-Bukhari (194-252 H)
Al-Jami’ al-Shahih, susunan Imam Muslim (204-262 H)
Al-Sunan,  susunan Abu Dawud (202-275 H)
Al-Sunan, susunan al-Tirmidzi (200-279 H)
Al-Sunan, susunan al-Nasa’i (215-302 H)
Al-Sunan, susunan Ibnu Majah (207-273 H)


Demikian pula para imam yang mengembangkan dan merapikan ilmu ini seperti:


Imam Al Hakim (405 H) dalam Ma’rifat Ulum al Hadits dan al Madkhal fi Usul al Hadits
Imam Ibn Solah (643 H) dalam Ulum al Hadits li Ibn Solah (Mukaddimah Ibn Solah)
Imam Nawawi (676 H) dalam at Taqrib
Imam Ibn Katsir (774 H) dalam Ikhtisor Ulum al Hadits
Imam al Iraqi (805 H) dalam Fathul Mughith
Imam Ibn Hajar Asqalani (852 H) dalam Nuhbat al Fikr fi Mustalah ahl Athar


Dan banyak lagi imam dan ulama ahlul sunnah, maka:


1) Mereka yang meriwayatkan hadis tersebut TIDAK ADA YANG MEMAHAMI HADIS TERSEBUT SEPERTI MANA PEMAHAMAN HIZBUT TAHRIR!

2) Mereka hidup di zaman awal perpecahan justeru dekatnya mereka dengan semangat islam yang sebenar, sepatutnya mereka berusaha untuk menegakkan Khilafah, NAMUN TIDAK ADA SATU RIWAYATPUN YANG MENUNJUKKAN MEREKA BERUSAHA MENGGERAKKAN MASSA BAGI MENCAPAI GERAKAN PEMBENTUKAN KHILAFAH.

3) Jika ada para ulama yang membawa hadis tersebut dalam gerakan seperti HT lakukan, maka silakan bawa buktinya.

Kesimpulannya, mereka memandang bahawa kewajiban para nabi di setiap zaman adalah menegakkan tauhid dan menentang kesyirikan. Itulag slogan para Rasul dan Nabi dan diwariskan pula kepada waris-waris Nabi. Inilah yang paling utama dan terutama, bukan kewajiban menegakkan khilafah.

"Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu" (An Nahl : 36)

Malah ketika baginda gering pun, baginda tetap menekankan tentang tauhid. Lihat hadis ini:

"Rasulullah saw bersabda ketika sakit yang menyebabkan beliau tidak boleh bangkit lagi, ‘Allah melaknat kaum Yahudi dan Nashrani yang menjadikan kuburan para nabi mereka sebagai masjid’.” Aisyah berkata, “Kalau bukan kerana itu, niscaya kuburan beliau dipertontonkan, padahal tindakan itu dikhawatirkan akan dijadikannya kuburan beliau sebagai masjid". (H.R Muslim)

Walhal setahun sebelum itu Nabi telah utus Muaz ke Yaman dan menunjukkan tatacara dakwah secara bertahap dan berperingkat:

"Sesungguhnya kamu akan mendatangi suatu kaum dari Ahli Kitab, maka ajaklah mereka kepada persaksian bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah –dalam riwayat lain: kepada tauhidullah-. Jika mereka mentaatimu untuk hal tersebut, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka solat lima waktu setiap siang dan malam. Jika mereka mentaatimu untuk hal tersebut maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil dari orang kaya mereka lalu diberikan kepada orang-orang fakir di antara mereka. Jika mereka mentaatimu untuk hal tersebut maka kamu jauhilah harta mulia mereka. Takutlah kamu terhadap doa orang yang terzalimi, kerana tidak ada penghalang antara dia dan Allah". (H.R Bukhari dan Muslim)

Ibarat seseorang yang mendapat warisan harta RM 10 juta, apakah yang wajib dia laksanakan terlebih dahulu? Melangsaikan segala hutang piutang ibu bapanya dan kemudian memberi agihan faraid kepada ahli kelurga terlebih dahulu, kemudian bakinya baharulah dikelurkan zakat setelah cukup haul dan hisab?

Atau mengeluarkan zakat terlebih dahulu dan bakinya baharulah di faraidkan, kemudian baharulah hutang piyutang ibu bapanya di langsaikan?Walhal di situ terangkum banyak kewajiban iaitu:

- faraid harta warisan
- langsaikan hutang
- mengeluarkan zakat

Lantas apa yang kalian lihat dan fikirkan dalam 3 hukum wajib di atas? mana satu yang perlu didahulukan? Begitulah juga dengan tauhid dan penegakan khilafah, dua kewajiban tetapi memiliki alawiyat yang berbeza.



TURKI UTHMANIYAH ADALAH KHALIFAH AL UZMA?
Bagaimana mungkin Turki Uthmaniyah bisa di tabal sebagai Khalifah al Uzma alias para Sultan Dinasti Uthmaniyah dikatakan sebagai Imam Al Kubra?

Sungguh pelik, kerana semasa Turki wujud malah sebelum Turki maujud, telah ada beberapa negara Islam yang lain. Walhal syarat utama untuk dinobatkan sebagai KHALIFAH adalah SELURUH NEGARA ISLAM TUNDUK DAN MENJADI JAJAHANNYA! Perkara ini tidak pernah berlaku sejak runtuhnya Damsyik ke tangan Bani Abbas yang kemudian memerintah dari Kufah dan kemudian Baghdad.

Hanya sahaja Turki dikagumi sebab ia mampu menewaskan Kostantinopel.

Sedangkan hadis Nabi tentang Raja yang terbaik yang berjaya membuka Kostantinopel, bukanlah menjurus kepada Sultan Muhammad Al Fateh kerana Hadis jelas menyebut bahawa pembukaan Kostantinopel tanpa peperangan dan berlaku setelah Madinah di ranapkan, dan setelah pembukaan itu maka Dajjal pun keluar. Sadarlah kita bahawa MADINAH TIDAK PERNAH DIRANAPKAN SAMPAI HARI INI! Ia hanya akan berlaku ketika akhir zaman nanti!

Muhammad Al Fateh adalah sufi yang mengajak rakyatnya melakukan bid'ah. Kemudian merekacipta kubur sahabat Nabi, Abu Ayyub Al Ansari melalui mimpi guru sufinya!

Dan para Sultan Turki sesudah itu melakukan 'penyembahan' ke kubur tersebut yang berada di wilayah Eyüp ketika majlis Pertabalan. Seandainya para raja Barat dianggap sah menjadi raja dalam Majlis Pertabalan apabila mahkota di letakkan di atas kepala, maka para Putera Mahkota Turki hanya sah menjadi Sultan dalam Pertabalan apabila selesai MENYARUNGKAN PEDANG DI DEPAN KUBUR TERSEBUT!




Rujukan:
1. al-Ahkam al-Sulthaniyah, Imam Al-Mawardi
2. Majmu’ al-Fatawa, Syaikh Ibn Taimiyah
3. (Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, Syaikh Dr. Khalid B. Ali al-Anbari
4. Tafsir Ibn Kathir, Imam Ibn Kathir
5. Ghiyats al-Umam fi lltiyats al- Zhulam, Imam Al-Juwaini


___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________





Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments

  1. Terima kasih saudara.. Byk info yg menjawab byk persoalan yg berlaku sekarang dlm dunia Islam kita.. Dpt dihubung kaitkan satu sama lain dan bila info dan kisah sirah perjalanan ummat Islam selepas kewafatan Rasulullah ini dijalin terjawab sudah segala persoalan yg timbul dalam dunia Islam pada hari ini.. Yahudi memang bijak.. Masuk dan Pecah.. Dulu kini dan selamanya.. Rupanya apa yg Kita hadapi skg iaitu perpecahan ummat Islam hari ini telah berlaku pada zaman2 yg lepas lagi.. Bermafaat utk org awam seperti saya.. T.kasih ..

    ReplyDelete

Post a Comment