OLEH: Zulfikar Egar
Hajjaj bin Yusof At Tsaqafi merupakan seorang gabenor Bani Umayyah yang sangat zalim dan kejam.
Khalifah Bani Umayyah pada ketika itu adalah Khalifah Abdul Malik bin Marwan juga seorang yang bengis dan digeruni termasuk kaum kerabatnya.
Kekejaman Hajjaj bin Yusof At Tsaqafi bukan sahaja kepada orang-orang biasa bahkan sahabat Nabi pun tak terlepas daripada ambisinya.
Khilafah Bani Umayyah merupakan sebuah kerajaan Islam. Tetapi dibawah pemerintahan Hajjaj, hukum Islam yakni seperti Hudud dan qisas seolah-olah seperti tidak terlaksana.
Masakan tidak. Habis rakyat dibunuh begitu sahaja hingga para sahabat Nabi tidak terkecuali.
Pernah juga Hajjaj membunuh secara beramai-ramai orang yang menentangnya di dalam sebuah Masjid di Iraq.
Jangankan masjid.
Mekah pun pernah diserang dan dibom dengan lontaran batu-batu manjanik hingga sebahagian dari Kaabah runtuh!
Semata-mata kerana Hajjaj ingin menghapuskan musuh politiknya yang berada di dalam Mekah yang juga merupakan seorang Sahabat Nabi.
Sikap jahat Hajjaj tak tumpah seperti Abrahah yang tergamak menyerang Mekah dan Kaabah. Tapi berbeza dengan Abrahah. Hajjaj dapat meruntuhkan sebahagian Kaabah ketika menggempur musuhnya yakni Ibnu Zubair R.A.
Selepas berjaya menawan Mekah. Ditangkap dan dibunuhnya sahabat Nabi itu dihadapan ibunya yang juga merupakan sahabat Nabi. Diseksa mayatnya lalu disalib.
Hajjaj juga turut memenjarakan sesiapa yang menentangnya hatta ulama sekalipun.
Bukan sekadar membunuh ulama, tapi turut mencela sahabat Nabi seperti Ibn Mas'ud R.A.
Jahatnya Hajjaj ini hingga Amirul Mukminin Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang masyhur dan dianggap sebagai Khulafa Rasyidin Ke-5 pernah berkata:
"Andai setiap umat dan bangsa datang dengan segala kejahatan mereka, manakala kita (Bani ‘Umayyah) pula datang dengan Al Hajjaj seorang, nescaya takkan ada yang boleh mengalahkan kita”.
Imam Hassan Al Basri, seorang tabiin yang agung dan hidup sezaman dengan Hajjaj bin Yusof At Tsaqafi pernah ditanya tentang kezaliman Hajjaj. Katanya:
“Sesungguhnya kemunculan Hajjaj adalah disebabkan dari azab Allah, maka janganlah kamu melawan azab Allah dengan tangan-tangan kamu. Akan tetapi wajib bagi kalian untuk taubat dan kembali kepada Allah dengan merendah diri".
Sebenarnya Hajjaj bin Yusof At Tsaqafi ada jasanya pada dunia Islam iaitu dialah orang yang mula-mula meletakkan baris pada huruf-huruf al-Quran bagi memudahkan orang bukan Arab untuk senang membacanya.
Tetapi!
Disebabkan kejahatan Hajjaj bin Yusof At Tsaqafi yang tidak terperi, ada ulama tidak mengiktirafnya dan menganggap bahawa Hajjaj bukanlah orang pertama berbuat demikian.
Ini semata-mata kerana tidak mahu Hajjaj dikaitkan dengan kesucian al-Quran.
Namun ada kesan kebaikan atau hikmah disebalik apa yang terjadi.
Khilafah Bani Umayyah pada selepas itu aman dan makmur. Pembangunan secara besar-besaran dapat dijalankan serta perluasan wilayah Islam hingga ke Asia Tengah dan Andalusia diperluaskan.
Tiada siapa yang berani melawan Khilafah Bani Umayyah hinggalah kerajaan ini tumbang ketika digempur oleh Bani Abbasiyyah.
NOTA:
i)Khalifah Abdul Malik bin Marwan dan Hajjaj bin Yusof At Tsaqafi sebelum menceburi politik, mereka berdua merupaka ulama yang berilmu.
ii) Khulafa' Rasyidin ke-5 bukanlah Khalifah Umar bin Abdul Aziz tetapi adalah Hassan bin Ali R.A berdasarkan Hadith.
iii) Para Sahabat seperti Ibnu Abbas R.A dan Ibnu Umar R.A kekal taat terhadap Hajjaj malah solat dibelakang berimamkan Hajjaj!
Wallahualam.
___________________________
~ Zulfikar Egar ~
Lajnah Makalah Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .
Comments
Post a Comment