Sultan Mehmed Celebi I, Penyatu Empayar Turki Uthmaniyah



OLEH: Haziq Azhar


Sultan Mehmed Celebi merupakan Sultan Turki Uthmaniyyah yang kelima memerintah dari tahun 1413 sehingga 1421. Fasa pemerintahan beliau dikenali sebagai “Ottoman Interregnum” yang bermaksud “kekosongan takhta”. Ini kerana pada ketika itu selepas mangkatnya Sultan Bayazid Khan selepas kalahnya dengan peperangan dengan Timurlink, putera -putera Sultan Bayazid Khan telah berperang sesama sendiri demi mendapatkan kedudukan mutlak sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah.  Fasa ini juga boleh disamakan dengan “Game of Throne” versi Empayar Turki Uthmaniyyah. Sultan Mehmed Celebi terkenal sebagai seorang yang bijaksana, penyabar dan keras hati. Kepintaran beliau dalam seni percaturan politik telah memberi kelebihan beliau untuk menjadi Sultan Turki Uthmaniyyah yang kelima. 

Sultan Mehmed Celebi merupakan putera Sultan Bayazid yang keempat dan dilahirkan pada tahun 1389. Apabila telah mencapai akil baligh, Sultan Mehmed Celebi telah diberi kepercayaan untuk mentadbir wilayah Rûm Eyalet yang terletak di Anatolia. Beliau telah diberi kepercayaan penuh oleh Sultan Bayazid untuk menjadi Gabenor di Rûm Eyalet selepas berjaya mengalahkan Raja Eretnids, sebuah Beylik (kerajaan) Turki di Anatolia.


Pertempuran Ankara pada tahun 1402 lakaran Mughal
Pertempuran di Ankara tercetus diantara Sultan Bayazid Khan dan Timurlink pada tahun 1402 menyebabkan Sultan Bayazid serta Musa Celebi telah ditawan manakala Sulaiman Celebi, Isa Celebi dan Sultan Mehmed Celebi terselamat dalam pertempuran tersebut. Musa Celebi telah dibebaskan oleh Timurlink selepas mangkatnya Sutlan Bayazid Khan di dalam penjara. Manakala, Mustafa Celebi telah terkorban dalam pertempuran di Ankara. 



Sultan Mehmed Celebi bersama – sama dengan saki baki tentera Janissary yang terselamat di dalam pertempuran tersebut dan menyusun kekuatan bagi menyatukan kembali Empayar Turki Uthmaniyyah yang berpecah – belah selepas kekalahan ayahandanya, Sultan Bayazid Khan dengan Timurlink. Sulaiman Celebi yang terselamat dalam pertempuran di Ankara telah pulang ke ibu kota Adrianople dan disitu beliau telah mengisytihar dirinya sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang menggantikan Sultan Bayazid Khan. Manakala Isa Celebi juga turut mengangkat dirinya sebagai Sultan di Bursa. Oleh itu, timbulnya konflik diantara putera – putera Sultan Bayazid Khan yang saling menyaingi untuk mendapatkan kekuasaan mutlak dan takhta.



Selepas Isa Celebi mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan di Bursa, Isa Celebi telah menubuhkan kerajaan yang tersendiri di Bursa dan memisah diri daripada kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah.

 Hal ini menyebabkan Sultan Mehmed Celebi merasakan tidak puas hati dengan Isa Celebi menyebabkan terjadi pertempuran diantara kedua – dua saudara pada tahun 1403. Kemenangan telah memihak kepada Sultan Mehmed Celebi dan berjaya merampas Bursa yang merupakan ibu kota Empayar Turki Uthmaniyyah pada ketika itu. Isa Celebi telah melarikan diri dan menyembunyikan diri. Beliau dibunuh oleh pengikut Sultan Mehmed Celebi pada tahun 1406. 

Selepas kemangkatan Isa Celebi pada tahun 1406, Sulaiman Celebi yang pada ketika itu telah memerintah seluruh wilayah Anatolia telah bangkit menentang Sultan Mehmed Celebi. Empayar Byzantine telah mengambil kesempatan untuk menyokong Suleiman Celebi bagi menentang Musa Celebi, Oleh itu, Suleiman Celebi telah bersetuju untuk membuat perjanjian dengan pihak Byzatine bagi menentang saudaranya sendiri, Musa Celebi dan bersetuju untuk melepaskan wilayah jajahan Empayar Turki Uthmaniyyah di Salonica. Ini kerana Musa Celebi dilihat sebagai ancaman kepada kedaulatan dan kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah lantas mereka menyatakan sokongan kepada Sulaiman Celebi. Namun begitu, Sulaiman Celebi telah dikhianati oleh Byzantine dan sebahagian tentera Sulaiman Celebi telah berpaling tadah kepada Musa Celebi. Akhirnya Sulaiman berjaya dikalahkan oleh Musa Celebi dan tinggal Sultan Mehmed Celebi dan Musa Celebi bagi mendapatkan kekuasaan mutlak dalam Empayar Turki Uthmaniyyah.

Empayar Byzantine telah mengambil keputusan untuk membantu Sultan Mehmed Celebi dengan membenarkan beliau dan pasukan tenteranya melalui Balkan. Beberapa putera di Serbia juga memihak kepada Sultan Mehmed Celebi untuk menentang Musa Celebi kerana pada pandangan mereka, Musa Celebi boleh menjadi ancaman kepada dunia Kristian secara keseluruhannya. Namun, kelemahan Musa Celebi adalah disebabkan beliau mempunyai kurang yakin kepada Jemaah Menteri beliau sendiri sehingga menyebabkan Candarli Ibrahim Pasha telah berpaling tadah dan memihak kepada Sultan Mehmed Celebi. Sultan Mehmed Celebi telah menyusun kekuatan tentera dengan 30,000 askar kavalri dan tentera darat bagi menentang Musa Celebi supaya beliau dapat menguasai seluruh Empayar Turki Uthmaniyyah secara mutlak. Beliau telah berjaya mengalahkan Musa Celebi dan menguasai kota Erdine. Kejayaan Sultan Mehmed Celebi menjadikan beliau telah diiktiraf sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang kelima bagi menggantikan Sultan Bayazid Khan I.

Selepas diisytiharkan sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah, Sultan Mehmed Celebi telah memusatkan seluruh wilayah dan beylik yang berpecah – belah selepas kekalahan Sultan Bayazid dalam pertempuran di Ankara. Namun begitu, munculnya seorang yang mendakwa beliau adalah Mustafa Celebi dan selama ini beliau telah kembali dalam persembunyian selepasnya tamatnya peperangan saudara. Beliau mendakwa bahawa beliau berhak menjadi Sultan Turki Uthmaniyyah. Mustafa Celebi telah mengumpul beberapa pengikut untuk memerangi Sultan Mehmed Celebi. Namun, Sultan Mehemd Celebi berjaya mengalahkan Mustafa Celebi dan akhirnya beliau telah melarikan diri dan mendapatkan perlindungan daripada Maharaja Rom Byzatine. 

Syeikh Bedreddin serta pengikutnya. Imej asal daripada http://gercekgazetesi.net/node/15238

Berapa tahun kemudian, seorang ulama sufi yang bernama Syeikh Bedreddin telah bangkit memberontak pemerintahan Sultan Mehmed Celebi. Namun, Wazir Besar Turki Uthmaniyyah pada ketika itu berjaya mematahkan pemberontakan Syeikh Bedreddin dan akhirnya beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Serres, Greek pada bulan Disember 1420. Sebenarnya Syeikh Bedreddin merupakan seorang penyokong kuat Musa Celebi dan beliau telah dihukum buang negeri ke Iznik selepas Sultan Mehmed Celebi berjaya menyatukan seluruh Empayar Turki Uthmaniyyah. Oleh itu, Syeikh Bedreddin telah pergi ke Wallachia dan memimpin beberapa pemberontak yang tidak berpuas hati kepada Sultan Mehmed Celebi. 

Selepas 8 tahun memerintah sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah iaitu dari tahun 1413 sehingga 1421, beliau telah mangkat dan takhta Sultan Turki Uthmaniyyah telah diwarisi kepada putera beliau sendiri iaitu Sultan Murad II yang merupakan ayahanda Sultan Mehmed Al Fateh. 

Rujukan:
Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016. 
Inalcik, H. (2013). The Ottoman Empire: 1300-1600. Hachette UK.
Kastritsis, D. J. (2007). Religious Affiliations and Political Alliances in the Ottoman Succession Wars of 1402-1413. Medieval Encounters, 13(2), 222.
Güzel, H. C., Oğuz, C., Karatay, O., & Ocak, M. (2002). The Turks: Ottomans (2 v.) (Vol. 3). Yeni Türkiye.
Somel, S. A. (2010). The A to Z of the Ottoman Empire (No. 152). Rowman & Littlefield.
Stewart-Robinson, J. (2001). Intersections in Turkish Literature: Essays in Honor of James Stewart-Robinson. University of Michigan Press.
Howard, D. A. (2016). The history of Turkey. ABC-CLIO.




___________________________
~ Haziq Azhar ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________




Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .





Comments