Survival Kemerdekaan Dalam Wadah Agama

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

[Sorotan Tamadun Yang Hilang]
Babil yang dibina setelah bah besar dengan kekuatan luar biasa dan ketinggian yang menyapa awan merupakan menara terbesar serta tertinggi yang pernah dicipta manusia. Tetapi kemegahan yang dikibarkan itu tidak kekal, akhirnya Bablil luluh ke bumi.

Runtuhnya Babil bukan kerana serangan musuh atau lemparan batu neraka dari Burung Ababil. Sebaliknya menara agung ini musnah kerana pengingkaran kepada Allah lantas Allah menimpakan kepada mereka perpecahan yang berhujung kepada sebuah keruntuhan tamadun.

Betapa banyak bangsa dan tamadun yang dihapus Tuhan lalu diganti dengan tamadun lain. Lenyap mereka bukan kerana ketinggalan dalam membangun ilmu pengetahuan. Hapus mereka tidak ada kaitan dengan ekonomi yang kurang mampan. Tetapi kesemua tamadun besar ini lenyap apabila manusia mula meninggalkan ajaran Tuhan.

Terkadang bangsa yang lenyap itu memang dihapuskan total seperti Kaum Aad dan Tsamud. Namun ada juga yang ditinggalkan sebahagian seperti Kaum Qibti yang Allah hanya tinggalkan bangunan-bangunan kecil serta jasad Firaun sebagai bukti dan peringatan. Terkadang juga Allah menjadikan suatu kaum itu hamba sahaya kepada bangsa lain sebagai balasan.

Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja bangsa kita. Leluhur kita telah bangunkan sebuah Kota Kebal yang tebal di Melaka, siap siaga dengan 3000 laras meriam. Fikirkan jika Jong Melayu sahaja tidak tembus dengan peluru meriam Portugis, bagaimana pula dengan benteng pertahanan kita. Oleh kerana itu leluhur kita percaya Kota Melaka tidak akan menyembah bumi sampaikan di sisip dalam pantun “Kalau roboh Kota Melaka, papan di Jawa hamba dirikan”.

Tetapi apa yang menyebabkan Portugis berjaya menjejakkan kaki dan menginjak maruah kita sampai kita diperhamba? Yang selalu didengungkan adalah perbezaan ilmu pengetahuan dan teknologi persenjataan. Ini kisah dongeng yang sengaja digembar-gemburkan oleh penjajah. Walhal pendekar kita telah lama menggunakan senapang malah bangsa kita memproduksikan senjata api serta ubat bedil sendiri.


[Punca Kejatuhan Tamadun Melayu]
Kenyataan yang sebenar adalah Tamadun Melayu ketika zaman itu berada dalam kelompok negara maju. Teknologi kita lebih canggih dari Barat sampaikan Alfonso mengakui bahawa teknologi istinggar (senapang) kita lebih baik dari teknologi German. Juga kita adalah pencipta meriam mudah alih pertama di dunia dengan nama Lela Rentaka. Kekayaan dan kemajuan yang kita miliki membuat dunia Barat kepingin menguasai kita.

Bukan kerana ilmu dan senjata lantaran mengikut catatan Alfonso bahawa dia menjumpai 8000 senjata api termasuk istinggar dalam gudang senjata Melaka. Tetapi terjajahnya kita kerana kita mula melupakan Tuhan dan ajaran Islam. Bukan maknanya kita telah menukar agama, tetapi kita telah tidak mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh serta meninggalkan sunnah Baginda.

Bangsa kita terjajah selama lebih 400 tahun bermula dengan penaklukan Melaka kerana ada daripada masyarakat kita yang tamak haloba, mencintai emas sebahara hingga menggadai dunia dengan memberi peta Kota Melaka. Ada yang kepingin kerusi dan jawatan hingga menghasut Sultan agar ‘mengirim keris’ kepada Bendahara, sebuah isyarat hukum pancung akan dilaksana.

Ketika itu masyarakat telah terbuai dengan penyakit cinta dunia serta takut mati untuk berjihad. Kerana itu lebih dari 2000 laras istinggar tidak diguna sebaliknya tersorok dalam Gudang Istana. Rakyat suka berhibur serta mencipta pelbagai sunnah Melayu dengan meninggalkan Sunnah Mustafa. Golongan yang masih kuat memegang teguh ajaran Islam hanyalah para cendiakawan dan golongan terkemuka.

Barbossa yang melawat Melaka tidak lama setelah bumi bertuah itu dijajah, menulis sikap beragama ini sepintas lalu dalam bukunya The Book of Duarte Barbossa yang disiapkan pada 1518. Dia juga menggambarkan bahawa bangsa kita pada ketika itu suka berhibur, terutamanya mendengar muzik. Ia adalah refleks kepada sikap bersenang lenang, bermalasan dan kurang keterampilan. Apabila kita melihat keadaan hari ini, nampaknya umat Islam sekali lagi disogok dengan budaya bernyanyi. Sungguh sejarah membuktikan gejala tersebut tidak membawa kebaikan.

Justeru manusia menghancurkan tamadun dan kebebaasan diri mereka bukan kerana manusia lain, sebaliknya kerana ‘kejahatan’ yang wujud dalam kalbunya. Semuanya adalah kerana sikap sedangkan sikap serta tabiat hanya akan dapat dimotori dan dikawal-selia oleh agama.


[Agama Mengawal-selia Manusia]
Islam telah memberi inspirasi kepada umatnya agar menekuni ilmu dan membudayakan ilmu dalam kehidupan. Islam juga memberi kita motivasi untuk terus berusaha walau telah gagal sebelumnya. Islam telah memberikan kita kecerdikan emosi apabila kita menyerah urusan diri pada Ilahi. Malah Islam menuntun agar umatnya sentiasa berkerja dan berbakti, sehingga jika berlaku kiamat dan ditangan kita ada sebiji benih maka tetap di suruh tanam.

Hakikatnya semua budaya maju dan langkah-langkah menuju kecemerlangan yang terdapat dalam buku-buku barat telah Nabi tuturkan 1400 tahun yang silam dalam bahasa yang cukup sederhana. Ambil contoh bagaimana Barat mencipta Hukum Tarikan yang bermuara kepada pemikiran positif sedangkan Nabi telah bersabda:

“Ajaibnya seorang mukmin. Sesungguhnya setiap urusan ada kebaikan dan hal ini tidak didapatkan melainkan pada seorang mukmin. Sekiranya dia mendapat nikmat maka dia bersyukur, maka kebaikan baginya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar, kebaikan baginya” (HR Muslim)

Semua telah ada disampaikan dalam ajaran Islam yang tulen. Sampaikan bangsa Arab yang tidak diendah oleh Bangsa Rom dan Parsi akhirnya menguasai dunia dalam tenggang waktu 30 tahun sahaja. Umar al-Khattab pernah berucap: “Dahulu kita adalah kaum yang hina. Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Seandainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita, maka kita akan dihina oleh Allah” (Riwayat al-Hakim).

Islam tidak mengangkat hanya Bangsa Arab, sebaliknya Bangsa Melayu turut berkembang maju sehingga dikata oleh Barbossa: “Barangsiapa yang menguasai Melaka maka dia merajai Venice di Barat”.

Cuma apabila kita dijajah selama 400 tahun lebih dimana bangsa kita mengalami zaman kebekuan dan terjangkit dengan penyakit ‘Minda Terjajah’ sehingga menerima seluruh pemikiran penjajah termasuk menganggap agama bukan faktor utama membina tamadun dan mengekalkan kemerdekaan. Sedangkan dengan pemikiran tersebut, Barat menuju ke dalam gaung kemusnahan. Sampaikan baru-baru ini dilapor seekor anjing mentadbir sebuah kota!

Tome Pires yang datang ke Melaka setelah setahun di jajah menulis dalam The Suma Oriantal bahawa kaum wanita Melayu tidak kelihatan di muka umum, dan jika mereka hendak keluar maka mereka menaiki kereta kuda yang tertutup. Apakah akan ada umat Islam hari ini menganggap budaya tersebut sebagai kolot dan anti-kemajuan walhal ketika itu kincir air berputar di sungai-sungai Melaka di samping hanya wujud di beberapa tamadun besar sahaja seperti China dan India.



___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Makalah Sejarah




Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments