Sultan Bayazid II, Saints Sultan

OLEH: Haziq Azhar




Sultan Bayazid II merupakan Sultan Turki Uthmaniyyah yang kelapan yang memerintah dari tahun 1481 sehingga 1512. Beliau merupakan putera Sultan Mehmed Al Fateh yang ditabalkan sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang baharu selepas kemangkatan Sultan Mehmed Al Fateh pada tahun 1481. Kemangkatan Sultan Mehmed Al Fateh telah menimbulkan suasana yang tidak tenteram ditambah lagi dengan pemberontakan Janissaries di Istanbul. Namun begitu, pemberontakan tersebut berjaya dipatahkan selepas Wazir Besar Karamani Mehmed yang merupakan penyokong kuat Cem Sultan. Cem Sultan pada masa itu telah mengumpul askar bagi menghadapi Sultan Bayazid II. Cem Sultan telah menyerang Bursa dan berjaya menakluki kota tersebut. Pada masa itu, Sultan Bayazid belum lagi diisytihar sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah secara rasmi. Bagi memastikan jaminan keatas takhta, Sultan Bayazid II telah menjadikan Putera Korkut sebagai pemangku Sultan di Istanbul. 
Sultan Bayazid II telah mendengar berita tersebut telah menghantar Gedik Ahmed Pasha untuk memerangi Cem Sultan. Selepas mendapat khabar ancaman Sultan Bayazid II, Cem Sultan telah menawarkan perdamaian dan membahagikan empayar kepada dua. Jawapan yang diterima oleh Cem Sultan sudah dijangka oleh beliau iaitu Sultan Bayazid II telah menolak tawaran tersebut secara mentah – mentah. Oleh itu, berlakunya pertarungan di antara tentera Janissaries (tentera Sultan Bayazid II) dan tentera Karamin (Cem Sultan) di Yenisehir. Cem Sultan dan pasukan tentera beliau telah mengalami kekalahan yang teruk dan akhirnya beliau terpaksa melarikan diri ke Karaman. Sultan Bayazid II telah kembali ke Istanbul dan secara rasminya beliau diistiyhar secara rasmi sebagai Sultan Turki Uthmaniyyah yang menggantikan Sultan Mehmed Al Fateh. 




Sultan Bayazid II memerintah tenteranya untuk terus memburu Cem Sultan di Karaman.  Keadaan ini memaksa Cem Sultan melarikan diri ke Mesir untuk memohon perlindungan daripada Sultan Mamluk. Cem Sultan tahu jika beliau terus berada di wilayah Empayar Turki Uthmaniyyah, beliau akan dijatuhkan hukuman mati berdasarkan undang – undang yang membenarkan putera yang berjaya menaiki takhta Sultan untuk menjatuhkan hukuman mati keatas saudara – maranya sendiri jika telah menampakkan unsur – unsur pemberontakan. Semasa mendapat perlindungan daripada Sultan Qaytabey iaitu Sultan Mamluk yang memerintah dari tahun 1468 sehingga 1496, Cem Sultan telah mengambil kesempatan untuk melaksanakan ibadah haji di Mekah. Selepas menunaikan haji, Cem Sultan telah kembali untuk menuntut takhta pada bulan Muharram 887 Hijrah bersamaan bulan Mac 1482 Masihi. Ini kerana beliau yakin mendapat sokongan daripada Sultan Qaytabey. Tujuan Sultan Qaytabey adalah mempergunakan Cem Sultan untuk menentang Sultan Bayazid II ketika tercetusnya Perang Mamluk – Usmaniyyah pada tahu 1485 dengan meletakkan Cem Sultan berada di pasukan tentera Salib di sebelah Barat bagi mengalih pandangan tentera Turki Uthmaniyyah. Sultan Qaytabey merupakan seorang ahli politik yang licik dan pandai memanipulasi pihak musuh.



Bagi mencapai tujuan tersebut, Sultan Qaytabey membuat perjanjian dengan Paus di Vatikan dengan bantuan Lorenzo De Medici yang mempunyai pengaruh yang agak besar di Vatikan. Oleh itu, Sultan Qaytabey telah berjanji untuk memberi keistimewaan kepada Lorenzo De Medici seandainya perjanjian untuk meletakkan Cem Sultan di pasukan tentera Salib. Pada tahun 1488, ejen Medici di Paris telah menawarkan tawaran 100,000 emas kepada Raja Perancis dengan syarat membenarkan Cem Sultan tinggal di Perancis. Tawaran ini dipersetujui hasil desakan Paus di Vatikan. Perancis juga menuntut sokongan daripada Vatikan untuk sekutu mereka, Flanders yang tengah berperang dengan Maharaja Austria, Maharaja Maximillian dan penaklukan Perancis keatas Brittany.

Pada 21 Januari 1489, Sultan Bayazid menghantar delegasi beliau iaitu Antonios Ciritho untuk membuat tawaran yang sukar untuk ditolak oleh Raja Perancis. Namun begitu, Sultan Bayazid tidak akan teragak – agak untuk bergabung dengan Sultan Mamluk bagi membentuk bala tentera Islam yang besar bagi memerangi Dunia Islam. Tawaran ini diterima oleh Raja Perancis setelah berbincang dengan beberapa ahli Majlis Menteri Perancis dan bersetuju untuk menyerah Cem Sultan kepada Sultan Bayazid II. Walaubagaimanapun, Cem Sultan sempat melarikan diri ke Rom pada 13 Mac 1489 dan diletak dibawah perlindungan Paus dan Kesatria Rhodus. 


Sultan Mamluk di Mesir masih berharap untuk mendapatkan kembali Cem Sultan untuk kepentingan politik beliau bagi mengekang pengaruh Empayar Turki Uthmaniyyah di rantau Timur Tengah. Sultan Qaytabey juga sanggup membantu Paus di Rom bagi menentang Empayar Turki Uthmaniyyah. Cem Sultan juga berharap dengan bantuan Sultan Qaytabey dan Paus di Vatikan mampu membantu beliau untuk merampas takhta Sultan daripada Sultan Bayazid II. Namun begitu, rancangan ini terbatal apabila Raja Hungary, Matthias Corvinus meninggal dunia pada 6 April l490. Perkembangan ini telah merisaukan Sultan Bayazid II dan menghantar Mustafa Pasha untuk membuat rundingan dengan Paus di Vatikan. Mustafa Pasha pada ketika itu berjaya mendapat kepercayaan daripada Paus di Vatikan hasil kebijaksanaan diplomasi beliau untuk bertemu dengan Cem Sultan dan melalui mesej yang dihantar kepada Paus di Vatikan, Sultan Bayazid II telah berjanji tidak akan menyerang Rom. Oleh itu, perjanjian tersebut merangkumi selagi Sultan dan Paus masih hidup, Cem Sultan tidak akan mendapat kembali ke wilayah Islam. Mustafa Pasha telah bertemu dengan Cem Sultan di Rom. Cem Sultan mengatakan beliau terlalu rindu dengan tanah airnya dan memohon ampun dan maaf diatas kesilapan beliau terhadap abangnya, Sultan Bayazid II. 

Pada tahun 1494, Raja Charles VII telah melancarkan peperangan ke atas Naples supaya memudahkan Perancis melancarkan peperangan keatas Empayar Turki Uthmaniyyah dan juga mengugut Paus di Vatikan untuk menyerah Cem Sultan sebagai kepentingan politik untuk melawan Empayar Turki Uthmaniyyah. Oleh itu, Paus telah memerintah Cem Sultan dibunuh pada 24 Februari 1495 dengan meletakkan racun pada pencukur dimana beliau ketika itu sedang berada dibilik mandi. Apabila berita kematian Cem Sultan sampai ke pengetahuan Sultan Bayazid II, beliau menuntut jenazah Cem Sultan agar dikembalikan dan dikebumikan di makam diraja Dinasti Osman. Sultan Bayazid II turut mengumumkan 3 hari untuk berkabung bagi memperingati saudaranya, Cem Sultan. 

Persengketaan takhta telah pun berakhir dan Sultan Bayazid II telah banyak menumpukan urusan domestik dan dalaman berbanding pendahulu beliau yang lebih suka berperang. Sultan Bayazid juga banyak membangunkan fasiliti dan kemudahan yang disediakan untuk rakyat. Antaranya adalah sekolah dan hospital. Buktinya, Sultan Bayazid membangunkan hospital dan juga merupakan sekolah perubatan di Erdina yang dinamakan “Sultan Bayezid II Külliyesi of Edirne”. Disitu dilengkapi dengan perkhidmatan sosial, keagamaan dan kewangan bagi kemudahan penuntut di Sultan Bayezid II Külliyesi of Edirne. Hospital sekolah perubatan tersebut juga dilengkapi dengan segala kemudahan untuk para pesakit. “Sultan Bayezid II Külliyesi of Edirne” telah menjadi bukti kepada kemajuan perubatan Islam ketika zaman Empayar Turki Uthmaniyyah. 

Selain itu, Sultan Bayazid juga berjasa dalam menyelamatkan mangsa pelarian Yahudi dan Islam di Granada dimana kerajaan Granada iaitu kerajaan Islam terakhir di Bumi Alandusia telah diserang oleh Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella dari Sepanyol dengan menghantar armada berhampiran dengan Granada. Sebanyak 100,000 pelarian berjaya diselamat dan komuniti Arab dan Yahudi diletakkan di Istanbul dan Thessaloniki



Apabila usia Sultan Bayazid II telah semakin lanjut, kesihatan Sultan Bayazid II semakin merosot dan pengaruh beliau didalam tentera Janissaries juga semakin berkurang. Oleh itu, terjadinya peperangan diantara dua putera beliau iaitu Sultan Selim I dan Putera Ahmet. Pada masa yang sama, Sultan Bayazid II telah mendapat khabar yang Kesultanan Melaka ditakluki oleh Portugis dibawah pimpinan Alfonso Albuquerque pada tahun 1511. Oleh kerana masalah dalaman yang dihadapi, Sultan Bayazid tidak mampu membuat apa – apa dalam membantu Kesultanan Melaka. Pada tahun 1512, kemenangan telah memihak kepada Sultan Selim I dan Sultan Bayazid II terpaksa diturunkan takhta dan menyerah takhta tersebut kepada Sultan Selim I yang dikatakan mempunyai kemampuan yang lebih layak memimpin Empayar.



Rujukan:
1. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 216
2. Hattox, R. (2002). Qaytbay’s Diplomatic Dilemma concerning the flight of Cem Sultan (1481–82). Mamluk Studies Review, 6, 177-190.
3. The history of fratricide in the Ottoman Empire - Part 1, https://www.dailysabah.com/feature/2015/08/07/the-history-of-fratricide-in-the-ottoman-empire--part-1
4. İnalcık, H. (2004). A Case Study in Renaissance Diplomacy: The Agreement between Innocent VIII and Bayezid II on Djem Sultan. In Ottoman Diplomacy (pp. 66-88). Palgrave Macmillan, London.
5. Heybeli, N. (2009). Sultan Bayezid II Külliyesi: One of the Earliest Medical Schools—Founded in 1488. Clinical Orthopaedics and Related Research®, 467(9), 2457-2463.
6. A sultan in the shadow of others: Bayezid II. (May 26, 2012) Retrieved from: http://www.hurriyetdailynews.com/a-sultan-in-the-shadow-of-others-bayezid-ii-21615


Turut disiarkan di: https://www.thepatriots.asia/sultan-bayazid-ii-sultan-wali-saints-sultan/

___________________________
~ Haziq Azhar ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________





Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments