'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang' Berkahwin Dengan Jin? Benarkah Baginda Gay?

OLEH: Saufy Jauhary

Semua orang maklum akan kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Nama sebenar baginda ialah Paduka Sri Sultan Mahmud Shah II ibni al-Marhum Sultan Ibrahim Shah (tahun pemerintahan dari 1685 - Ogos 1699). Baginda adalah Sultan Johor yang ke-10 dan merupakan legasi terakhir kesultanan Melaka di Johor. Sejarawan meletakkan ‘II’ pada belakang namanya kerana baginda adalah orang kedua yang bernama Mahmud selepas moyangnya iaitu Sultan Mahmud Shah I yang merupakan Sultan Melaka yang terakhir. Baginda mangkat di atas julang setelah ditikam oleh Megat Seri Rama, hulubalang Johor yang menuntut bela atas kematian isterinya.

Apa yang misteri dengan baginda ialah baginda tidak mempunyai isteri . Adalah sesuatu yang tidak normal di zamannya tatkala seorang Sultan yang berumur 30 tahun (umur kemangkatan baginda), mempunyai kuasa dan kekayaan namun belum berpermaisuri. Tercatat di dalam naskhah ‘Hikayat Siak’ yang dirawikan oleh Tengku Said dan naskhah ‘Tuhfat an-Nafis’ yang dikarang oleh Raja Ali Haji bahawa baginda mempunyai sifat yang aneh kerana dikhabarkan baginda mempunyai isteri ‘Peri’.

Teks Hikayat Siak menyatakan: “Akan baginda, tiada boleh beristeri kerana berbini akan Peri. Tiada peduli akan kerajaan, pulang kepada Bendahara memegang perintah negeri. Akan baginda itu, gila dengan bini peri itu. Dan jika baginda melihat perempuan yang baik rupanya, datanglah benci sahaja, sebab peri itu dekat baginda. Dan segala orang besar-besar, baginda tiada perduli.”

Teks Tuhfat an-Nafis pula menyatakan: “Kata Sahibul Hikayat adalah pada akhir-akhir keturunan daripada Seri Teri Buana daripada raja-raja zaman Singapura dan Melaka dan Johor, adalah seorang Raja Johor bernama Sultan Mahmud. Adalah baginda berbinikan peri, konon, iaitu suatu bangsa daripada Jin maka jadilah baginda itu tiadalah suka bersekedudukan dengan isterinya yang bangsa manusia ini.”

Menurut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Peri/ڤري bermaksud jin yang dapat merupakan dirinya seperti perempuan yg cantik.

Namun begitu, berlainan pula dengan catatan daripada orang Barat berkenaan Sultan Mahmud. Baginda dikatakan mewarisi perilaku songsang seperti kaum Nabi Luth. Kapten Alexander Hamilton, seorang pelayar Inggeris yang sempat berkunjung ke Johor Lama tahun 1695 menulis tentang keganjilan perilaku baginda dalam bukunya, 'A New Account of The East Indies'- Edinburgh 1727, katanya: "Baginda ialah peliwat yang hebat dan mengambil ramai orang kaya atau anak laki-laki orang Bangsawan, dengan paksa membawa ke dalam istananya untuk khidmat kesat tersebut. Pedagang Moorish, iaitu pemunggah di kapal saya mempunyai seorang anak lelaki yang kacak, pada suatu hari Raja telah terlihat dan memerlukan ia untuk catamite. Baginda mengancam bapanya, jika dia tidak menghantarnya dengan sukarela, baginda akan mendapatkannya secara paksa. Orang miskin tersebut telah mengambil anaknya di atas kapal, (lalu) memohon perlindungan dari saya yang telah saya janjikan padanya.." (Winstedt 1932).

Adakah benar apa yang dikatakan oleh Kapten Hamilton itu atau ianya sekadar fitnah semata-mata? Jika benar maka tidak hairanlah baginda tidak berkahwin kerana nafsu songsang tersebut. Namun mempercayai bahawa Sultan Mahmud beristerikan Peri atau jin tidaklah sesuatu yang mustahil. Telah banyak riwayat sama ada di kalangan orang-orang Arab mahupun di kalangan cerita lisan orang-orang Melayu sendiri tentang berlakunya pernikahan antara jin dan manusia. Jin yang boleh mengahwini manusia ini dikenali oleh masyarakat Melayu sebagai Orang Bunian.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahiamullah berkata: 
وقد يتناكح الإنس والجن ويولد بينهما ولد، وهذا كثير معروف
“Dan pernah terjadi pernikahan antara manusia dan jin, bahkan terlahir berketurunan. Dan ini banyak terjadi, satu hal yang ma’ruf.”
 (Majmu’ al-Fatawa, 19:39).

Dapat dipercayai boleh berlakunya persetubuhan antara manusia dan jin berdasarkan hadis:

Ibnu abbas berkata, “Dari Nabi s.a.w, baginda bersabda, ‘Bila salah seorang di antara kamu mendatangi isterinya lalu membaca,

بِسْمِ اللهِ اَللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَ جَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا
“Dengan menyebut nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah kami dari godaan syaitan dan jauhkanlah syaitan dari anak yang Engkau anugerahkan kepada kami. Maka bila keduanya dianugerahi anak, syaitan tidaklah membahayakan baginya.’” 
(Hr. Bukhari: 3031)

Imam Nawawi berkata, “Al-Qadhi berkata, ‘Maksud hadis ini ialah, bahawa syaitan tidak mampu menyusup ke dalamnya.’ Ada lagi yang berpendapat bahawa syaitan tidak mampu mengganggunya (berjimak sekali dengan isterinya), bila anak itu lahir lain daripada yang lain. Akan tetapi, bukan bermaksud bila besar nanti, dia akan terlepas dari bisikan dan godaannya.’” (Lihat: Syarah Muslim, Imam Nawawi: 10/5)

Yang misteri itu kekal misteri.

Gambar adalah M. Amin atau nama penuh beliau ialah Muhammad Amin bin Haji Ihsan yang melakonkan watak Sultan Mahmud dalam filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang – 1961.



Rujukan:
1. Hikayat Siak, Dirawikan Oleh Tengku Said, Muhammad Yusoff Hashim (Penyelenggara), Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka.
2. Tuhfat Al-Nafis, Virginia Matheson Hooker 9Penyelenggara), Terbitan bersama Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
3. Sejarah Melayu, Ahmad Dahlan, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka.

___________________________
~ Saufy Jauhary ~
Lajnah Sejarah
_____________________________




Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments