Benarkah Ulama Ahli Sunnah Mengakfirkan Muawiyah?

OLEH: Muhamad Haris Ismail


1. Penulis Entiti Syiah (ES)  ketika menjawab tulisan saya  sebagaimana berikut:

“kenapa riwayat al-Baladhuri pasal Muawiyah tu anda tak terima, tapi riwayat al-Baladhuri tentang Hisham anda terima pulak?”

Saya katakan: Sangat jelas ES tidak faham maksud saya. Mari lihat apa yang saya tulis dari petikan saya di sini (https://bit.ly/2TIT9w1):

“Lebih teruk lagi, guru al-Balazuri sendiri iaitu Hisyam bin 'Ammar [wafat 245H] yang juga merupakan guru al-Bukhari turut berkata hadith manaqib Muawiyah yang direkodkan al-Balazuri kebanyakannya direka/palsu, dan ia dicatatkan sendiri oleh al-Balazuri dalam kitab beliau:

قال لي هشام بن عمار: نظرت في أحاديث معاوية عندكم فوجدت أكثرها مصنوعا
Maksudnya: "Berkata padaku Hisyam bin 'Ammar: aku telah melihat hadith-hadith Muawiyah di sisimu dan aku dapati kebanyakannya adalah direka (palsu)."

Kesimpulannya disini ialah hadith manaqib Muawiyah yang diriwayatkan oleh al-Balazuri di dalam kitab Ansab al-Ashraf kebanyakannya DIREKA/PALSU, sebagaimana disahkan sendiri oleh guru al-Balazuri. Tiada isu tidak terima riwayat itu dan ini di dalam kitab beliau. Ini jelas menunjukkan kedangkalan berfikir BK ketika membaca.


2. Kedangkalan ES diteruskan lagi apabila beliau berkata Hisyam bin 'Ammar ini banyak dikritik pada hadith musik. Apakah ini??? Kita berbicara tentang Hisyam bin 'Ammar, bukan mengenai hadith musik secara khusus.


3. ES juga berkata Hisyam bin 'Ammar ini orang Syam lubuk Muawiyah, dengan andaian bahawa Muawiyah dahulu adalah wali di Syam, justeru kenyataan Hisyam bin 'Ammar dibuat atas dasar menyokong Muawiyah.

Saya katakan: Ini juga tidak berasas. Untuk berkata demikian, perlu melihat pada kalam ulama mengenai beliau adakah ada beliau memuji Muawiyah atau mempunyai pandangan muyul kepadanya?

Mari kita lihat di dalam Makrifah al-Tsiqat (332/2), al-Jarh wa al-Ta’dil (66/9), al-Tsiqat (233/9), Tahzib al-Kamal (247/30), Makrifah al-Qura’ al-Kibar (196/1):

وقد وثَّقَه يحيى بن معين، وقال النسائي: لا بأس به، وقال الدارقطني: صدوق كبير المَحَلِّ، وَقَال العِجْلي: ثقة صدوق، وَقَال أبو حاتم: صدوق، وذكره ابن حبان في الثقات.  وقال يحيى بن مَعِين: هشام بن عمَّار أحبُّ إلي من ابن أَبي مالك، وقال عنه مَرَّة: كَيِّسٌ! كَيِّس!
Maksudnya: “Yahya bin Ma’in mengatakan beliau tsiqah, kata al-Nasa’i: la baksa bihi, kata al-Daraquthni: soduq dan berkedudukan besar, kata al-’Ijliy: tsiqah soduq, kata Abu Hatim: soduq, dan ia disebut oleh Ibn Hibban dalam kitabnya al-Tsiqat. Kata Yahya bin Ma’in: Hisyam bin ‘Ammar lebih aku sukai berbanding Ibn Abi Malik, dan pernah suatu kali beliau berkata: bijaksana! Bijaksana!”

Perhatikan. Tiada satupun yang mengatakan beliau pro-Muawiyah ataupun muyul kepadanya. Justeru, bagi mereka yang mendakwa Hisyam bin 'Ammar pro-Muawiyah, bawakan dalil untuk dakwaan tersebut.


4. ES turut mendakwa ‘Ubaidullah bin Musa tidak menyukai Muawiyah. Perkataan ini juga perlu merujuk kalam ulama kenapa beliau membenci Muawiyah. Jom kita lihat di bawah dalam Tarikh Baghdad (427/14):
عبد الله بن موسى ـ وصوابه: عبيد الله بن موسى ـ فهذا هو الذي يذكر أنه تناول معاوية بن أبي سفيان، وقد أرسل الإمام أحمد رسولا إلى يحيى بن معين وهو بمسجد الجامع بالرصافة، فقال له: أخوك أبو عبد الله أحمد بن حنبل يقرأ عليك السلام ويقول لك: تكثر الحديث عن عبيد الله بن موسى العبسي، وأنا وأنت سمعناه يتناول معاوية بن أبي سفيان، وقد تركت الحديث عنه، فرفع يحيى بن معين رأسه وقال للرسول: اقرأ على أبي عبد الله السلام، وقل له: يحيى بن معين يقرأ عليك السلام، ويقول لك: أنا وأنت سمعنا عبد الرزاق يتناول عثمان بن عفان، فاترك الحديث عنه، فإن عثمان أفضل من معاوية
Maksudnya: “‘Abd Allah bin Musa-atau lebih tepat- ‘Ubaidullah bin Musa-beliau pernah disebut mengecam Muawiyah bin Abi Sufyan, lalu Imam Ahmad menghantarkan utusan kepada Yahya bin Ma’in di Masjid Jami’ al-Rusafah, ‘Iraq (utusan itu membacakan surat tersebut) dengan berkata: saudaramu Abu ‘Abd Allah Ahmad bin Hanbal mengucapkan salam padamu dan berkata: terlalu banyak hadith dari ‘Ubai Allah bin Musa al-’Absiy, aku dan kamu telah mendengar beliau mengecam Muawiyah bin Abi Sufyan dan aku sudahpun meninggalkan hadithnya. (Selepas mendengar), Yahya bin Ma’in bingkas mengangkat kepalanya seraya berkata kepada utusan itu: bacakan (tuliskan) salam kepada Abu ‘Abd Allah dan katakan padanya: Yahya bin Ma’in mengucapkan salam kepadamu, dan beliau berkata padamu: aku dan kamu telah mendengar ‘Abd al-Razaq turut mengecam ‘Uthman bin ‘Affan, tinggalkanlah hadith riwayat beliau, kerana ‘Uthman lebih afdhal dari Muawiyah.”

Ini jelas menunjukkan bahawa Yahya bin Ma’in dan Imam Ahmad bin Hanbal menolak hadith perawi tasyayyu’ seperti ‘Ubaidullah bin Musa dan ‘Abd al-Razaq bin Hammam. Justeru, tidak boleh untuk mengatakan ‘Ubaidullah bin Musa membenci Muaiwyah sebagai dalil, sedangkan para ulama hadith menolak hadith riwayat perawi tasyayyu’ seperti ini.

Manakala di dalam Tahzib al-Tahzib (53/7) menyebut:
عبيد الله بن موسى من المتروكين تركه أحمد لتشيعه
Maksudnya: “‘Ubaidullah bin Musa adalah salah seorang yang boleh ditinggalkan periwayatannya dan telah ditinggalkan Imam Ahmad atas sebab tasyayyu’.”

Terdapat banyak kalam ulama jarh wa ta’dil yang menebuk peribadi ‘Ubaidullah bin Musa akan hadith yang diriwayatkan oleh beliau. Dapat disimpulkan bahawa ucapan beliau mengenai Muawiyah tertolak atas dasar beliau tasyayyu’. 


5. ES turut mengatakan ‘Ali bin al-Ja’d telah mengkafirkan Muawiyah. Jika kita semak, ada satu riwayat yang berkata demikian dalam Mawsu’ah Aqwal al-Imam Ahmad bin Hanbal fi Rijal al-Hadith wa ‘Ilaluh (1866):
قال ابن هانى: سمعت أبا عبد الله، وقال له دلويه: سمعت علي بن الجعد يقول: مات والله معاوية على غير الإسلام
Maksudnya: “Kata Ibn Haniy: aku telah mendengar Abu ‘Abd Allah beliau berkata kepada Dallawaih: aku telah mendengar ‘Ali bin al-Ja’d berkata: Demi Allah Muawiyah telah mati bukan dalam agama Islam.”

Adakah riwayat di atas maqbul? Jom kita lihat apa kata ulama jarh wa ta’dil:
Al-’Uqailiy dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir (224/3):
وقال العقيلي: قلت لعبد الله بن أحمد بن حنبل: لم لم تكتب عن علي بن الجعد ؟ فقال: نهاني أبي أن أذهب إليه، فكان يبلغه عنه أنه تناول أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: “Kata al-’Uqaily: aku bertanya ‘Abd Allah bin Ahmad bin Hanbal: kenapa kamu tidak mengambil riwayat dari ‘Ali bin al-Ja’d? Beliau menjawab: ayahku (Imam Ahmad) menegahku dari mengambil ilmu darinya kerana beliau diketahui mempunyai riwayat yang mencerca sahabat Nabi s.a.w.”

Begitu juga di dalam kitab yang sama:
حدثنا يحيى بن زكريا النيسابوري قال: سمعت زياد بن أيوب يقول: سأل رجل أحمد بن حنبل عن علي بن الجعد، فقال الهيثم: ومثله يسأل عنه؟ فقال أحمد: أمسك أبا عبد الله، فذكره رجل سني، فقال أحمد: ويقع في أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: “Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Zakaria al-Naisapuriy katanya: aku telah mendengar Ziyad bin Ayyub berkata: seorang lelaki bertanya Imam Ahmad bin Hanbal mengenai ‘Ali bin al-Ja’d, kata al-Haitham: adakah yang sama sebagaimana disoal mengenai beliau? Jawab Imam Ahmad: Sila diam Abu ‘Abd Allah, beliau menyebut mengenai lelaki sunni, lalu Imam Ahmad berkata: beliau (‘Ali bin al-Ja’d) pernah mencerca sahabat Nabi s.a.w.”


Ada banyak lagi kritikan terhadap ‘Ali bin al-Ja’d, sekalipun beliau guru al-Bukhari, dan al-Bukhari meriwayatkan 14 hadith dari beliau dalam sahihnya, ia bukanlah hujah. Ini kerana al-Bukhari memilih dan menapis riwayat, sebagaimana saya telah huraikan disini sebelum ini: https://www.facebook.com/asianmanx/posts/10211994979901253

Justeru, perkataan ‘Ali bin al-Ja’d terhadap Muawiyah itu tidak boleh dijadikan hujah kerana beliau tasyayyu’. Saya tidak faham bagaimana cara BK berfikir dengan mengambil kira hujah orang yang membenci seseorang sebagai dalil. Bukankah tasyayyu’ ini dinilai tidak adil oleh muhaddithin? Ini adalah suatu kedangkalan befikir BK yang berkekalan selamanya.


5. TULISAN ES PERSIS KITAB SYIAH
Kalau diikutkan, terlalu banyak ingin dituliskan mengenai tulisan BK yang penuh dengan jenayah ilmu serta jahil dalam isu khilaf fiqhiyyah yang terjadi dalam kalangan sahabat Nabi s.a.w. Beliau juga hanya tahu menukilkan sumber, jahil berfikir tanpa mengetahui maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh ulama.

Saya berani katakan tulisan ES mengenai sahabat Nabi s.a.w atau sejarah Islam adalah seperti kitab-kitab Syiah yang penuh dengan riwayat palsu dan cercaan terhadap sahabat Nabi s.a.w dan WAJIB dijauhi oleh para pembaca yang baru ingin mengenali Islam.

Saya nukilkan disini kalam Sheikh ‘Abd Allah bin Salih bin ‘Abd al-’Aziz al-Ghasn dalam Da’awa al-Munawi’in (564/1), ketika menjawab tuduhan Syiah ke atas Ibn Taimiyyah:
الروافض من أجهل الناس في العقليات، وأكذبهم في النقليات، ولما كانت كتبهم مليئة بالأحاديث الموضوعة التي لا إسناد لها، أو الضعاف الواهيات: لم يركز ابن تيمية رحمه الله نقده على السند، لوضوح وضعه أو ضعفه عند المشتغلين بالفن، وركز على نقد المتن، ومخالفته للنصوص الأخرى الواردة في المسألة
Maksudnya: “(kata Ibn Taimiyyah dalam Minhaj al-Sunnah (8/1)) : Golongan Syiah Rafidhah adalah sejahil-jahil manusia ketika berfikir, sedusta-dusta manusia ketika menukilkan riwayat, di mana kitab-kitab mereka dipenuhi dengan hadith-hadith palsu yang tiada langsung sanad padanya ataupun hadith tersangat lemah. Inilah sebab kenapa Ibn Taimiyyah menumpukan kritikan pada sanad, untuk menjelaskan kepalsuan atau kelemahan orang yang bergelumang dalam  berkarya. Beliau juga menumpukan kritikan pada matan yang menyelisihi nas-nas lain yang wurud di dalam sesuatu masalah.”

Nasihat saya pada ES janganlah sibuk mencari kepelikan dalam kitab tetapi carilah kebenaran. Bukankah ulama telah sepakat supaya diam dan tidak mengeji para sahabat? Hatta dalam kitab Syiah juga ada riwayat supaya tidak mencela sahabat Nabi s.a.w. Jadi di mana manhaj anda dan apakah yang anda kejar dalam tulisan anda?

Saya sertakan di sini gurindam buat ES:
“Jika menjadi Syiah bodoh, jadilah yang bijak. Jika menjadi Syiah pendusta, jadilah yang jujur. Jika masih menjadi Syiah, jadilah ahli sunnah wa al-jama’ah.”


[ Segala latar belakang, sifat dan pandangan oleh penulis artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian RMB ]

___________________________
~ Muhamad Haris Ismail ~
Sahabat PENA





Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments