Malaysia - Indonesia - India : Sejarah Yang Sentimental

OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin

MALAYSIA - INDONESIA - INDIA: SEJARAH YANG SENTIMENTAL

Agak sukar untuk menaratifkan sejarah tiga negara ini tanpa mengaitkannya antara satu sama lain. Pada zaman moden hari ini ketiga-tiganya berdiri atas sempadan, bangsa, bahasa dan nilai nasionalismenya yang tersendiri, lalu kelihatan asing antara satu sama lainnya. Masing-masing curiga, skeptik, dan terkadang mengklaim superioriti sejarah ke atas yang lain. Malaysia berbangga dengan kebesaran Bahasa Melayu ketika Melaka dan Srivijayanya; Indonesia merasakan lebih superior, abang besar kepada Malaysia dengan Majapahitnya; dan India pula berbangga dengan pengaruh period Indianisasi di seluruh Kepulauan Melayu ini.

Kepada pelajar sejarah, kita tak dapat lupa bahawa ketiga-tiga negara ini berkongsi nostalgia yang serupa. Secara amnya, kesemuanya tidak wujud sebagai negara moden sepertimana kita saksikan hari ini. India bukan sempadan yang kita lihat hari ini, juga tidak Indonesia, apatah lagi Malaysia. India terpecah kepada beberapa kerajaan yang memerintah dalam sela masa dan wilayah yang berbeda-beda. Antaranya Dinasti Chola, Vijayanagar, Maratha dan Mughal yang wujud pada tompok geografi yang bukan sepertimana India pada hari ini (terkecuali Vijayanagar yang pernah menyatukan seluruh India). Model India hari ini adalah hasil perkembangan selepas zaman kolonialisme British yang mencetuskan kebangkitan nasionalisme secara menyeluruh. Dalam kes Indonesia, nama Indonesia yang kita dengar hari ini hanya bermula lebih 100 tahun yang lalu selepas pertapakan Belanda di Betawi. Sebelum itu, Indonesia juga wujud terpecah-pecah antaranya dengan Sumateranya, Pulau Jawa, Sulawesi dan Irian. Lebih awal, Srivijaya berpusat di Palembang dan Majapahit di Jawa Timur. Tiada Indonesia. Yang wujud adalah mandala kuasa yang bersaing antara satu sama lain. Bagi Malaysia, kita tahu ia hanya wujud tahun 1963 (tanpa mencampuri perbincangan tentang konsepnya yang wujud sejak penghujung abad ke-19 di Parlimen London). Sebelum Malaysia moden, setiap negeri wujud secara terasing dengan wilayah kekuasaan masing-masing. Melaka adalah Melaka, bukan Malaysia. Gangga Negara satu kerajaan, Beruas satu kerajaan, Tanah Merah satu kerajaan, dan Sabah di bawah Kesultanan Brunei dan Sulu.

Kita semua, sepertimana yang wujud kini, adalah produk kolonialisme. Produk di ambang “dekolonialisasi”. Pada awalnya, Kolonial British dan Belanda menandakan Malaysia dan Indonesia masing-masing sebagai British East Indies dan Dutch East Indies. Kedua-duanya dinisbahkan kepada arah mata angin daripada Indies, iaitu India. India punya pengaruh yang sangat meluas di Kepulauan Melayu sejak abad awal Masihi. Pengaruh Hindu-Buddhanya melata ke seluruh Kepulauan Melayu. Tersebar agama tersebut dengan nilai artistik dan seninya. Bahasa Sanskrit menebarkan pengaruh terhadap bahasa asal penduduk Kepulauan Melayu lalu menyerap masuk sebagai kosa kata baharu yang berkaitan kepercayaan dan politik. Sorga, Sakti, Dewa, Dewi, Nagara, Mandalam, Raja dan Maharaja menjadi sebahagian daripada kata pinjaman yang masih kekal sehingga kini. Nama manusianya turut terserap khususnya di wilayah Indonesia hari ini. Parameswara, Ganesha, Dewi, Kartika, Ratna, Aditya dan Rani antara yang pernah digunakan dan masih wujud. Untuk makluman, mereka adalah orang Kepulauan ini yang beragama Hindu, bukan orang dari wilayah India (atau Tamil) seperti yang disangkakan sesetengah pihak. Kemudian, pengaruh Hindu-Buddha perlahan-lahan lenyap selepas kedatangan Islam di Kepulauan Melayu pada lebih kurang abad ke-12M (terdapat beberapa tarikh bagi kedatangan Islam, tetapi bagi rujukan pasti saya menggunakan lebih kurang tempoh kerajaan Samudra-Pasai). Bermula waktu ini, aqidah penduduk Kepulauan Melayu berubah kepada kepercayaan monotheis daripada politheis sebelumnya. Namun, dalam aspek budaya, bahasa dan kesenian masih tersisa pengaruh Indianisasi yang wujud sebelum itu. Menurut Prof. Syed Naquib Al-Attas, Islam pantas menebarkan sayapnya menggantikan Hindu-Buddha adalah kerana kehadiran Hindu-Buddha di Kepulauan Melayu tidak menekankan kepercayaan kepada Tuhan (aqidah), tetapi lebih menumpukan kepada persoalan artistik dan kesenian. Sebab itulah kita masih melihat elemen sebegitu masih wujud dalam masyarakat di Kepulauan Melayu sehingga kini walaupun majoritinya beragama Islam.

Seterusnya, dalam sejarah Malaysia-Indonesia, titik terpenting yang memisahkan dua negara tersebut selama-lamanya berlaku pada tahun 1824 dengan termetrainya Perjanjian British-Belanda. British dan Belanda memecahkan Kepualauan Melayu semahu mereka kepada dua bahagian berasingan, Utara dan Selatan. Utara milik British, meliputi Semenanjung Malaysia sehingga Singapura. Manakala Selatan milik Belanda, meliputi Sumatera dan Pulau Jawa. Di sinilah bermulanya pengilhakan Kepulauan Melayu yang kemudian berkembang menjadi Malaysia dan Indonesia moden. Konsep sempadan antarabangsa muncul dengan Pelabuhan Singapura dan Pelabuhan Betawi masing-masing menjadi pusat transit antara Pelabuhan Betawi masing-masing menjadi pusat transit antara dua negara tersebut. Laut yang satu masa dahulu menjadi penghubung antara Malaysia-Indonesia, kini berubah menjadi sempadan yang membataskan pergerakan. Sebelum 1824, penduduk Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa dan lain-lain di sekitarnya bebas bergerak sekitar wilayah Kepulauan Melayu tanpa sekatan visa sempadan. Tiada konsep imigran. Yang ada hanya perantau. Di sinilah selalunya berlaku salah tafsiran terhadap orang Melayu di Malaysia pada hari ini. Puak yang tak faham sejarah akan menuduh orang Melayu sebagai pendatang dari Indonesia. Tidak. Itu tidak benar. Sebelum 1824, tiada orang Indonesia dan orang Malaysia. Yang ada hanya orang Kepulauan Melayu (atau disebut juga Kepulauan Indonesia/Nusantara). Selagi mana perantau yang merantau ke tempat baharu itu menumpahkan taat setia kepada pemerintah tempat baharunya, tiada sebarang isu serius yang timbul. Kalau adapun, yang dibangkitkan adalah berkaitan perbezaan keturunan keluarga dan bahasa, bukan “kewarganegaraan”.

Tujuan saya menulis panjang kali ini sekadar untuk memberi sedikit peringatan bahawa hubungan Malaysia-Indonesia-India bukanlah wujud sejak sekadar empat lima puluh tahun yang lalu. Hubungan ini adalah hubungan beribu tahun lamanya. Berkongsi banyak kisah suka-duka. Mempengaruhi antara satu  sama lain. Kita terpisah dan terasing dek kerana kolonialisme, bukan kerana kemahuan sendiri. Hari ini, muncul pihak-pihak yang mempersoalkan sejarah tanah ini dan mengklaim pemilikan terhadapnya. Ini tidak tepat. Dinasti Chola India misalnya, pernah menguasai Sumatera dan Semenanjung Malaysia pada sekitar abad ke-2M, tetapi bukan memilikinya. Senario ini adalah sepertimana Amerika menguasai Iraq pada hari ini. Mereka menguasai, tetapi bukan memiliki. Kesultanan Melaka pernah menguasai beberapa wilayah di Sumatera pada abad ke-15M, tetapi bukan memilikinya. Penguasaan Indonesia terhadap wilayah di Malaysia lebih meluas seperti yang termaktub dalam kitab jawa lamanya, Babad Nagarakertagama. Namun, penguasaan ini bukannya mutlak kerana semua wilayah yang dikuasai pernah mempunyai pemerintahnya sendiri dan akhirnya wilayah ini semua berjaya melepaskan diri daripada penguasaan.

Kepada yang suka belajar sejarah HANYA melalui Youtube dan blog, berusahalah untuk mencari sumber yang berautoritatif. Bukanlah tulisan ini sahaja yang benar, tetapi setidak-tidaknya ia dicedok dan disesuaikan daripada sumber yang autoritatif. Andaian tidak diterima sebagai fakta sejarah. Sejarah adalah fakta yang pasti. Jika tak pasti namanya legenda, bukan sejarah. Ramai yang terperangkap dalam laungan yang memukat emosi, dengan menggunakan sejarah sebagai modal, kononnya. Berhentilah saudara-saudara, berhentilah. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Negara ini adalah negara kita bersama. Hiduplah sebagai warganegara yang bertanggungjawab terhadap setiap manusia yang hidup di sekeliling kita. Perjalanan kita masih jauh...



___________________________
Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin ~
Unit Sejarawan
_____________________________






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments