Adakah Pengasas Dinasti Ming Seorang Muslim?

OLEH: Jaber Soh

Adakah Zhu Yuan Zhang (朱元璋) atau lebih dikenali sebagai Maharaja Hong Wu (洪武), pengasas Dinasti Ming, adalah seorang Muslim?

Sebenarnya orang yang pertama yang mempopularkan dakwaan ini bukanlah Golongan Muslim Cina atau Hui Cina, tapi ini adalah pendapat seorang pakar Bahasa Cina dan Pakar Ekonomi 周有光 (Zhou You Guang) .

Dalam sebuah artikel wawancara bersama Zhou You Guang (周有光)yang bertajuk 《百岁老人周有光答客问》yang disiarkan dalam akhbar《中华读书报》pada 22 Januari tahun 2005, Zhou You Guang (周有光) mendakwa bahawa telah terbukti bahawa Zhu Yuan Zhang (朱元璋) bukan Orang Cina Han, tapi bangsa Hui.

Seorang Professor Sejarah dari Minzu University of China (中央民族大学), 陈梧桐 (Chen Wu Tong), yang pernah menjadi penasihat bagi sebuah pertubuhan khas untuk mengkaji tentang Zhu Yuan Zhang dan sejarah Dinasti Ming yang bernama (朱元璋研究会) , yang merupakan sebahagian dari pertubuhan akademik pengkaji sejarah Dinasti Ming (中国明史学会), yang dianggotai oleh lebih 350 ahli akademik sejarah pengkaji Dinasti Ming (juga diketuai oleh Jamaluddin Bai Shou Yi 白寿彝 dari 1989 - 1997) membantah pendapat Zhou You Guang ini.

Professor Chen Wu Tong (陈梧桐) menyatakan bantahan kepada dakwaan ini dalam surat khabar sama, 《中华读书报》pada 21 Jun tahun 2005 dengan artikel yang bertajuk:

"Siapa yang membuktikan bahawa Zhu Yuan Zhang adalah Bangsa Hui (Muslim)?"

《谁证明了朱元璋是回族?》

Berikut adalah poin-poin penting dari artikel Professor Chen Wu Tong (陈梧桐) yang membantah dakwaan Zhou You Guang (周有光)yang mendakwa bahawa Zhu Yuan Zhang (朱元璋) adalah seorang Muslim.

Professor Chen Wu Tong (陈梧桐) memetik karya 白寿彝 (Jalamuddin Bai Shou Yi), seorang pakar tentang sejarah Islam di China dari nota kaki bukunya《中国伊斯兰史纲要》(Sejarah Islam Di China) yang diterbitkan pada tahun 1946 di mana  dalam bab 《民族宗教论集》,河北教育出版社 Terbitan Kementerian Pelajaran Hebei pada tahun 2001, mukasurat 412:

"Mengikut kisah Orang-orang lama, Ming Tai Zu (明太祖)(Zhu Yuan Zhang 朱元璋),(
Juga digelar Maharaja Hong Wu 洪武大帝) adalah orang Hui; Maharaja Jian Wen(建文帝) (Cucu Zhu Yuan Zhang) keluar dari Istana kerana menunaikan ibadah Haji. Dan ada yang percaya, Maharaja Ming Wu Zong (明武宗) (Zhu Hou Zhao 朱厚照) juga beragama Islam."

Namun Jamaluddin Bai Shou Yi anggap ianya sekadar kisah dongeng, kerana dalam karya-karyanya yang lain, Bai Shou Yi tidak pernah meletakkan nama Maharaja Hong Wu, Maharaja Jian Wen dan Maharaja Ming Wu Zong dalam senarai Orang-orang Islam dalam sejarah Cina. Bahkan biography Orang-orang Hui (Muslim) beliau yang bertajuk 《回族人物志》juga beliau tidak meletakkan nama ketiga-tiga Maharaja Dinasti Ming ini. Ini menunjukkan Bai Shoi Yi juga sangsi dengan dakwaan kononnya Maharaja Dinasti Ming beragama Islam.

Terlalu banyak rekod sejarah yang menunjukkan bahawa Maharaja Ming Zhu Yuan Zhang bukan beragama Islam.

Contohnya, semasa beliau masih kecil, ibu bapanya menghantarnya ke Kuil Huang Jue (皇觉寺) kerana beliau sering sakit semasa kecil untuk berdoa agar Zhu Yuan Zhang cepat sembuh.

"曩者父母因某自幼多病,舍入皇觉寺"

Sumber:
《七修类稿》卷7,《朱氏世德碑》

Sejak Zhu Yuan Zhang menjadi Maharaja, beliau menggalakkan penyebaran budaya Confucianism, Taoism dan Buddhism, memberi pelepasan cukai kepada kuil-kuil Buddhist, mengeluarkan dana untuk bina kuil-kuil Buddhist, di samping memberikan kuil-kuil Buddhist ini tanah untuk bercucuk tanam.

Malahan, Zhu Yuan Zhang sendiri terlibat dengan upacara sembahyang Buddhist, di mana beliau menjemput beberapa Sami Buddha yang terkenal untuk mengadakan upacara sembahyang Buddha, dan beliau sendiri mengetuai upacara sembahyang ini.

Selain itu, beliau juga terlibat dengan upacara sembahyang Taoist, di mana beliau sendiri terlibat dengan upacara sembahyang untuk berdoa agar turunnya hujan.

Zhu Yuan Zhang berdiri di tengah panas terik, tidur di atas lantai pada malam hari, dan tidak bertukar baju sepanjang hari dalam mengikut upacara sembahyang Taoism untuk mendoakan hujan turun.

Sumber :
《明太祖实录》卷 53.

Namun begitu, Zhu Yuan Zhang juga banyak menjaga kebajikan Orang-orang Islam, lebih-lebih lagi di kawasan Nanjing(南京), Xi An(西安), Xi Bei(西北), Min Yue(闵越). Beliau banyak membina Masjid di kawasan-kawasan ini, malah menulis sebuah syair untuk memuji Rasulullah S.A.W. yang terkenal yang dinamakan 《至圣百字赞》

Sumber :
《至圣天方实录》卷 20

Namun, ini bukan disebabkan beliau beragama Islam. Beliau melakukan ini untuk mengambil hati penduduk Muslim di dalam negara, dan juga untuk mengambil hati askar dan panglima Muslim yang berkhidmat untuknya.

Oleh itu, walaupun Zhu Yuan Zhang membina Masjid, beliau tidak pernah meletakkan agama Islam setaraf dengan agama Buddhism dan Taoism.

Agama Buddha mempunyai jabatan dari Kerajaan Ming yang bernama 僧录司 yang mengendalikan hal-ehwal agama Buddha; Taoism juga ditubuhkan Jabatan yang bernama 道录司 untuk menguruskan hal-ehwal agama Taoism.

Namun, agama Islam tidak disediakan apa-apa Jabatan khas mahupun pelepasan cukai khas dari Kerajaan Dinasti Ming.

Ini sekali lagi merupakan bukti kukuh bahawa Maharaja Hong Wu Zhu Yuan Zhang tidak beragama Islam.

Dan akhir sekali, penyediaan makanan dalam Istana.

Penyediaan makanan dalam Istana dalam setahun banyak menggunakan daging babi.

光录寺, yang bertanggungjawab menyediakan makanan Istana merekodkan bahawa daripada 30100 binatang ternakan yang disembelih dalam setahun, sebanyak 18900 ekor babi yang disembelih dalam setahun itu.

Sumber :
万历 《明会典》卷 116

Selain itu, Maharaja Hong Wu Zhu Yuan Zhang, pada tahun Hong Wu 26, juga menetapkan bahawa 19 ekor babi perlu disembelih setiap kali upacara sembahyang memuja nenek moyang diadakan.

Dan pada zaman Maharaja Wan Li 万历,jumlah babi yang disembelih untuk upacara sembahyang meningkat kepada 31 ekor babi.

Ini membuktikan bahawa Maharaja Hong Wu Dinasti Ming, Zhu Yuan Zhang tidak beragama Islam sebagaimana dongeng-dongeng lama yang disebarkan.

Sumber:
万历 《明会典》卷 86


Maka dengan ini, amat jelaslah bahawa Maharaja Hong Wu Zhu Yuan Zhang tidak beragama Islam; walaupun begitu, beliau sangat mesra dengan Orang-orang Islam pada zamannya dan banyak membina Masjid di kawasan Nanjing dan XiBei.

___________________________
~ Jaber Soh ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________

Comments