Surat Chop Sultan Zainal Abidin III kepada Hugh Clifford : Ekspedisi ke Trengganu & Kelantan – 24 Jan – 18 Jun 1895
OLEH: Izmal Karim
Surat & Sejarah : Surat Chop Sultan Zainal Abidin III kepada Hugh Clifford : Ekspedisi ke Trengganu & Kelantan – 24 Jan – 18 Jun 1895.
Deskripsi :
Transliterasi dari Jawi Lama kepada Roman Melayu :
“Tarikh sanah 1312 pada 3 haribulan syawal hari khamis pukul 3 maka dewasa itulah kita Sultan Zainal Abidin bin Almarhum Sultan Ahmad yang empunya perintahan negeri Terengganu memperbuatkan surat keterangan yang di meterikan chap di atas ini beri kepada tuan Hugh Clifford Acting British Residen Pahang bertiga dengan Luang Visudh dan Luang Swat menyatakan adalah kita telah membenarkan tuan Hugh Clifford Acting British Residen Pahang bertiga dengan Luang Visudh dan Luang Swat boleh kuasa memeriksakan di atas mana-mana daripada rakyat2 yang di dalam jajahan negeri kita pihak hulu sungai Terengganu dan di dalam daerah segala anak2 sungai yang takluk kita yang telah disangka oleh tuan Hugh Clifford Acting British Residen Pahang dan Luang Visudh dan Luang Swat bertiga itu akan seorang daripada rakyat2 kita di dalam daerah yang tersebut itu melindungkan akan mereka yang derhaka kepada kerajaan Pahang yang termaklum Si Bahaman Si Rasu dan Mat Kilau dan yang bersama2 mereka itu menyorokkan pekhabaran atau rahsia mereka itu supaya melindungkan diri mereka itu sekarang ini di mana2nya maka bolehlah tuan Hugh Clifford Residen Pahang dan Luang Visudh dan Luang Swat bertiga periksa dengan sebagai periksa yang patut kepada ketiganya itu dan jika didapati akan keterangan yang sah dan nyatalah seseorang itu menolong akan mereka itu dengan memberi makanan atau barang sebagainya daripada segala jenis pertolongan maka boleh tuan Hugh Clifford Residen Pahang dan Luang Visudh dan Luang Swat di hadapannya bertiga2 melakukan hukum keseksaan di atas seorang itu dengan sebagaimana yang patut kepada ketiganya pada ketika itu juga dan jika sekiranya berhubunglah daripada segala perkara yang tersebut itu kepada mereka tiada kuasa serta segala anak raja2 dan segala tuan2 sayid dan segala orang besar maka keluarlah daripada kuasa surat ini melainkan hendaklah dinyatakan kepada kita dan mengambil mesyuarat daripada kita supaya kita menolong dengan kekuatan kita atas yang demikian supaya jangan menjadi kecederaan dan kesusahan kepada tuan Hugh Cliford Residen Pahang dan Luang Visudh dan Luang Swat boleh kita bicarakan dengan bicara yang patut demikian adanya”
Sir Hugh Charles Clifford |
Surat Chop Kuasa Sultan Zainal Abidin III Trengganu kepada Hugh Clifford Acting British Residen di Pahang dan Luang Visudh dan Luang Swat dari Siam dalam misi ekspedisi memburu dan menangkap Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Kelubi dan pengikut mereka kerana di tuduh menentangkan Sultan Pahang dalam menerima Residen British di Pahang.
Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Kelubi dan pengikutnya keluar dari Pahang bergerak ke Trengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan dan bantuan dari pembesar,ulamak dan Sultan yang lain. Sultan Zainal Abidin III dengan Tokku Paloh Trengganu menjadi tokoh penting yang sedia membantu serta memberikan perlindungan kepada kumpulan ini secara sembunyi ketika menjadi orang buruan Hugh Clifford, pasukan keselamatan British dan wakil Siam.
Walau bagaimanapun misi Hugh Clifford ini menemui kegagalan meskipun mempunyai ahli pasukan yang agak besar terdiri dari pasukan keselamatan berbangsa Sikh, Melayu, Dayak,Orang Asli dan wakil dari Kerajaan Siam.
Kegagalan utama berikutan tidak mendapat sokongan dari Rakyat, Pembesar, Ulamak serta Sultan di Trengganu dan Kelantan. Selain itu faktor mukabumi dan hutan tebal serta lembaran sistem sungai yang amat berbeza jika di bandingkan dengan Negeri-Negeri di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu.
Laporan lebih lanjut berkenaan ekspedisi ini boleh di baca dari sumber rekod dan rujukan yang di sediakan.
Rujukan :
1.A Journey through the Malay States of Trengganu and Kelantan. Hugh Clifford. The Geographical Journal, Vol. 9, No. 1 (Jan., 1897), pp. 1-37.
2.Report by Hugh Clifford. Expedition to Trengganu & Kelantan. 1938. Kuala Lumpur. Federated Malay States Government Press. 1938. Kuala Lumpur – Arkib Negara Malaysia.
3.Expedition to Trengganu and Kelantan. Khoo Kay Kim and Hugh Clifford. JMBRAS. Vol. 34, No. 1 (193), Expedition to Trengganu and Kelantan (May, 1961), pp. xi-xviii, 1-162.
4.Portrait Sir Hugh Charles Clifford (1866-1941), Colonial administrator, 1915 – National Portrait Gallery.
___________________________
~ Izmal Karim ~
Sahabat PENA
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment