Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Harus Dipertahankan, Golongan B40 Dan M40 Jangan Dicicirkan

OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin

Peruntukan 153 Perlembagaan Persekutuan harus dipertahankan, pada masa yang sama golongan yang "memerlukan" perlu diberi perhatian. Itulah semangat Perlembagaan.

Sekadar berkongsi pengalaman, dulu selepas STPM, aku menunggu lama untuk masuk universiti. Hampir tujuh tahun lamanya. Sementara kawan-kawan yang dapat kurang prinsipal daripada aku ditawarkan ke universiti, aku masih ternganga-nganga. Sebabnya, aku tak berada di bawah kuota 'Melayu'. Tapi aku agak cemerlang ketika itu. Dan aku bukan orang kaya. Ayah tiada, mak pun surirumah sahaja. Hidup hanya berehsan bantuan adik beradik lain.

Tapi satu sahaja yang menguatkan aku, iaitu keinginan untuk belajar. Kecewa, tapi tak pernah putus asa. Sepanjang hampir tujuh tahun itu berbelas kali aku mohon masuk universiti. Berpuluh kali mungkin, termasuk ke politeknik. Tapi hampa. Hinggalah penghujung November 2002, aku ditawarkan tempat belajar di Jabatan Sejarah, UPSI. Itu rezeki aku.

Aku tak merungut sepanjang tujuh tahun tersebut. Macam-macam kerja yang dibuat, dan selalu juga langsung tak bekerja apa-apa. Sabar dan tenang. Doa dan usaha. Akhirnya Allah buka jalan dan Dia bawa aku ke tempat yang aku tak pernah terlintas, 'unimaginable' bagi aku. DibayarNya segala usaha dan doa, aku dan mak aku, dengan tajaan dan biasiswa sehingga Phd di luar negara. Begitu rezeki diaturNya untuk aku.

Begitulah kami. Ramai yang ada potensi tetapi tak mampu untuk mendaki sendiri. Bergantung harap juga kepada kerajaan dan warga yang budiman.

Itulah yang sebaiknya. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan harus dipertahankan, dan golongan B40 dan M40 yang berkelayakan dan memerlukan harus turut diberi perhatian. Jangan ada keciciran yang menyakitkan.



___________________________
Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin ~
Unit Sejarawan
_____________________________

Comments