OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin
Pertama, watak tersebut masih menjadi pertikaian dalam kalangan sejarawan, samada mereka benar wujud ataupun sekadar sastera sejarah yang ditulis sebagai sebahagian daripada propaganda pembinaan kesetiaan feudalisme. Ia belum putus sebagai kebenaran sejarah yang muktamad.
Kedua, watak tersebut tidak melambangkan ciri dan nilai Islam yang sebenar. Terdapat banyak perbuatan dan tindak-tanduk mereka terkeluar daripada akhlak sebagai Muslim. Melarikan tunangan orang, mabuk, bermukah, membunuh dan keadilan selektif adalah kesalahan yang terang-terangan dikhabarkan.
Ketiga, jika Hang Tuah dipilih, maka itu merupakan simbol penundukan mutlak terhadap kuasa. Tuah adalah simbol hamba feudal. Tuah tiada nilai setiakawan. Manakala Jebat, meskipun memberontak membela sahabat, tetapi tetap juga melakukan banyak kerosakan terhadap harta dan kepentingan awam. Jebat adalah simbol hamba nafsu.
Keempat, kisah Tuah dan Jebat diselubungi banyak kisah tahyul dan khurafat yang bertentangan dengan agama dan adat sebagai manusia. Ia tidak logik pada akal manusia,tetapi dipaksa untuk diterima atas nama kesetiaan. Adapun ceritera hidup manusia biasa begini tidaklah termasuk sebagai sebahagian perkara ghaib yang wajib diimani.
Justeru, apakah penyelesaian menetapkan hero orang Melayu? Ada. Ramai. Banyak watak hero yang tidak diangkat selayaknya. Tidakkah sekian banyak watak pejuang kebebasan dan kemerdekaan orang Melayu dapat dijulang? Apakah orang Melayu hanya nampak Tuah dan Jebat - yang belum tentu betul, sedang berpuluh pejuang bangsa dan agama di Tanah ini diabaikan begitu sahaja?
Di mana mahu disembunyikan keberanian para pejuang seperti Dato Sagor dan Maharajalela, Rosli Dhobi, Tok Janggut, Rentap (dengan motto Agi Idup Agi Ngelaban),misalnya. Oh mereka adalah pembesar yang punya motif ekonomi. Habis jika tiada motif, untuk apa mahu ditentang si penjajah? Pemerkosaan ekonomi juga merupakan alasan absah bagi menentang penjajah.
Bagaimana pula dengan Burhanuddin Helmi yang terpenjara dan Abu Bakar Baqir yang diharamkan gerakannya? Tidakkah mereka juga hero? Semua watak yang disebut ini benar-benar wujud, melawan penjajah, mempertaruh pangkat dan nyawa demi tanah ini. Tiada unsur tahyul dan khurafat melingkari kisah mereka, sekurang-kurangnya tidaklah bagi mengkuduskan mereka.
Sudah tiba masanya sarjana Melayu duduk dan berbincang bagi meluruskan keperwiraan bangsa. Kembalilah kepada realiti. Realiti yang lebih menjanjikan. Pertentangan nilai antara hero dengan Islam adalah serius kerana, selepas Arab dan Turki, hanya (Alam) Melayu sahaja satu-satunya bangsa yang diasosiasikan dengan Islam. Maka pengiktirafan itu harus dipelihara dan terpelihara.
Ini pandangan saya. Silalah berbeza secara berhemah dan beradab. Saya tak semestinya benar.
___________________________
~ Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin ~
Unit Sejarawan
Unit Sejarawan
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment