Sejarah Syarikat-Syarikat Penerbangan Di Malaysia

OLEH: Taufiq Tuah



Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun juga tidak kurang hebatnya di dalam bidang penerbangan. Syarikat demi syarikat penerbangan di Malaysia muncul sekaligus membentuk agensi penerbangan yang dikenali dunia. Disebabkan penerbangan ini melibatkan pertalian antarabangsa, maka syarikat-syarikat ini akhirnya membawa nama Malaysia di persada dunia.

Malayan Airways merupakan syarikat penerbangan tertua di Malaysia yang diasaskan pada 1947. Kemudian Malayan Airways ini ditukar namanya kepada Malaysia-Singapore Airlines (MSA) pada 1966. MSA kemudiannya mengambil alih perjalanan penerbangan milik Borneo Airways Limited yang diasaskan pada 1957. Tinggal lah MSA sebagai syarikat penerbangan yang dominan di Malaya.

Sehinggalah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengambil keputusan berpisah dengan Singapura, maka syarikat MSA pula mulai berpecah kepada dua kumpulan iaitu Malaysia Airline System (MAS) dengan Singapore Airlines (SA). Perpisahan ini berlaku pada 1972.

Kemudiannya Malaysia Airline System mengubah logonya pada 1976. Pada 1987, MAS pula menukar nama kepada Malaysia Airlines tetapi masih mengekalkan akronim (MAS). Selepas peristiwa MH370, 'ranking' MAS merosot dan terus berubah namanya kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB).


Pada tahun 1972, MAS telah menubuhkan MasKargo bagi menjalankan penghantaran kargo. Pada 2007 pula, MAS telah mengasaskan dua lagi anak syarikat penerbangan iaitu Firefly dan Mawings. Kedua-duanya ialah penerbangan menggunakan kapal terbang ringan.


Air Asia pada asalnya dimiliki oleh DRB-HICOM dan  diasaskan pada 1993. Kemudian Tony Fernandes mengambil alih syarikat yang banyak dengan hutang ini pada tahun 2001. Harga syarikat ini hanyalah RM1 ketika itu memandangkan pemilik baharu perlu pula bertanggungjawab ke atas hutang yang banyak daripada pemilik lama.

Air Asia akhirnya membuat beberapa anak syarikat seperti Air Asia X, Indonesia Air Asia, Indonesia Air Asia X, Philippines Air Asia, Thai Air Asia, Air Asia India dan Air Asia India.



National Aerospace & Defence Industries (NADI) merupakan syarikat di Malaysia yang telah bekerjasama dengan Lion Air syarikat Indonesia bagi membentuk Malindo Air. Kerjasama ini dimulakan pada tahun 2012. Nama Malindo diambil daripada gabungan nama dua negara yang bekerjasama iaitu MALaysia dan INDOnesia.


Gading Sari diasaskan pada 1996 dan banyak menghantar barangan kargo daripada Pos Malaysia. Kemudian diambil alih oleh DRB-HICOM dan menamakan nama baharunya Asia Cargo Express pada tahun 2016.

Rayani Air merupakan syarikat penerbangan yang diasaskan pada 2015. Namun akhirnya ditutup pada 2016 kerana telah melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.


[Poster BONUS]

Lapangan Terbang Sungai Besi merupakan  lapangan terbang pertama di Malaysia. Pada 1 Ogos 1956, lapangan terbang ini telah diiktiraf sebagai lapangan antarabangsa.


___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi








Comments