OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Perkahwinan Seketurunan yang dimaksudkan adalah perkahwinan antara lelaki dan perempuan yang memiliki kekerabatan.
Dalam Dilema Melayu, penulis cuba mengungkap kelemahan Kaum Melayu pada hari ini dan salah satunya disebabkan oleh perkahwinan jenis ini yang diamalkan. Antara kata penulis dalam mukadimah:
"Kalaulah begitu, memang wajarlah dikatakan bahawa pembiakan seketurunan dan amalan kahwin paksa di kalangan orang-orang yang cacat telah menyebabkan peratusan manusia yang gagal di kalangan orang Melayu lebih tinggi kalau berbanding dengan kaum-kaum lain"
(MM, Dilema Melayu)
Namun pada hakikatnya perkahwinan seketurunan ini wujud dalam banyak tamadun besar dunia sejak zaman dahulu sehinggakan ada dari masyarakat purba yang mengamalkan perkahwinan antara adik beradik seperti kaum Romawi.
Perkahwinan dari satu rahim atau antara orang tua dan anaknya tidak diamalkan oleh manusia secara umum melainkan beberapa bangsa atau budaya. Perkahwinan jenis ini - antara mahram - jelas diharamkan dalam agama samawi.
Dalam tamadun China, perkahwinan seketurunan (terutama antara sepupu) adalah dibenarkan kecuali anak dari dua lelaki bersaudara kerana mereka memiliki nama keluarga yang sama sehingga klan tersebut tidak dapat berkembang.
Cumanya pelarangan perkahwinan antara satu pupu mula dilaksanakan pada zaman China diperintah oleh Republik Rakyat China (PRC) melalui Undang-undang Perkahwinan 1980.
Di Amerika Syarikat contohnya Josiah Bartlett - seorang doktor yang kemudian menjadi ahli politik serta Gabenor New Hampshire - berkahwin dengan sepupunya, Mary Bartlett dan memiliki 10 orang anak termasuk Josiah Bartlett Jr yang turut mengikut jejak langkah ayahnya: menjadi doktor dan ahli politik.
Mungkin nama Josiah Bartlett tidak terkenal berbanding Franklin Delano Roosevelt, Presiden USA.
Franklin Roosevelt telah berkahwin dengan Anna Eleanor Roosevelt yang merupakan sepupu sekali. Mereka memiliki anak-anak yang sihat dan ada dari mereka yang masuk ke Universiti Harvard, sebuah universiti yang berprestij di Amerika Syarikat. Antara anak-anaknya adalah:
° Anna Roosevelt Halsted: penulis & editor terkenal
° James Roosevelt II: Brigedier Jeneral, lulusan Universiti Harvard
° Elliott Roosevelt: Brigedier Jeneral
° Franklin Delano Roosevelt Jr: politikus, peguam dan ahli perniagaan. Lulusan Universiti Harvard
° John Aspinwall Roosevelt: ahli perniagaan, lulusan Universiti Harvard
Begitu juga di Peru, Mario Vargas Llosa yang merupakan penerima anugerah Nobel telah berkahwin dengan sepupu beliau iaitu Patricia Llosa dan memiliki beberapa orang anak yang turut berjaya (dari kaca mata Barat).
° Álvaro Vargas Llosa: penulis dan dilantik sebagai Young Global Leader 2007 oleh Forum Ekonomi Dunia di Davos.
° Morgana Vargas Llosa: lulusan London School of Economics
° Gonzalo Vargas Llosa: wakil UNHCR, lulusan University College, United Kingdom
Cukuplah kita bawakan tiga contoh sahaja - yang mana contoh ini dari Barat lantaran ada dari kalangan kita yang sangak skeptikal terhadap masyarakat Islam - agar tulisan ini tidak terlalu panjang dengan senarai tokoh-tokoh dunia yang mengamalkan perkahwinan seketurunan sejak zaman bahari hingga zaman ini.
Adapun buku Dilema Melayu ini telah lama berada dalam simpanan kami semenjak di zaman belajar lagi. Namun sehingga hari ini buku ini masih gagal untuk dihabiskan.
Setiap helaian yang diselak akan membuahkan rasa sakit seperti dikelar dengan pisau belati lantaran kritikan semberono dan hujahan tanpa fakta dari penulis.
Mungkin penulis tidak banyak mengetahui pasal sejarah dunia, sejarah Islam, sejarah Tanah Melayu dan akal budi Melayu, serta kurangnya pembacaan seputar ilmu sosiologi.
Buku Dilema Melayu ini banyak dikritik oleh ilmuan lain, antaranya Prof Syed Hussein Alatas. Beliau yang dikenal sebagai ahli sosiologi peringkat dunia membantah pandang-pandang yang diungkapkan dalam Dilema Melayu secara bersahaja dalam sebuah buku kecil.
Malah Prof Syed Hussein Alatas juga ada menulis sebuah buku khusus yang berbobot dengan tajuk 'Mitos Pribumi Malas'. Sungguh buku ini sangat disarankan untuk dibaca.
Satu soal: apakah bangsa Melayu pada masa dahulu mengamalkan kahwin paksa bagi orang-orang yang cacat?
___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment