Sikap Berdasarkan Pengalaman

OLEH: Zulfikar Egar

Ada orang kata, sudut pandang manusia tu berbeza-beza. Bila sudut pandang berbeza-beza, maka akan berlakulah perspektif yang berlainan.

Ini bergantung pada sikap manusia itu sendiri. Dan sikap manusia yakni sikap setiap individu itu bergantung pada situasi apa yang dilalui olehnya.

Baik, bagaimanakah sikap seseorang individu itu terbentuk?

Bila disebut tentang bagaimana "sikap" itu terbentuk, perkara yang boleh kita kaitkan atau rumuskan adalah bergantung apa yang dilalui.

Seperti contoh;
1) Apa yang dia lihat - penglihatan
2) Apa yang dia dengar - pendengaran, dan
3) Apa yang dia alami - pengalaman

Kita lihat contoh yang pertama iaitu penglihatan. Mengapa kata penglihatan?

Satu contoh mudah dalam kehidupan kita. Cuba perhatikan anak-anak kecil dirumah. Anak-anak ini akan mudah meniru perlakuan dan gelagat ibu ayah mereka di rumah.

Mungkin antara kita sudah biasa melihat bahkan pernah lihat video yang tular, bagaimana si anak yang masih kecil ini meniru perbuatan si ayah atau si ibunya tengah bersembahyang.

Lucukan telatah anak-anak ini? Kenapa ini berlaku?

Sebab anak-anak ini melihat perbuatan ibu ayah mereka ini bersolat, maka anak-anak ini cuba meniru perbuatan ibu ayah mereka itu. Anak ini melihat, maka dia buat.

Jadi berhati-hatilah ibu ayah di rumah. Jika hendak anak bersikap positif, maka mak ayah di rumah kenalah bersikap positif kerana anak boleh lihat dan melakukan perkara yang sama mak ayah lakukan.

Hindarkan daripada melakukan perbuatan atau perlakuan buruk mahupun mengucapkan kata-kata kotor seperti mencarut umpamanya depan anak-anak.

Adalah mudah bagi anak-anak ini meniru apabila melihat apa yang dilakukan oleh ibu ayah mereka.

Itu yang pertama. Manakala yang kedua pula adalah pendengaran, yakni apa yang kita dengar.

Sebagai contoh. Netizen apabila menyeberangi Tambak Johor pergi ke Singapura, selalunya akan lebih berhati-hati agar tidak membuang sampah merata-rata.

Andai tertangkap kerana membuang sampah, maka akan didenda dengan jumlah yang tinggi. Ini kerana kita mendengar bahawa undang-undang di sana tegas.

Maka si perokok mahupun yang suka mengunyah gula-gula getah. Tidak semberono membuang sampah sesuka hati di sana.

Tetapi bila dah melintas pulang ke Malaysia. Tiba-tiba sikap berdisiplin itu pun berubah. Membuang sampah merata-merata tanpa segan silu. Terus berubah sikap netizen yang berdisiplin menjadi tidak berdisiplin.

Contoh lain bagi pendengaran ini. Iaitu dulu-dulu masa kita kecil. Sering kita diingatkan jangan kencing merata-rata bila masuk hutan. Ada pantang larangnya.

Hingga siap dipesan, bila nak kencing tu kena minta izin;

"Tok nenek, cucu tumpang kencing."

Entah bila la jin kat hutan itu jadi tok nenek kita. Tapi bila kita "dengar" pesan atau nasihat ini. Maka tak adalah yang nak kencing merata-rata. Dengan mendengar nasihat itu, maka kita akan lebih menjaga sikap.

Kononnya nanti kalau kencing merata-rata dan tak minta izin, kemaluan akan bengkak sebab kena jentik dengan jin. Hahaha.... khurafat sungguh.

Ketiga pula adalah apa yang dialami dalam kehidupan iaitu pengalaman yang lepas.

Mengapa perubahan sikap boleh dikatakan berlaku melalui pengalaman?

Contoh mudah, dahulu kita seorang yang naif dan tidak tahu apa-apa. Sikap kita akan kebudak-budakan.

Bila sudah besar dan menginjak dewasa, pengalaman mematangkan kita, maka sikap kita turut berubah.

Ada seorang wanita ini, dulu percaya pada seorang lelaki. Tetapi bila cintanya dikhianati maka pengalaman mengajarnya agar berhati-hati dengan lelaki lain yang dijumpainya.

Itu yang kadang itu ada yang bersikap keras dan melawan pada lelaki yang menghampirinya, kerana pengalaman pahitnya yang lalu telah mengubah sikapnya. Haha...

Senang kata apa sikap kita kini pada hari ini, adalah disebabkan pengalaman kita pada masa yang lalu.

Wallahualam.


___________________________
~ Zulfikar Egar ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________

Comments