Kisah Masjid Usang 107 Tahun Di Kampung Teluk Memali, Perak

OLEH: Iskandar Zulqarnain



Pandangan kami tertarik pada satu tapak bekas masjid lama yang terletak kira-kira 50 meter daripada makam Sultan Abdul Malik. Masjid tersebut dikenali dengan nama Masjid Lama Kampung Teluk Memali yang sudah berusia lebih 107 tahun. Kawasan tempat masjid ini dibina dahulunya dikenali sebagai Bandar Baru yang menjadi pusat pemerintahan Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Kawasan ini kemudiannya diambil alih serta dijadikan sebagai pusat pentadbiran pihak British selepas perjanjian Pangkor ditandatangani.




Rumah residen dan kubu pertahanan British pernah berdiri disini sebelum hilang ditelan masa. Masjid Lama Kampung Teluk Memali yang terletak di Kampung Gajah berkemungkinan merupakan sebuah rumah ibadah tertua di daerah Perak Tengah. Masjid ini dibina pada tahun 1910 diatas tapak sebuah surau yang telah didirikan pada tahun 1900 sebelum itu. Surau asal dibina di tebing Sungai Perak mengalami masalah dengan hakisan tebing sungai dan bangunan surau tersebut kemudiannya dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat oleh penduduk kampung.


Masjid Lama Kampung Teluk Memali ini mempunyai seni bina dan reka bentuk yang menggambarkan ciri-ciri rumah Melayu tradisional yang indah. Masjid ini mempunyai nilai seni dan tahap pertukangan yang tinggi yang dapat dilihat pada mimbar, selusur tangan dan ukiran panel dinding yang diukir dengan motif bunga yang rumit dan halus. Ia dibina sebagai tindak balas kepada keadaan iklim yang panas dan lembap; bumbung cerun untuk membolehkan air hujan untuk bergerak cepat, tiang untuk menaikkan masjid di atas paras tanah untuk mengelakkan banjir, banyak ruang termasuk tingkap kecil, dan ukiran panel untuk membolehkan pengudaraan silang secara semula jadi.


Namun setelah beberapa ketika berlalu, kawasan penempatan sekitar Masjid Lama Kampung Teluk Memali mula ditinggalkan akibat sering mengalami banjir dari limpahan air Sungai Perak terutama di musim hujan yang menyebabkan penduduk berpindah kira-kira 2 kilometer ke penempatan Kampung Teluk Memali sekarang ini. Masjid Lama Kampung Teluk Memali dipercayai sudah hampir 40 tahun tidak digunakan serta dibiarkan usang tanpa sebarang penjagaan dan beberapa barangan milik masjid hilang dan rosak.


Diatas kesedaran mengenai nilai sejarah dan kepentingan untuk memulihara bangunan warisan tersebut buat tatapan bagi generasi akan datang, masjid lama ini yang berusia 107 tahun telah dipindahkan ke tapak baru untuk dibangunkan semula sebagai sebuah surau di kawasan seluas 0.5 ekar di Taman Seri Bougainvillea, Bandar Seri Botani, Ipoh. Usaha murni pemuliharaan warisan tersebut dilaksanakan ATSA Architects Sdn Bhd (ATSA Architects) dengan kerjasama arkitek Masjid Negara, Datuk Dr Baharuddin Abu Kassim dan Politeknik Ungku Omar.


Projek ini juga telah mendapat mendapat kelulusan dan sokongan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh dan penduduk asal Kampung Teluk Memali sebagai pemegang amanah Masjid Lama Kampung Teluk Memali. Usaha untuk memindahkan masjid ini ke Ipoh dimulai dengan kerja-kerja menanggalkan struktur utama dan pemindahan sebuah mimbar kayu dari dewan solat utama masjid ke balai raya yang berdekatan.


Pada 22 Jun, struktur kolah telah diangkat dan dibawa keluar dengan menggunakan kren dan kemudian diangkut ke tapak baru pada hari yang sama dalam usaha yang turut melibatkan sekumpulan tukang kayu dari Ipoh serta diselia oleh konservator berlesen dari Politeknik Ungku Omar. Setelah semua komponen struktur kayu yang ditanggalkan akan ditandakan terlebih dahulu sebelum diangkut menggunakan lori dan kemudiannya disimpan dengan teratur.


Usaha untuk merawat dan pertukangan dilakukan oleh tukang kayu tempatan iaitu Sohigh Enterprise dan semua kerja rawatan kayu telah dijalankan di bengkel mereka yang berada di Chemor, Perak sebelum hasilnya dibawa ke Taman Botani, Ipoh, Perak. Malah untuk menjaga kualiti kayu yang digunakan dalam projek ini, pihak ATSA Architects turut mendapatkan nasihat dari  Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mengenai kayu yang sesuai untuk digunakan dan mereka mendapat kayu ganti yang terbaik dari Kemaman, Terengganu yang dibekalkan oleh Pesama Timber Corporation.


Usaha murni untuk memelihara warisan peninggalan bangsa oleh ATSA Architects ini wajar dipuji dan diberi penghargaan. Diharap selepas ini lebih ramai daripada kita yang berusaha untuk memelihara sejarah warisan bangsa agar tidak lenyap diarus masa. Sebarang pertanyaan mengenai projek pemuliharaan dan pemindahan masjid ini, boleh hubungi Ketua Pegawai Operasi, ATSA Architects, Syed Kamal Affendi Syed Mustapha di talian 012-3292827 atau Mohamad Haziq Zulkifli di talian 018-3973535 dan e-melkan kepada masjid[at]memalimosque.com.my dan anda juga boleh menyumbang kepada akaun Tabung Pemindahan Masjid Teluk Memali bernombor 105280003201 (Affin Islamic Bank). Untuk maklumat lebih lanjut mengenai usaha pemuliharaan dan perkembangan projek ini, sila layari laman web di www.memalimosque.com.my, serta laman Facebook di www.facebook.com/KgTelukMemaliOldMosque


___________________________
 Iskandar Zulqarnain 
Sahabat PENA

Comments