Nasihat Abdullah Munsyi Kepada Raja-Raja Melayu

OLEH: Saufy Jauhary


Abdullah Munsyi atau nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Kadir merupakan seorang sasterawan, wartawan,dan guru bahasa Melayu. Nama beliau masyhur bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu di nusantara ini malah di seluruh dunia terutama bagi pengkaji dan peminat sejarah. Dua buah karyanya yang terkenal iaitu Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah Ke Kelantan memberikan manfaat kepada para pengkaji terutama maklumat berkenaan latar masyarakat di Tanah Melayu sekitar abad ke-19. Selain itu, di dalam karya-karya tersebut, Abdullah Munsyi telah memasukkan unsur-unsur kritikan dan nasihat terhadap bangsa Melayu dan kepada raja-raja Melayu di zamannya. Unsur-unsur kritikan di dalam karya beliau telah menyebabkan beliau pada hari ini dinobatkan sebagai Bapa Sastera Melayu Moden kerana di zaman tersebut bukanlah menjadi kebiasaan membuat sesuatu kritikan secara langsung di dalam karya sastera.

Kritikan merangkap nasihat Abdullah Munsyi kepada Raja-Raja Melayu adalah ketika beliau menyatakan tentang sikap Sultan Hussein Syah (Sultan Singapura) yang telah berpindah randah dari Singapura ke Melaka, malahan mengambil seorang pemuda berbangsa India menjadi anak angkat dan seterusnya menjadikannya menantu. Di dalam Hikayat Abdullah, beliau berkata:-

“Maka seketika duduklah aku tafakur memikirkan bahawa sesungguhnya kehendak Tuhan itu seorang pun tiada dapat menahan Dia, maka sesungguhnya anak raja itu bernama puteri tetapi sudahlah rezeki orang yang kecil. Maka teringatlah aku akan pantunnya:

Patah ranting di tengah rimba,
Patah di titi Malim Sidi,
Sungguhpun gajah binatang besar,
Sudahlah rezeki si ular lidi.

Syahadan maka patutlah segala perkara ajaib yang tersebut itu kita jadikan suatu ingatan dan membuat teladan dan mengambil insaf akan dia sebab melihatkan sebagaimana adanya kudrat Tuhan yang telah dilakukan-Nya kehendak-Nya di atas hamba-Nya. Maka hairan lihatlah hal seorang sultan yang ada berkuasa dan lagi mendapat gaji dalam sebulan seribu tiga ratus ringgit besar, ada dengan istananya dan mahligai serta rakyat, maka sekalian itu ditinggalkannya, maka ia membawa dirinya dari sebuah negeri ke sebuah negeri , maka anaknya pula dibuat bini oleh seorang Keling kebanyakan, yang ada berbini anaknya pun ada enam tujuh. Maka adalah yang kuketahui  di dalam undang-undang raja-raja Melayu atau raja-raja orang putih atau raja-raja Cina, maka sekali-kali tiada layak dan bukannya jodoh atau kufu darah orang kebanyakan itu dengan darah raja-raja, tetapi sekalian itu dengan mudahnya juga terlupa, sebab balasan Allah atas segala manusia itu bukan dengan dipalunya dengan kayu atau disesahnya dengan rotan, melainkan dengan perlahan tiada sedar dan tiada diketahui akan sebabnya tiba-tiba didapati sesuatu bahaya adanya. Sebab kecualinya yang baik akan hal pekerjaan raja-raja Melayu itu bukannya kecil-kecil zalimya yang dikerjakannya, seperti mengambil anak bini orang yang disukainya itu seperti ia menangkap anak ayam sahaja dengan tiada terkenangkan takut Allah dan malukan makhluk. Maka istimewa membunuh orang itupun seperti membunuh seekor semut juga, dengan tiada sepatutnya dosa yang boleh ia dibunuh dan lagi mengambil tawanan karang, dan lagi jikalau raja-rajanya berhutang harta orang tiada mahu membayar, dan sangat suka ia berjudi dan menyabung minum madat dan menaruh hamba raja terlalu banyak. Mereka itulah yang membinasakan hamba Allah dan menikam dan seperti adat negeri Berunai dan Kutai disamunnya kapal-kapal orang putih dibunuhnya orangnya dan lagi dihantarkan tombaknya ke rumah orang meminta harta orang dengan aniaya dan menggagahi mengambil tunangan orang, dan lagi ada beberapa banyak kelakuannya yang najis –najis lain-lain. Malulah rasanya aku hendak sebutkan dalam hikayatku ini. Dan lagi ia hinakan hamba Allah yang sama kejadian dengan dia, dipandangnya seperti seekor anjing juga. Maka apabila ia berjalan disuruhnya duduk segala orang di jalan, baik di cemar atau di becak dan lagi kecualinya yang ada beratus dan berpuluh-puluh anak perempuan  orang dibuatnya gundik ditaruhnya dalam istananya, maka sekali dua kali dibuatnya gundik, tinggallah perempuan itu sampai mati dalam hal itu tiada boleh kahwin dengan orang lain maka lagi kalau ada ibu bapanya sakit atau mati jikalau tiada dengan izin raja tiadalah boleh bertemu, maka ditaruhnya itu pun dengan tiada cukup makan pakainya, dijadikannya hambanya. Dan lagi jikalau ada perempuan yang dikasihinya maka barang perkataannya itu diturutnya  maka jikalau katanya, “bunuh”, dibunuhnya. Maka segala pekerjaan yang tersebut semata-mata bergantung hawa nafsunya sahaja, bukannya dengan adil atau dengan hukum Islam dan bukannya dengan ikhtiar dan fikiran orang banyak, melainkan kehendaknya sendiri sahaja. Dan lagi ada yang beranak sepuluh dua puluh maka anak yang tersebut itu pun kecualinya yang baik, ada seperti tabiat syaitan dan kelakuan binatang, sebab tiada diajar oleh ibu bapanya perkara yang baik tatkala kecilnya, melainkan selalu diturutkannya hawa nafsunya itu. Maka menjadilah biasa ia dengan kelakuan yang jahat, seperti menyabung ayam dan bermain judi dan makan candu, dan berkehendak dan merompak dan bertikam. Maka apabila besar kelak anak-anak itu maka jikalau kiranya bapanya membuat sesuku bahagian jahat anaknya kelak membuat tiga suku terlebih jahat. Bermula adapun segala hamba Allah yang merasai kejahatan dan aniaya dan zalim itu, tiadalah bertempat yang hendak diadukannya itu, melainkan kepada Tuhan yang amat melihat dan amat mendengar akan segala ruang dan ratap dan hai hoi manusia itu, melainkan Ialah akan membalas kelak segala pekerjaan itu lambat laun dengan hukum yang adil adanya.

Syahadan maka belumkah juga mereka itu sedar akan dirinya daripada tidur lelap itu, maka sekianlah terangnya balasan Allah itu atasnya? Maka bukankah asalnya separuh dunia ini beribu-ribu kerajaan Melayu dan perintah Melayu adanya. Maka lihatlah olehmu dalam beberapa hikayat dan sejarah Melayu itu menyebutkan darihal raja-raja Melayu yang dahulu kala itu bagaimana kebesarannya dan kuasanya dan kekayaannya dan kebijaksanaannya, maka apa sebab sekarang ini sekalian itu telah dirampas Allah, maka sekaliannya itu telah diberikan-Nya akan dia ke bawah perintah bangsa itu? Maka jikalau dikekalkannya juga tabiat dan kelakuan yang demikian itu lagi, melainkan Allah juga yang amat mengetahui kesudahnya itu, tetapi pada sangkaku  yang bodoh lagi yang tiada mempunyai ilmu ini, nescaya dihilangkan-Nya sekali nama Melayu itu dari dalam dunia ini, wallahu a’lam. Kerana adalah kulihat dalam beberapa kitab mengatakan Allah itu berseteru Ia dengan orang yang zalim. Maka daripada perkataan inilah aku mengambil kias, apabila seorang yang dibencikan Allah itu, dapat tiada ia kekal binasa juga lambat laun.

Bermula kerana pada zaman umurku ini juga telah beberapa yang kulihat negeri Melayu itu yang telah binasa dan yang telah menjadi hutan tempat gajah dan harimau oleh sebab zalim dan aniaya raja-raja dan anak raja-raja, jangankan negeri jauh-jauh maka seperti Selangor dan Perak dan Kedah, dan lagi seperti Padang dan Muar,  dan Batu Pahat dan Kesang, dan beberapa banyak lagi tempat-tempat yang lain seperti itu. Maka adalah pada masa dahulunya negeri-negeri itu semuanya kaya dan elok dan banyak orangnya. Maka adalah sekarang ini semuanya itu tinggal nama sahaja, yang ada telah menjadi hutan dan masing-masing orang negeri-negeri itu berpindah ke tempat lain dan ke negeri lain dan yang ada duduk dengan miskinnya sehari makan dua hari tidak. Maka sekalian bala dan celaka itu telah datang sebab zalim raja-rajanya dan aniaya anak-anak rajanya.

Maka bagaimana ramainya tanah Padang itu dahulu maka ada beberapa banyak orang-orang kayanya dan lagi beberapa jenis dagangan yang keluar dari situ, maka zaman yang kudapati berpuluh keti dan koyan pinang kotai yang keluar, maka pada tiap-tiap tahun beberapa kapal yang bermuat pinang dibawanya ke negeri Keling dan Benggala. Maka lain daripada itu beberapa gading dan kemenyan dan rotan dan lagi tiada makan durian orang Melaka itu kalau tiada durian Padang sampai berlaksa-laksa bertimbun sebiji dua tiga duit. Maka manggis berjuta-juta dibuatkan orang lima enam buah rumah di Melaka akan gedung mengisi buah manggis dan durian dan limau manis yang keluar dari Padang. Maka lain daripada itu entah beberapa ratus macam buah-buah keluar dari sana, tiada terkira-kira adanya. Bahawa aku sendiri telah masuk ke dalam dusun manggis dan duriannya. Adapun jikalau kita naik ke atas sepohon manggis itu boleh kita menjangkit-jangkit sekira-kira dua tiga mail jauhnya, demikianlah rapat pohonnya itu; dan lagi apabila rahat gugur duriannya itu beribu-ribu semalam gugur , itupun baharu durian di kampung sahaja belum lagi entah berapa banyak pohon durian itu. Allah yang tahu, kerana tanaman orang-orang dahulu. Melainkan pekerjaan orang di Padang itu apabila musim durian itu berbuah ditebasnya sahaja maka ketika durian gugur masing-masing pergi memungut sahaja. 

Syahadan beberapa saudagar di Melaka yang menjadi kaya sebab berniagakan dagangan yang keluar dari Padang itu. Maka beberapa ribu ringgit dalam setahun keluar hasil. Maka kuringkaskan sahaja perkataannya. Maka demikianlah adanya kesenangannya dan namanya mereka itu sekalian duduk dalam sentosanya dan kesukaannya serta dengan makmurnya tatkala zaman Sultan Mahmud menjadi raja dalam Lingga dan Riau dan Pahang. Maka seperti Padang dan Muar dan Batu Pahat itu sekalian di bawah perintahnya. Maka dipeliharakannyalah akan segala mereka itu sekalian dengan adilnya dan baiknya dan kesenangannya seperti yang tersebut itu.

Sebermula adapun sepeninggalan Sultan Mahmud sudah mangkat maka entah dari mana-manakah datang anak raja-raja dalam dua tiga hari singgahlah dua orang tiga orang anak-anak raja di Padang itu. Setelah sampai ke tepi pantai maka disuruhnya membawa tombaknya ke darat meminta beras dan ayam dan barang-barang kehendaknya. Maka adapun kasihan orang Padang itu tersangatlah bodohnya. Apabila ia mendegar nama raja atau anak raja seperti Allah dihormatkannya serta gementar tulangnya, maka diberinyalah barang kehendaknya dengan tiada seduit pun dibayarnya lalu ia pergi. Maka kemudian lagi sepuluh lima belas hari datang pula empat lima anak raja-raja masing-masing pun meminta, ada yang sendirinya naik ke darat meramu seperti penyamun barang yang bertemu diambilnya seperti harta sendiri. Maka orang yang empunya harta itu terkelip-kelip matanya bodoh sebab takutnya nama akan anak raja, diamlah ia, maka anak raja yang tiada menaruh malu dan takut akan Allah dan makhluk memakan haram, diperbuatnya barang sekehendaknya, dan yang ada pula seperti kelakuan binatang mengejar dan merosakkan anak-anak perempuan mereka itu, maka berlayarlah ia. Kemudian datang pula yang lain, maka barang kehendaknya itu tiada boleh dikatakan tidak. Maka jikalau tiada diadakan atau melawan dibunuhnya dan dibakarnya rumahnya sehingga habislah pohon-pohon nyiur mereka itu sekaliannya ditebangnya diambilnya umbutnya. Maka demikianlah dibinasakan segala hamba Allah dengan zalimnya dan aniayanya, sehingga porak porek dan berhanyut ke mana-mana meninggalkan kampung halamannya dan lading sawahnya membawa dirinya, yang ada menjadi hutang-hutangan dan hamba orang beribu-ribu bertaburan sepanjang tempat. Maka tinggallah kampung-kampung itu menjadi hutan rimba tempat harimau dan gajah sekarang ini. Maka tiadakah diketahui Allah akan segala zalim dan aniaya mereka itu? Dan tiadakah kelak akan dibalas-Nya segala pekerjaannya itu?

Syahadan lagi hendaklah tuan-tuan mendengar ada lagi suatu ajaib yang kudengar, kecualinya ada raja-raja Melayu membuat suatu adat, ia itu bukannya adat orang Islam dan bukannya adat bangsa-bangsa lain pun yang ada dalam dunia, melainkan adat iblis atau adat hawa nafsu yang jahat, iaitu kalau raja-raja mengambil anak perempuan orang kebanyakan hendak dibuat gundik itu dengan kerasnya, semata-mata tiada dengan redha perempuan itu, istimewa ibu bapanya. Maka digagahinya disuruhnya bawa perempuan itu ke rumahnya, maka dipanggilnya khatib  atau lebai-lebai yang bebal lagi tiada mengetahui hukum agama Islam dan yang tamak akan upah. Maka disuruh raja nikahkan perempuan itu dengan kerisnya, maka ganti raja keris itu. Maka adalah seorang menyandang keris itu serta dengan air sekuja dan sirih secerana  maka oleh khatib isi neraka itu sebab takutnya akan raja itu maka dinikahkannya perempuan itu dengan keris itu. Adakah sah nikahnya yang demikian itu? maka hukum kitab mana yang mengatakan sah? Maka dengan hal yang demikianlah kecualinya jadi beberapa anak haram. Maka dari sebab kejadiannya yang demikan itulah perbuatannya pun seperti iblis yang tiada takut Allah dan Rasul dan tiada malu akan makhluk. Maka tiadakah patut perbuatan zalim dan aniaya itu dibalas Allah dengan balasan-Nya?

Nasihat: Ingat-ingat hai zalim dan aniaya, jikalau engkau kekalkan juga kelakuanmu yang demikian itu nescaya kelak diturunkan Allah hujan api dari akan langit membakar dan membinasakan dia. Tiada engkau ketahui beberapa kaum nabi-nabi yang dahulu-dahulu kala itu sebab zalimnya dan aniayanya dan derhakanya, yang ada dibinasakan Allah dengan angin yang besar dan yang dibinasakannya dengan api yang diturunkannya dari langit dan yang ada ditenggelamkannya dengan air dan lagi berbagai-bagai bala dan laknat Allah atas orang zalim dan aniaya adanya, kerana ia itu seteru Allah.

Arakian maka adalah pula suatu hairan yang lagi kudengar daripada orang yang kena aniaya itu sendiri di negeri Reteh. Ia berkhabar kepadaku, katanya, “Apabila datang anak-anak raja ke sana, maka dapat tiada segala orang-orang yang diam di tempat itu masing-masing membawakan hadiah serta pergi mengadap. Setelah itu maka pulanglah masing-masing ke rumahnya, maka tinggallah anak raja itu. Maka pada tiap-tiap hari disuruhnyalah hamba-hamba pergi meminta itu meminta ini. Maka pergi hamba-hamba raja itu, maka barang yang bertemu dengan dia semuanya diambilnya dan ditangkapnya ayam dan kambing dan dipanjatnya nyiur dan pinang dan sebagainya. Maka seorang tiada berani menegurkan atau melarangkan dia sebab ada ia membawa tombak raja. Maka apabila dilihat oleh hamba-hamba raja  itu ada celek-celek sedikit  maka diam-diam pada malam orang tidur pergilah ia menetaskan pengikat tangga orang itu kemudian kembalilah ia ke perahu maka dikatakannya, “Di rumah si anu itu ada banyak beras putih atau kambing. Maka pada pagi-pagi sebelum orang yang empunya rumah itu bangun tidur, maka hamba-hamba raja itu pun pergilah pura-pura naik-naik ke rumah orang itu maka jatuhlah ia. Maka apabila ia jatuh berlari-lari pergilah memberitahu kepada anak raja itu, katanya, ‘Patik disuruhkan  pergi kerumah si anu itu, maka serta patik naik tangganya putus jatuhlah patik.’ Maka marahlah anak raja itu, “Pergi bawa tombakku ini pinta dendanya empat puluh rial, tak boleh tidak.” Maka dapat tiada hendaklah juga diberi, baik berjual baik bergadai maka jikalau tiada diberi maka ditangkapnya anak orang itu dijualkannya atau dihutangkannya diambilnya juga empat puluh rial itu. Demikianlah halnya zalim dan aniaya anak raja-raja itu.

Syahadan jikalau terdengar kepada raja yang besar perbuatan anak-anaknya itu demikian tiadalah diendahkannya, menjadi tertawa kepadanya, tiada berani diperiksanya sebab takutnya akan anaknya itu nanti merajuk atau ia mengamuk. Maka inilah umpamanya seperti api, maka tatkala ia kecil itu kawan maka apabila besar kelak menjadi lawan. Maka kebinasaan itu datanglah ke atas segala hamba Allah. Maka adalah seolah-olah disangkakannya telah dikurniakan Allah anak kunci kerajaan dunia ini ke tangannya, baik benar baik salah. Maka barang apa kata nafsunya itulah diturutnya. Maka sentiasa ia menjadi hamba nafsunya. Maka akupun suka juga tetapi jikalau engkau boleh hidup selama-lamanya, maka jikalau benar kiranya perkataan Tuhan tiap-tiap bernafas itu akan mati juga kesudahannya, maka pada ketika akhirat itu kelak dapat tiada diperiksai akan dikau, kalau baik dapat baik kalau jahat dapat jahat. Maka pekakkah telingamu? Dan butakah matamu? Tiadakah mendengar dan melihat bagaimana adat dan hukum orang putih? Jikalau ia hendak membunuh seseorang yang nyata kesalahannya dan yang patut dibunuh maka dalam itupun selidik di atas selidik dan fikiran dan bicara dan akal dan saksi dalam itupun jikalau termakan kepada akal dua belas orang jury itu sepakat semuanya mengatakan patut mati, maka dengan seboleh-bolehnya hakim itu mencarikan juga jalannya supaya terlepas nyawanya orang itu. Maka jikalau sampai tiada lagi dapat ikhtiar yang lain maka baharulah dijatuhkan hukum atas orang itu hukum mati adanya. Diberi Allah selamat akan Permaisuri Victoria.” [Hikayat Abdullah, halaman 302 – 309]

Abdullah Munsyi juga meneruskan lagi tegurannya kepada raja-raja Melayu pada penutup atau kesimpulan Hikayat Abdullah, dengan katanya: “Sebermula adapun setelah tamatlah kitabku bab yang pertama ini, maka duduklah aku tafakur ada beberapa ketika lamanya, sebab aku memikirkan maka sekianlah lamanya umurku yang telah lalu itu telah beberapa banyak ajaib dan beberapa peredaran dunia dan adat dan perkara yang tiada pernah didengar dan dilihat oleh nenek moyangku, sekalian itu telah kulihatlah. Maka sebab segala perkara itulah, maka kebanyakan fikiran yang mendatangkan sangka-sangka dalam hatiku itu. Maka dalam hal yang demikian terlebih pula keras sangkaku dalam hal kehidupan orang-orang Melayu. Adapun  segala hal-ehwal mereka itu sekalian sentiasa bersama-sama dengan aku, maka kulihat hal-ehwal mereka itu dari kecilku sampailah sekian umurku, maka kuperhatikan juga, maka adalah kudapati bangsa Melayu itu makin lama usahkan makin pandai, makin pula bodoh adanya. Maka kuselidik-selidik dalam perasaanku maka kudapatilah akan sebabnya itu atas beberapa perkara, tetapi dalam antara perkara yang banyak itu terlebih yang mendatangkan celaka atas mereka itu, iaitu sebab zalim dan aniaya perintah raja-rajanya, berlebih-lebihan di atas segala rakyatnya, sehingga hati rakyatnya, itu menjadi seumpama tanah yang tiada berbaja lagi. Maka sebab itulah tiada boleh bertumbuh barang sesuatu pekerjaan atau pengajaran atau ilmu atau kepandaian yang baik dalamnya. Hanya ia hidup seperti pohon  kayu di dalam hutan. Maka barang di mana ditiup angin di sanalah ia rebah. Dan lagi kuperhatikan ia itu selalu diperintah oleh bangsa yang lain, dan lagi kulihat adalah ia itu seperti ikan yang kecil-kecil, maka gunanya itu menjadi makanan segala ikan yang besar-besar adanya.

Syahdan adapun sebab aku mengatakan zalim dan dan aniaya perintah raja-rajanya, kerana sentiasa tabiat raja Melayu itu iaitu menghinakan rakyatnya, seolah-olah pada pemandangannya akan rakyatnya itu seperti binatang adanya. Maka sebab itulah apabila rakyatnya itu bertemu dengan dia dapat tiada hendaklah ia duduk di tanah baik di becak baik di kotor. Dan lagi apabila raja-raja itu menghendaki baik anak-anak perempuan atau barang suatu benda rakyatnya, diambilnya sahaja dengan tiada menjadi kesusahan atau takut kepada Allah. Dan lagi tiadalah kepadanya timbangan dan kenangan  atas rakyatnya dan lagi jikalau barang suatu hukuman atau perintah yang diletakkannya atas rakyatnya itu semata-mata dengan hawa nafsunya sahaja, seperti orang yang dikasihinya diringankannya, dan orang yang dibencikannya diberatkannya. Dan lagi jikalau bagaimana jahat atau aniaya anaknya atau keluarganya atas rakyatnya dan negerinya,dibiarkannya dan disembunyikannya dan lagi ia menaruh beratus-ratus dan berpuluh-puluh hamba raja. Adapun mereka itulah yang membinasakan segala rakyatnya dan lagi ia membunuh manusia itu seperti laku membunuh seekor semut sahaja, dan lagi sekali-kali tiada ia mencarikan jalan selamat segala rakyatnya melainkan bagi dirinya sahaja.

Maka adapun segala perkara ini semuanya datangnya dari sebab tiada mempunyai ilmu atau pelajaran adanya. Ia hendaklah menjadi tukang tetapi tiada perkakas, menjadi barang perbuatannya itu sangatlah canggungnya kepada pendengaran dan pemandangan manusia, sebab segala perbuatannya itu mendatangkan cedera bagi dirinya, istimewa namanya. Oleh sebab itu menjadi bencilah segala bangsa yang lain akan dia.

Kedua perkara, bahawa sekali-kali raja-raja Melayu itu kecualinya tiada tahu ia memeliharakan anak-anak pada tatkala kecilnya, dibiarkannya barang kehendaknya dan diturutkannya barang sukanya tiadalah diusahakannya mengajar anak-anaknya itu daripada adab dan tertib dan sopan dan malu dan ilmu dan kepandaian dan hormat dan sebagainya. Melainkan jikalau anaknya itu lagi kecil, dicarikannya anak-anak perempuan yang kecil menjadi kawannya bermain dan tatkala sudah besar anaknya itu disediakannya gundik dan diberinya keris akan dia. Maka orang-orang negeri pun memberi hormat dan takut akan dia sebab anak raja. Maka barang kehendaknya diperbuatnyalah atas rakyat, maka sekalian rakyat itupun tadalah berani menegahkan dia. Maka bapanya itupun melawan anaknya itu bermain judi dan menyabung. Maka ia tiada wang diberinya wang. Maka jikalau bapanya itu bermadat maka anaknya itupun bermadat. Maka dalam yang demikian makin ia besar, kejahatannya itupun makinlah besar. Maka pada tatkali baharulah bapanya hendak melarangkan, sebab didengarnya bangsa-bangsa lain membencikan dia dan mengatai dia. Maka jangankan bapanya melarangkan jikalau sepuluh orang seperti bapanya itupun tiadalah diendahkannya. Maka pada tatkala itulah dihanguskannya segala negeri dan rakyat dengan api kejahatannya itu. Seperti umpamaan Melayu, “Pada tatkala rebung tiada patah, maka ketika sudah menjadi aur apakah gunanya?” Dan lagi katanya, “Api itu pada tatkala lagi kecilnya ia itu kawan, apabila besar menjadi lawan.”

Syahadan lagi adalah kebanyakan negeri-negeri Melayu dan jajahannya dan dusunnya itu rosak binasa dari sebab kebanyakan anak-anak raja dan hamba raja tiada tertahan oleh manusia aniayanya dan zalimnya. Maka adapun adat dan kelakuan dan tabiat yang demikian itu, lain daripada bangsa Melayu, suatu bangsa lain pun tiada , baik daripada adat orang Putih atau adat orang Keling atau adat orang Arab dan Cina. Maka adat mereka itu sekalian anak raja-raja itu hendaknya makinlah banyak ilmunya dan pengetahuannya dan banyak akalnya dan banyak diseksakan oleh ibu bapanya akan dia sebab mengajar ilmu, dan dijauhkannya akan dia daripada bau dan nama kejahatan, supaya tabiatnya yang baik itu boleh menjadi turutan kepada rakyatnya. Dan supaya ia itu boleh menjadi ubat kepada segala rakyatnya. Hairan, hairan, hairan aku akan diriku! Jikalau raja-raja itu tiada berilmu pengetahuan bagaimanakan boleh ia hukumkan rakyatnya dan memerintahkan negerinya? Dan jikalau ia duduk dalam kejahatan, bagaimanakah kelak ia hendak menyuruhkan rakyatnya berbuat baik? Bahawa bukankah ajaib yang besar itu? Maka jikalau kiranya raja-raja Melayu itu tidak boleh menghukumkan anak-anaknya serta dibiarkannya akan dia mengharu-birukan rakyatnya, maka bagaimana boleh ia menghukumkan sendirinya akan rakyatnya? Adapun anak-anak raja yang jahat itu adalah seumpama harimau yang garang adanya. Maka di belakang mangkat kelak ayahnya, harimau yang garang itulah membinasakan segala hamba Allah. Adapun yang kuketahui gunanya pagar itu, sebab takut barang binatang atau barang sesuatu masuk membinasakan tanaman. Maka jikalau pagar itu juga sendirinya membinasakan tanaman itu bagaimanalah halnya tanaman itu? Adapun dijadikan Allah raja-raja itu sebab hendak memeliharakan segala manusia, dan menyuruhkan ia berbuat baik dan melarangkan ia berbuat jahat. Maka jikalau raja-raja atau anak-anak raja itu juga membuat jahat dan membinasakan manusia, apalah kelak kesudahannya? Bukankah kebinasaan dan celaka itu datang ke atas raja itu dan ke atas negerinya dan rakyatnya?

Bermula adapun segala rakyat yang di bawah perintah Melayu itu tiadalah boleh angkat kepala dan tiada boleh bersuka hati sendirinya dan tiada boleh berani mengadakan barang sesuatu perkara-perkara yang besar, sebab sekaliannya ada berlarang dan pantang daripada raja. Hendak membuat rumah batu atau rumah bagus-bagus, takut. Dan membuat perahu yang bagus, dibubuh air mas dan sebagainya, takut. Dan memakai pakaian ada yang berlarang dan memakai kasut dan payung itupun takut. Dan jikalau ada manaruh barang sesuatu benda yang mulia-mulia di rumahnya itupun takut, sebab konon bukannya pakaian orang kebanyakan melainkan raja-raja sahaja boleh. Maka istimewanya pula orang kaya dalam negeri itu, sentiasa duduk dalam ketakutan. Maka jikalau hilang harta sahaja maha baik, barangkali nyawapun terbang, tidak satu-satu dicarinya jalan supaya dihukumkannya didendanya sampai binasa orang itu. Maka jikalau ada kepadanya barang sesuatu yang dikehendakinya, jikalau tiada dapat dipinjamnya itu salah besar, maka jikalau diberikan hilanglah sekali-kali janganlah dikenang lagi. Dan lagi jikalau ada menaruh anak perempuan yang baik paras, itulah racun yang terlalu amat besar dalam negeri Melayu, sudahlah tentu, ia itu diambil raja akan gundiknya, diberi pun diambilnya tiada diberi diambilnya juga. Tiadalah yang terlebih membakar hati segala hamba Allah lain daripada itu. Maka ada kudengar khabarnya orang yang keras hatinya yang tiada mahu memberikan anaknya itu, sampai dicarikan raja jalan disuruhnya bunuh bapanya itu, maka diambilnya juga anaknya itu. Bermula segala perkara yang tersebut di atas ini, ia itu larangan Allah dan Rasul-Nya, dan kebencian segala manusia yang ada dalam dunia ini. Melainkan ada seorang sahaja orang besar yang suka itu, iaitu iblis, tetapi Iblis itu seteru Allah Ta’ala, maka dapat ia tiada Iblis itu serta segala orang yang menurut kehendaknya itu kelak akan binasa keduanya itu dalam api neraka yang kekal selamanya.” [Hikayat Abdullah, halaman 352 – 356]

Selain di dalam Hikayat Abdullah, Abdullah Munsyi juga ada menyatakan nasihat dan kritikannya terhadap Raja-Raja Melayu di dalam bukunya “Kisah Pelayaran Abdullah Ke Kelantan”. Malah beliau sendiri merakamkan detik beliau memberikan nasihat kepada seorang anak raja Kelantan bernama Tengku Temena. Abdullah Munsyi berkata: “Setelah pagi-pagi hari, maka naiklah sahaya bersama-sama Grandpre ke darat sebab hendak mencari Tengku Temena. Maka sahaya dapati ia lagi tidur di rumah orang di pantai itu. Maka adalah kira-kira pukul sebelas baharulah ia bangun tidur.

Sebermula, maka adalah ia itu makan candu; maka badannya pun kurus, kelihatan tulangnya pun berjerangkang, dan bibirnya hitam dan badannya pun tiada bergaya. Maka setelah ia bangun tidur, maka duduklah sahaya berkhabar-khabar akan hal sahaya hendak berlayar, melainkan menantikan sampan pukat itu sahaja datang.

Maka adalah hati sahaya terlalu kasihan melihatkan hal anak raja itu, sebab ia makan candu itu dari Kelantan sudah sahaya ketahui. Maka sahaya hendak menegurkan dan mengajarkan dia, barangkali nanti ia mendapat malu; maka sebab itulah tiada sahaya tegurkan. Maka sahaya fikir, pada ketika inilah baik. Maka lalu sahaya kata, "Janganlah Tengku minum madat itu, karena ia itu mendatangkan beberapa celaka  dan kebinasaan dan kerugian adanya." Maka jawabnya, "Itu betul, tuan, tetapi sudah menjadi adat kepada sahaya, tiada boleh sahaya buangkan. Dan lagi suatu kemuliaan kepada raja-raja dan lagi menjadi ubat besar kepada sahaya."

Lalu jawab sahaya, "Bukankah patut kita membuangkan adat yang jahat itu? Dengarlah Tengku, akan kebajikan candu itu. Pertama-tama, ia itu haram dalam agama Islam.; dan kedua, membinasakan badan; dan ketiga, menghabiskan wang;  dan keempat, mendatangkan malas; dan kelima, menghilangkan waktu; dan keenam, merosakkan nama yang baik; dan ketujuh, kebencian segala orang yang baik; adanya. Adapun segala tanda yang sahaya kata ini, sekaliannya adalah kepada Tengku. Sahaya lihat badan Tengku sudah rosak dan harta Tengku habis dan badan Tengku malas, hendak tidur sahaja siang malam. Maka seperti kata Tengku, kemuliaan kepada raja-raja itu, tiada sahaya lihat; dan menjadi ubat itu pun, tiada sahaya lihat. Mengapa Tengku menjadi bodoh? Maka fikirlah, jikalau kiranya menjadi baik dan berfaedah kepada manusia, mengapa orang Putih yang baik-baik dan kaya-kaya tiada makan? Bukankah dari negerinya datang itu? Adakah di Tanah Melayu Candu jadi? Dan lagi, dalam kitab dan al-Quran sudah tentu haramnya itu, melainkan iblis sahaja yang suka akan segala perkara yang demikian itu."

Syahdan, apabila didengarnya segala perkataan sahaya itu, maka tunduklah ia berfikir seketika. Maka katanya, "Sekalian perkataan tuan itu benar sekali. Maka sahaya pun menyesallah diri sahaya; dan beberapa kejahatan sudah sahaya buat sebab candu ini. Maka Insya Allah Ta’ala sahaya mau buangkan celaka ini."

Kemudian kata sahaya, "Tengku, biarlah sahaya berjalan-jalan dan melihat-lihat kampung ini." Maka katanya, "Baiklah, tuan. Apa suka boleh tuan ambil: nyiur dan apa-apa yang ada dalam kampung-kampung itu." Maka jawab sahaya, "Terima kasih, Tengku; satu pun tiada sahaya mau, melainkan melihat-lihat sahaja." Lalu berjalan-jalan sahaya dekat-dekat rumah orang itu.

Maka datanglah lima enam orang-orang berkampung mengajak sahaya duduk bercakap-cakap dan bertanya-tanya khabar negeri Singapura. Maka sahaya khabarkanlah bagaimana hal bebas dan senang orang yang diam di bawah bendera Inggeris itu. Maka kata mereka itu, "Tuan, bawalah sahaya bersama-sama. Maka biarlah sahaya sekalian menjadi hamba tuan, karena tiada sahaya sekalian boleh tahan diam di bawah perintah raja Melayu ini, karena terlalu besar aniayanya." Maka kata sahaya, "Apa aniayanya itu?" Maka kata mereka itu, "Tiadalah dapat sahaya khabarkan, tuan, karena takut tuan khabarkan kepada raja; nescaya dibunuhnya sahaya." Maka jawab sahaya, "Jangan takut."

Maka katanya, "Sehari-hari mengerjakan pekerjaan raja; dan makan minum sahaya dan anak bini sahaya, tiada diberinya; di atas sahaya sendiri juga. Dan lagi, baik perahu atau tanam-tanaman dan hidup-hidupan sahaya sekalian, jikalau dikehendak raja diambilnya sahaja dan anak perempuan yang baik-baik, jikalau berkenan raja, diambilnya juga tiada boleh ditahankan kehendak raja; dan jikalau ditahankan atau tiada diberi, disuruhnya tikam mati-mati sahaja.

Demikianlah hal sahaya semuanya duduk dalam negeri Melayu, seperti duduk dalam neraka. Maka terlalulah suka hati sahaya semuanya hendak pindah ke negeri orang Putih supaya boleh senang dan bebas. Bagaimana tuan, kalau raja orang Putih disuruhnya bekerja akan rakyatnya? Adakah diberinya upah atau tidak?" Maka jawab sahaya. "Jangankan raja-raja di sini, dan kalau Sultan Inggeris itu sekalipun, jikalau ia hendak menyuruhkan barang sesuatu pekerjaannya melainkan ditentukannya upahnya dahulu; kalau tidak, orang tidak mau kerja. Dan lagi, sahaya orang duduk dalam negeri Inggeris seperti raja juga, boleh kita duduk bersama-sama dengan raja. Maka jikalau kita kaya, boleh kita membuat rumah atau memakai barang pakaian seperti raja, tiada menjadi larangan atau kesalahan, adanya. Dan lagi adat orang Putih itu, jikalau rakyatnya menjadi kaya atau membuat barang pekerjaan yang boleh mendapat untung, ia suka juga." Maka jawab orang itu, "Terlalulah suka hati sahaya sekalian menengar adat orang Putih itu. Maka sebab itulah diberi Allah bertambah-tambah kebesarannya dan kemuliaannya, serta makmur negerinya. Maka ini, lihatlah tuan, sahaya semuanya merasai kesakitan dan sengsara selama-lamanya; duduk bekerja pun tiada cukup makan dan pakai." Maka jawab sahaya, "Sekaliannya itu daripada sebab zalim rajanya; maka apabila zalim rajanya alamat kebinasaan negeri itu."

Maka kata sahaya, "Bagaimana adat negeri ini, kalau orang-orangnya hendak berpindah ke negeri lain, bolehkah?" Maka jawabnya, "Amboi, tuan! Itu hukum bunuh. Kalau dapat, orangnya dibunuh dan hartanya dirampas." Maka kata sahaya, "Lihatlah sekarang negeri Singapura itu, bagaimana ramainya; dan beberapa banyak saudagar yang besar-besar dan segala jenis dagangan dalam dunia ini adalah di sana; dan segala jenis bangsa orang pun ada. Maka asalnya pulau itu sarang perompak dan tempat ditakuti orang di situ. Bukankah segala jenis orang daripada negeri-negeri lain yang pindah dan membuat tempat dan beranak berbini itulah menjadi ramai anak negeri? Adapun raja yang adil dan hukum yang baik itu adalah seperti sepohon kayu yang berbuah sentiasa; maka segala burung yang liar dari dalam hutan pun sekalian berhimpunlah ke situ, sebab ia boleh mendapat kehidupannya itu; lagi pun ada tempat ia berlindungkan dirinya daripada seterunya."

Maka sebentar lagi datanglah Tengku Temena itu mendapatkan sahaya, serta katanya, "Apa tuan banyak-banyak bercakap ini?" Maka jawab sahaya, "Tiada apa, Tengku; segala hamba Allah ini mengadukan kesakitan dan kesusahan halnya." Maka katanya, "Jangan tuan pedulikan mereka itu sekalian, karena kehendaknya terlalu besar; kalau boleh ia semua hendak menjadi raja dan memerintah negeri, baharulah mereka itu suka." Maka jawab sahaya, "Ingat Tengku; lagi akan ditanyai Allah Ta’ala pada hari kemudian akan segala hal rakyat itu kepada rajanya. Dan lagi, Tengku, bermula-mula yang masuk neraka itu segala raja-raja yang zalim ia atas rakyatnya. Dan lagi, yang bermula-mula masuk syurga itu, segala raja-raja yang adil, Tengku. Maka janganlah Tengku kira orang yang menjadi raja itu terlebih besar dan terlebih mulia daripada rakyatnya, melainkan orang yang terkecil lagi hina, adanya. Ia itu hamba segala hamba Allah.

Adapun apabila seorang dijadikan Allah ia raja, bukan sebabnya hendak memuaskan nafsunya dan berbini sepuluh dua puluh atau mencari harta dan membunuh orang dengan aniayanya, melainkan sebab disuruh Allah memeliharakan manusia, supaya tiada dianiaya oleh seorang akan seorang; itulah gunanya. Maka sebab itu, patutlah segala raja-raja itu menaruh kitab Tajus Salatin (ertinya, Mahkota segala raja-raja) dan menilik akan dia pada tiap-tiap hari dan mencari orang yang tahu dan belajar daripadanya dan menerima segala nasihat orang yang alim supaya boleh Tengku  ketahui hal segala raja-raja  yang adil dan yang zalim. Ini sahaya sudah lihat terlalu hairan; kecuali hal raja Melayu, kebanyakan tiada tahu membaca surat dan lagi tiada suka belajar, melainkan duduk huru-hara dunia sahaja."

Maka katanya, "Tuan ini terlalu pandai membaca khutbah; baiklah tuan diam disini supaya boleh sahaya jadikan Qadhi atau Khatib." Maka jawab sahaya, "Kalau boleh, Tengku, sahaya pohonkan kepada Allah, janganlah kiranya dihidupkannya sahaya dalam negeri Melayu. Dan lagi dijauhkan Allah berdekat dengan raja-raja  karena orang yang hampir kepada raja-raja itu seperti bersahabat dengan ular yang bias, maka salah sedikit dipagutnya biji mata." Maka tertawalah ia, serta katanya, "Sekalian perkataan tuan ini benar. Dan lagi tiada boleh dialahkan lidah tuan itu."[Kisah Pelayaran Abdullah Ke Kelantan, halaman 101 -106]

Sumber:

1) Kisah Pelayaran Abdullah, terbitan Oxford university Press, Cetakan ketiga 1964
2) Hikayat Abdullah, terbitan Pustaka Antara, Cetakan 1997



___________________________
~ Saufy Jauhary ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
_____________________________

Comments

  1. Macam Ada something jalan cerita...semua raja dengan anak raja dia cerita x baik..

    ReplyDelete

Post a Comment