Duduk Di Rumah: Bagaimana dengan Golongan Gelandangan?

OLEH: Zulfikar Egar

"Duduk Di Rumah. Just Stay At Home."

Itu adalah perintah dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam usaha bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Arahan dan perintah yang cukup mudah untuk diikuti oleh seluruh rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berlangaung

Namun terfikirkah kita semua, bagaimana pula dengan nasib gelandangan yang selama ini tiada tempat tinggal? Yang hanya menjadikan kaki atau lorong jalan luar bangunan sebagai tempat untuk berteduh dan tidur.

Golongan gelandangan yang berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur adalah satu pemandangan biasa bagi warga kota, tetapi ini tidak seharusnya berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Kerana mereka juga berhak untuk dilindungi daripada pandemik Covid-19 yang makin menggila sekarang ini.

Di kala rakyat Malaysia yang lain dapat duduk dan berlindung di dalam rumah. Golongan gelandangan adalah mereka yang terbuka ataupun berisiko untuk dijangkiti virus Covid-19 ketika ini.

Mujurlah sewaktu banyak premis perniagaan, pejabat tutup pada waktu ini. Masih ada lagi sukarelawan yang tetap menyantuni mereka seperti biasa memberi makanan seperti biasa.

Contohnya seperti yang boleh dilihat di dalam berita di sekitar Lorong Haji Taib dan Jalan Medan Tunku.

NGO ataupun sukarelawan ini sememangnya aktif memberi bantuan seperti barang keperluan, perubatan dan makanan kepada golongan gelandangan sejak dari dulu lagi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini diumumkan.

Namun berdasarkan situasi sekarang, para sukarelawan ini hanya menumpukan untuk memberi makanan sahaja kepada golongan gelandangan tersebut.

Dan cabaran lain yang dihadapi oleh para sukarelawan dan NGO ini adalah disamping memberi makanan kepada golongan gelandangan, mereka juga kena memastikan golongan gelandangan ini menjarakkan 1 meter antara 1 sama lain ketika beratur mengambil makanan.

Hinggakan khidmat anggota Rela diperlukan bagi mengawal keadaan dan mendisiplinkan golongan gelandangan ini ketika mereka beratur mengambil makanan.

Kiranya kini Alhamdulillah, makan minum golongan gelandangan terpelihara ketika ini. Cumanya yang menjadi kesukaran adalah tempat tinggal untuk mereka berteduh dan berlindung sahaja yang menjadi kerisauan.

Sememangnya seperti pelarian Syria nampaknya golongan gelandangan di waktu ini. Dihimpit bahaya yang mampu menyerang mereka pada bila-bila masa sahaja.

Tiga tahun yang lalu ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017. Golongan gelandangan ini ditempatkan di kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kuala Kubu Bahru.

Adakah langkah sama boleh diguna pakai buat masa ini di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berlangsung?

Ingatlah. Di kala hujan turun membasahi bumi di waktu malam. Ketika kita sedang melunjurkan kaki di hadapan televisyen bersama ahli keluarga sambil menikmati air teh o yang panas.

Golongan gelandangan ini bukan sahaja basah kuyup terkena tempias hujan, tetapi turut disapa wabak Covid-19 yang mengganas.

Mudah-mudahan pihak kerajaan berbuat sesuatu untuk mereka.

InsyaAllah.



*Rujukan:
- Buletin Utama TV3 - Kawalan Pergerakan|Rumah Mana Gelandangan Nak Duduk? (26 Mac 2020)

#StayAtHome
#Covid19Malaysia

___________________________
Zulfikar Egar 

Comments