Berterima Kasih Kepada Penjajah British Berbanding Jepun?

OLEH: Taufiq Tuah



Pada tahun-tahun yang lepas saya pernah terbaca artikel yang kononnya Malaysia terhutang budi kepada British kerana mereka menjajah kita dalam keadaan orang Melayu tidak dibunuh, diseksa, dirogol dan didera sebagaimana yang dibuat oleh Jepun. Kemudian adanya alasan mereka yang mengatakan kalau bukan kerana British, pastilah Malaysia tidak akan semaju hari ini.

Oleh itu, saya sebagai seorang Melayu yang mana nenek moyang saya ialah orang Malaysia dan saya juga lahir di Malaysia, ingin mengkritik artikel ini, dan apa sahaja anasir yang cuba bersetuju dengan idea ini.

1. British Hanya Zalim Dalam Cukai, Bukan Dalam Mendera Fizikal Seperti Jepun?
Benar, Jepun sangat terkenal dengan penyeksaan yang tradis. Pancung, gantung, kena cucuk dengan pisau di hujung senapang dan banyak lagi cara penyiksaan terhadap orang Malaya. Namun jangan kita terlupa, kezaliman British yang diselimuti 'kebaikan' itu lebih zalim lagi. Bagaimana orang-orang Inggeris menggunakan orang Melayu sebagai khadam dan hamba. Mereka datang ke Malaya dan menjadikan orang kampung sebagai tunggangan seperti kuda bagi melalui laluan paya bakau. Orang luar menjatuhkan maruah tuan rumah!

Mereka juga lah yang melantik askar-askar daripada orang Melayu, untuk menentang pejuang-pejuang Melayu sendiri. Ketika Pejuang Melayu bangkit menentang British, British menghantar orang Melayu juga untuk membunuh pejuang Melayu. Tidak kah kita nampak kezaliman ini dilakukan dalam sembunyi?

Bukan sahaja kita perlu membayar cukai yang tinggi, malah orang Melayu sering lah diperhambakan dan dihenyak maruah mereka. Sehinggalah orang-orang Melayu terpaksa mempertuankan orang Inggeris. Jika diberi pilihan untuk mati bermaruah ketika melawan pedang Jepun atau untuk hidup hina dan diperendahkan maruah, pilihan mana yang anda akan pilih? Saya yakin semuanya memilih syahid di pedang Jepun. Hidup bermaruah, mati bermaruah.

Ingin ditegaskan, jangan cakap dengan saya yang British tidak pernah membunuh orang-orang Melayu. Sedangkan berapa ramai wira-wira bangsa kita yang telah syahid di tangan mereka. Berapa kali juga British menyumbangkan dana kepada perang-perang saudara yang berlaku di Malaya? Jangan kerana 'penyiksaan' oleh British ini diselimuti, kita rasa British ini tidak sejahat Jepun. Padahal kedua-duanya sama sahaja.


2. Orang British Tidak Mencuri TV, Radio, Basikal dan Makanan di Rumah Orang Malaya Seperti Jepun Lakukan?
Benar, British tidak mencuri basikal-basikal dan perahu orang Melayu. Tapi tahukah anda apa yang British curi dari Tanah Melayu? Bijih Timah, Susu Getah, Emas dan segala hasil bumi yang ada di tanah kita. Mereka memerlukan segala bahan mentah dari tempat kita supaya dapat bersaing di dalam Revolusi Industri yang sedang berlaku di Eropah. Sedang Jepun mencuri basikal di depan rumah kita, British sedang mencuri segala hasil di tanah kita.


3. Menyumbang Pembentukan Akhlak.
Jika Tanah Melayu tidak dijajah, maka pastilah adab dan akhlak orang Melayu ini seluruhnya terikat dengan moral-moral Islam dan budaya Melayu. Maka itu ialah sebaik-baik akhlak memandangan budaya Melayu juga akan berasimilisasi dengan akhlak Islam.

Ketika penjajah datang, mereka membawa budaya mereka ke dalam Tanah Melayu. Maka tidal hairan lah ketika sebelum ini, melihat Muslimah di Tanah Melayu memakai tudung itu agak janggal sekali. Malah seseorang itu boleh jadi ustazah hanya dengan memakai anak tudung tanpa tudungnya. Ini sebenarnya hasil daripada norma budaya barat sehingga menampakkan budaya syariat itu janggal dan tidak maju di mata masyarakat.

Ketika Jepun menjajah, orang Melayu diterapkan dengan moral disiplin (namun jauh dari aspek Islam). Sangat berbeza dengan moral orang barat yang sangat melebihkan hiburan dan hal dunia. Orang British lah yang memperkenalkan panggung wayang di Tanah Melayu. Mereka lah yang memperkenalkan kelab kebret. Seterusnya menghakis akhlak orang Melayu sedikit demi sedikit. Lihat pada hari ini, yang dahulunya dihakis kini sudah berlubang.


4. Konspirasi Gospel
Ingat lagi misi 3G yang dibawa oleh penjajah barat? Gold, Glory, Gospel.

Gospel bermaksud menjajah juga untuk menyebarkan dakwah Kristian. Mungkin ramai yang anggap misi 'gospel' hanya dibawa oleh Portugis dan Belanda dan tidak diteruskan oleh British.

Tapi percayalah British juga cuba untuk meruntuhkan Islam di dalam Tanah Melayu. Bukti jelas ialah, setiap ulama dan perjuang yang melaungkan seruan jihad pasti akan diburu oleh British. Kemudian diberikan pandangan buruk kepada mereka. Malah percubaan melenyapkan Islam lebih jelas apabila banyak pertubuhan Islam yang dibuat di Tanah Melayu akan dilabel sebagai Radikal malah ada yang diharamkan.


5. British Menjaga Keistimewaan Orang Melayu
Sungguh ramai antara kita yang terpedaya dengan permainan kononnya British menjaga kedudukan orang Melayu kerana masih mengekalkan raja-raja Melayu, masih mengiktiraf istilah 'rakyat raja' dan masih membenarkan pertubuhan konservatif untuk ada di Tanah Melayu. Namun semua sandiwara ini akhirnya terungkai apabila hasrat sebenar British ialah untuk membuatkan Tanah Melayu sebagai negara pelbagai kaum yang hidup sama rata dan orang Melayu tiada apa-apa keistimewaan. Inilah yang disebutkan sebagai Malayan Union. Hajat Malayan Union ini membuka pekung besar sebenarnya British tidak pun pedulikan kedudukan istimewa Melayu. Selama ini kedudukan ini terjaga hanya kerana desakan orang Melayu sendiri.


6. Orang Melayu Diberi 'Nafas' Di Zaman British?
Nafas yang sama juga sebenarnya ada di zaman Jepun. Bezanya, Jepun lebih memberi nafas kepada orang Melayu yang berbahasa Jepun. Sama juga halnya di zaman British, nafas itu lebih diberi kepada orang Melayu yang berbahasa Inggeris. Nafas yang dimaksudkan ialah keterlibatan orang Melayu sebagai kakitangan di dalam kerajaan.


7. British Yang Memajukan Tanah Melayu
Saya kira ini satu kesilapan fatal. Jika kita tidak dijajah, saya tidak terkejut jika kita boleh mengecapi kemajuan yang lebih daripada hari ini. Bayangkan kita sebelum dijajah, dizaman itu sahaja pelabuhan yang hebat semua milik kita. Ketenteraan yang mantap juga milik kita. Struktur politik yang teratur juga kita. Kerja bina-bina juga kita pelopornya. Pengangkutan laut, kita ahlinya. Sistem pendidikan di zaman itu, kita juga menjadi perhatian. Kita sedang berada di zaman kegemilangan sebelum penjajahan (dek pembelot) melumpuhkan kemajuan kita. Membuatkan kita terpaksa akur kita telah 30 tahun lebih kebelakang berbanding negara lain pada waktu penjajahan. Sedangkan jika kita tidak dijajah, insyaallah kita lah yang teratas. Hatta setelah merdeka, bukan British yang buat KLCC. Bukan British juga yang bina KLIA. Bukan British yang buka Putrajaya dan Cyberjaya.


8. Kita Terhutang Budi Kepada British?
Wallahi kita tidak akan terhutang budi kepada penjajah. Penjajahan orang kafir ke atas tempat kita ialah suatu musibah. Bagaimana pula dengan mudah kita berkata "Kita terhutang budi"? Penjajah lah yang menyekat kemajuan empayar Melayu lama. Malu lah wahai rakyat Malaysia yang pro-British mahupun pro-Broke. Dikala darah nenek moyang kita telah kering di bumi ini kerana perjuangan, kau pula sedang menjilat kaki musuh nenek moyang kita.

Mereka kafir dalam iman sehingga kita wajib bara pada mereka. Mereka jauh dari darah sehingga tiada keistimewaan mereka kepada kita. Tiada lah budi yang Malaysia hutang kepada mereka. Wallahualam.

___________________________
Taufiq Tuah 

Comments