Benarkah Kata Tun Mahathir Bidang Sejarah Tidak Dinamik?

OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin

Tun yang dihormati,

Bidang Sejarah memang nampak tidak dinamik, tak bergerak dengan ilmu baharu dan tidak berubah faktanya. Memang itulah 'nature' disiplin sejarah. Ia adalah catatan peristiwa dan keputusan masa lepas yang memberikan makna kepada kehidupan manusia sampai bila-bila. Selagi tidak dikaji dan tidak ditulis, ia kekal sebagai bahan nadir yang tak bernyawa. Yang memberikan nyawa dan mengaitkan setiap peristiwa sejarah dengan keadaan hari ini adalah ahli sejarah.

Tun yang dihormati,

Kalaulah bidang Sejarah bukan bidang yang penting dalam era segalanya sains dan teknologi, negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom atau Singapura di sebelah kita pasti sudah lama mengabaikan disiplin tersebut yang tak menguntungkan dari aspek materialnya. Tetapi tidak, tiga negara yang disebutkan di atas menjadi antara negara yang memiliki universiti dan arkib yang menyimpan dan mengkaji serta meneleti sejarah negara kita sendiri, kalaupun tidak seluruh dunia. Tun yang dihormati, di Amerika Syarikat, Jabatan Negaranya mempunyai 'Office of the Historian' guna menyimpan dan menganalisis segala dokumen sejarah dalam memandu penggubalan polisi luar negara mereka.

Tun yang dihormati,

Masalah kita bukan ilmu sejarahnya tidak dinamik, tetapi setakat manakah para pembesar dan penguasa memberikan pekuang kepada disiplin ini berkembang sejajar dengan kepesatan sains dan teknologi. Tahukah Tun yang dihormati, bahawa ada aspek baharu pengkajian Sejarah dinamakan Machine Learning? Peristiwa sejarah dan aktor sejarah dianalisis dan ditekuni menggunakan bantuan mesin kepintaran buatan, AI. Contohnya, ucapan para pemimpin dunia boleh dianalisis bagi mengenalpasti gaya dan langgam bahasa yang digunakan dalam era tertentu menurut konflik dan keadaan semasa waktu itu. Ia dibuat bagi membantu para penulis ucapan atau penggubal polisi memilih istilah bahasa berdasarkan kecenderungan masyarakat serta menggerakkan propaganda yang lebih bijak.

Tun yang dihormati,

Barangkali kita tak sedar bahawa kebanyakan sejarah kita diselidik dan ditulis oleh para sejarawan Barat. Sedikit sekali sejarawan tempatan yang hadir dengan kajian dari perspektif kita, iaitu Malaysian-centric. Kekangannya bukan tahap kepandaian sarjana kita, tetapi dana. Bidang sejarah jarang ada yang peduli. Semua orang hari ini mahukan pulangan material. Sejarah adalah abstrak, hanya bersifat penyelesaian idea, bukan mengeluarkan produk. Hatta geran penyelidikan kita kurang sangat memberikan peluang kepada para sarjana sejarah untuk meneliti sejarah bangsa kita yang masih terpendam.

Tun yang dihormati,

Setiap kali berlaku kekalutan dalam masyarakat, konflik antara kaum, isu bahasa, perpaduan, isu agama dan perlembagaan, para pemimpin dan masyarakat umum akan mencari para sejarawan dan saintis sosial bagi menjelaskan letak duduk sebenar isunya. Barangkali Tun terlupa, selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, Mageran membayar Jawatankuasa dari Universiti Harvard bagi memikirkan masalah perpaduan negara kita. Sekumpulan profesor Harvard mengkaji sejarah dan perlembagaan negara kita dan akhirnya mencadangkan penggubalan Rukunegara serta pengenalan subjek Sains Sosial dan Kemanusiaan di universiti kita.



Tun yang dihormati,

Kalau tak kerana Tun yang bersuara mesti tak ramai yang peduli dengan bidang Sejarah ini. Terima kasih untuk itu. Memanglah Tun, para kapitalis jarang ambil pusing dengan ilmu Sains Sosial dan Kemanusiaan seperti kami kerana tidak ada nilai komersial secara langsung. Oleh itu, mereka merasakan pasaran kerja tidak memerlukan orang dari bidang kami ini. Cuma mereka harus disedarkan, kalau tidak kerana adanya para saintis sosial dan sejarawan, merekapun tak dapat meniaga secara aman damai dan mengumpul kekayaan sampai anak cucu mereka.

Apapun Tun, terima kasih atas keprihatinan Tun bagi menjentik isu ini. Moga kami tidak lagi seperti melukut di tepi gantang.

___________________________
Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin

Comments