Proton 5 Wira Melaka

OLEH: Taufiq Tuah

Saya masih ingat pengalaman pertama saya pergi ke pameran permotoran. Pada ketika itu tahun 2010 di Kuala Lumpur International Motor Show. Di sana banyak lah kereta-kereta yang dibuat pameran. Tapi yang peliknya bukan saja dipamerkan kereta-kereta, tetapi juga dipamerkan wanita-wanita sebagai pengapit kereta.

Ramai pula antara wanita-wanita ini yang memakai pakaian mencolok mata. Saya kira hal (wanita pengapit kereta) ini tak sepatutnya diluluskan di negara Islam seperti Malaysia kerana perkara ini sebenarnya telah menjatuhkan martabat wanita sendiri. Saya tidak menjejakkan mana-mana lagi pameran kereta antarabangsa selepas itu, namun saya berharap agar pameran seterusnya telah dihentikan aktiviti 'eksploitasi wanita'.

Kembali kepada tajuk 'Proton 5 Wira Melaka' kerana saya masih ingat betapa bersemangatnya saya ketika melalui pameran milik syarikat kereta kebangsaan iaitu Proton. Saya masih ingat ketika itu saham Proton didominasi oleh Khazanah Nasional (Sebelum diambil alih oleh DRB-Hicom pada 2012 dan kemudian beralih lagi tangan kepada Geely).

Setelah menjamu mata dengan kereta-kereta 'sport' dan 'futureristic' dari pelbagai negara, akhirnya mata tetap jua tidak berhenti kagum melihat pameran Proton ketika itu yang menjadikan beberapa kereta sebagai tarikan. Antaranya ketika itu ialah 5 konsep kereta prototaip yang diberi nama sempena 5 nama wira Melaka iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Saya sebagai rakyat Malaysia sangat bangga ketika Malaysia akhirnya mengkehadapankan 5 nama tokoh ini di peringkat antarabangsa. Namun tahun berganti tahun, asik lah tertanya di mana agaknya prototaip-prototaip hebat ini?


Proton Tuah
Proton Tuah, ialah sejenis kereta sedan. Sekali tengok memang cun sangat sebab lampu belakang dia pun nampak 'futureristic'. Abah saya penah cakap yang kalau kereta ini dah dilancarkan, abah nak beli satu. Akhirnya prototaip ini sebenarnya ialah prototaip kepada Proton Preve' yang akhirnya dilancarkan pada 2012. Tapi abah tak beli pun lah. Hehe.

Daripada Proton Preve' ini pula lahir lah pula Proton Suprima S. Kiranya boleh dikatakan bahawa baka kepada Proton Tuah ini telah melahirkan Proton Preve' (2012) dan Proton Suprima S (2013).


Proton Jebat
Masa pertama kali pandang Proton Jebat ini, benda pertama yang lintas di dalam kepala ialah Mitsubishi Lancer Evo. Apatah lagi peminat kereta JDM mestilah lagi senang nak cam. Jadi kali pertama tengok tu teruja sangat sebab Malaysia bakal keluarkan kereta yang nak dekat sama macam Lancer Evo.

Rupanya Proton Jebat ialah prototaip kepada Proton Inspira (2010).


Proton Kasturi
Proton Kasturi masa tu nampak macam sangat biasa sahaja sebab tak jauh sangat rupa dengan Saga Second Generation (2008). Rupanya Proton Kasturi ialah prototaip kepada Proton Saga FL (2010). Sekarang rasanya pengguna kereta Saga FL ni ramai. Boleh lah kata Proton Kasturi banyak memenuhi kehendak pelanggan. Mungkin sebab antara harga jual yang murah untuk bayar bulan tapi dapat saiz lagi besar dari kereta Perodua Myvi.


Proton Lekir
Masa dapat tengok Proton Lekir ni memang sangat meleleh la. Mana tidak, kereta 'sport' tu. Mungkin juga sebab Proton dah jadi pemilik kepada Lotus Cars sejak 1996. Jadi teknologi sport dari Lotus boleh digunakan juga oleh Proton. Reka bentuk Proton Lekir sebenarnya sangat mirip kepada Lotus Europa S yang dikeluarkan pada 2006. Mungkin juga Proton berimpian nak buat kereta sport pula selepas ini. Namun, rasanya prototaip Proton Lekir ini belum dikeluarkan oleh Proton. Masih menunggu.


Proton Lekiu
Proton Lekiu masa tengok hari tu agak besar. Nampak macam SUV sikit walaupun hakikatnya MPV. Benar, prototaip ini telah digunakan untuk mengeluarkan Proton Exora (2009). Tapi Proton Lekiu sebenarnya nampak lebih besar dan lebih lasak. Mungkin akan ada juga projek lain daripada baka Proton Lekiu ini pada masa akan datang.

Jadi dalam banyak-banyak baka prototaip Proton 5 Wira Melaka ini, hanya tinggal satu sahaja yang belum dikeluarkan iaitu Proton Lekir. Artikel ini pula ditulis 10 tahun selepas prototaip-prototaip ini diperkenalkan.

Secara peribadi, saya daripada kecil lagi sangat menyokong produk-produk Malaysia. Sebagaimana saya yang masih kecil memberikan harapan kepada Proton untuk membuat yang terbaik, begitulah juga saya pada hari ini akan tetap memberikan harapan yang sama. Saya yakin, Proton boleh menjadi produk yang bukan sahaja dibanggakan oleh rakyat Malaysia, tetapi juga oleh masyarakat dunia.

Sebagaimana orang tergila-gilakan kereta Toyota, Nissan, Honda dan Ford, begitulah Proton juga insyaallah boleh kecapi.

Comments