Sistem Surat Menyurat Dahulu dan Kini

OLEH: Taufiq Tuah




Surat merupakan salah satu kaedah komunikasi yang terpenting dari zaman ke zaman. Kita melihat sebelum wujudnya kaedah menghantar surat, tamadun manusia berkomunikasi dari jauh dengan kod gendang, kod asap dan kod warna.

Kemudian sistem persuratan dibuat dengan menuliskan pesanan dan di kirim kepada orang tertentu. Pada awalnya, surat ini hanya banyak digunakan oleh golongan bangsawan. Seperti gabenor yang ingin menghantar surat laporan kepada rajanya. Maka dihantar seorang 'pengutus surat'. Pengutus surat juga dihantar untuk menghantar kiriman kepada kerajaan lain termasuklah kerajaan musuhnya. Maka tugas menghantar surat ini pada awalnya merupakan tugas yang boleh mengancam nyawa kerana ada penghantar surat yang mati dibunuh oleh raja kerajaan lawan.

Sehinggalah pada 1840 Masihi, sistem setem pertama di dunia diperkenalkan oleh United Kingdom. Setem ini ialah ibarat bayaran upah penghantaran. Misalnya sehelai surat biasa maka pengirim mesti meletakkan bayaran setem 1sen tetapi jika surat itu lebih berat (mungkin 10helai di dalam satu sampul) maka akan dinaikkan cas mengikut berat surat tersebut.

Mudah kata, setem ialah tanda transaksi upah bagi penghantaran surat. Sistem ini akhirnya diambil oleh beberapa negara Eropah seperti Switzerland, Protugal, Perancis malah negara luar Eropah seperti Brazil, Amerika Syarikat dan Rusia. Sistem ini juga tersebar ke negara-negara yang dijajah oleh British, Perancis, Portugal dan Sepanyol. Maka dapat dilihat pada hari ini, penggunaan setem akhirnya bersifat universal.

Semakin hari semakin maju sehingga pada hari ini, setem bukan lagi syarat dalam penghantaran. Malah pada hari ini boleh sahaja menghantar surat hanya dengan 'nombor pengesan' (track number) dan barkod.

E-mail / Direct Message / Private Message ini boleh diibaratkan sebagai surat bersetem alaf baharu. Hal ini kerana fungsinya yang sama iaitu menghantar pesanan. Samada ringkas atau panjang, sifatnya hanya mahu menghantar pesanan dan berkomunikasi.

Post / Tweet pula boleh dianggap sebagai 'Poskad' alaf baharu. Sifatnya sama iaitu boleh dibaca oleh semua orang dan boleh dilampirkan gambar. Poskad memang dibuat untuk menulis pesanan ringkas dan tidak dimasukkan ke dalam sampul surat. Maka setiap kakitangan pejabat pos yang memegangnya pasti boleh membacanya. Kebiasaannya perkara peribadi hanya akan dituliskan di dalam surat biasa.

Sticker / GIF ibarat Kad Surat alaf baharu. Sifat Sticker dan GIF ialah untuk memeriahkan pesanan melalui maya. Begitulah juga Kad Surat yang dicipta juga untuk memeriahkan surat biasa. Kebiasaannya dihantar untuk jemputan sesuatu majlis, mengucapkan sesuatu perayaan atau juga hanya untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah.

Begitulah serba sedikit sembang-sembang tentang surat dahulu dan surat sekarang.

[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments