Menyokong Fatwa JAKIM Tentang Liberal

OLEH: Taufiq Tuah


Sebagaimana pada baru-baru ini telah muncul poster JAKIM, yang menfatwakan bahawa aliran Liberal ialah sesat. Lalu ramailah pemilik akaun Twitter menghentam JAKIM melalui Twitter. Tak lepas juga yang menghentam JAKIM di Facebook.

JAKIM pada MKI kali ke-74  bersidang pada 25 - 27 Julai 2006 telah memutuskan "Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam".

Lalu antara hujah yang menentang fatwa ini ialah kononnya JAKIM tidak memberikan takrifan kepada istilah 'liberal' yang saya rasa bukanlah masalah besar kerana akhirnya umum rakyat Malaysia juga fahami apa maksud liberal yang cuba dimaksudkan oleh JAKIM.

Walaupun begitu ada baiknya saya meletakkan juga tafsiran liberal di dalam penulisan kali ini. Jika mengikut The New Columbia Encyclopedia, "Liberalisme ialah aliran pemikiran yang bertujuan untuk meningkatkan kebebasan yang diberikan kepada individu". Jika faham sepatah-sepatah kepada takrif ini, maka liberalisme ini tidak salah jika masih terbatas dengan lingkungan syariat Islam.

Daripada takrifan itu, maka kebebasan yang dimaksudkan itu akan terbahagi kepada hal seperti ekonomi, politik, perundangan dan sosial atau moral dll. Tapi takrifan ini pun tidak kekal. Ada setengah buku yang saya baca lebih menekankan istilah 'kebebasan berfikir' atau 'hurriyatul fikri'. Dan ada juga beberapa takrifan lain. 

Baik sekarang kita lihat di mana sejarahnya Liberalisme. Antara sejarahnya yang terkenal ialah munculnya pada zaman kebangkitan Eropah atau dikenali sebagai Renaisans. Apabila orang Eropah sudah muak dengan penindasan gereja. Maka terciptalah kebebasan sosial yang menggantikan 'nilai agama' dengan 'moral ethic'.

Apabila Martin Luther bangkit melawan Kristian Katolik Rom dengan membawa idea-idea baharu. Lalu muncul lah mazhab Kristian yang lebih liberal iaitu mazhab Protestan yang membolehkan setiap individu menafsirkan Bible mengikut penafsiran sendiri. Malah, Protestan ini tidak terikat dengan kerohanian sepertimana Gereja Katolik.

Jelas, sejarah kebangkitan pemikiran Liberalisme ini muncul adalah untuk menghapuskan Gereja Katolik Rom dan pengaruh-pengaruhnya. Disebabkan sifatnya yang lebih bebas dan longgar, maka mazhab ini juga mudah diterima. Sejujurnya saya tiada masalah atas apa sahaja konflik yang berlaku di dalam agama Kristian. Namun, dari kisah ini kita boleh lihat bagaimana Kristian Katolik akhirnya dihakis di Eropah dek kebangkitan aliran liberalisme.

Selesai memahami hal itu, kita lihat pula adakah aliran ini mampu menghakis Islam? Apatah lagi apabila slogan "Islam Liberal" memang wujud di dalam Malaysia dan cuba diketengahkan oleh golongan-golongan tidak bertanggungjawab. Maka saya berikan jawapan, jelas Liberal juga boleh menghakis nilai-nilai Islam apatah lagi jika mereka yang beraliran liberal ini lebih mengangkat 'moral ethic' versi mereka berbanding syariat Islam.

Dek aliran ini lah munculnya golongan-golongan yang dengan sesuka hati menafsirkan Al-Quran. Aurat wanita yang ijma wajib ditutup, dikatakan tak perlu hanya dengan tafsiran batil daripada kalimah "laikrohafidin". Dek golongan Islam Liberal ini lah muncul golongan yang menghalalkan LGBT dengan tafsiran batil dalil "Tidak beriman seseorang selagi dia tidak mengasihi saudaranya seperti mengasihi dirinya sendiri". Dek pemikiran ini juga lah seorang isteri akhirnya menderhaka kepada suaminya dengan dalil akal semata-mata.

Belum lagi saya sebutkan bagaimana anak muda akhirnya memandang normal mana-mana orang tidak menutup aurat. Malah membuka aurat tidak dianggap keaiban. Mempersendakan Islam itu dianggap gurauan. Ajaran sesat dianggap "bisa kawan". Berlucah-lucahan boleh sambil bergelak sakan walaupun di hadapan awam. Daripada mana datangnya nilai-nilai yang menghakis nilai Islam ini kalau bukan daripada dalil 'laikrohafidin' versi liberal. Apabila dinasihati, dengan mudah dan penuh alim liberalnya menjawab "belum sampai seru". Suka atau tidak suka ini ialah daripada bibit-bibit pemikiran liberal yang memang sudah sebati di dalam masyarakat kita pada hari ini.

Maka JAKIM membuat fatwa seperti ini ialah fatwa yang sangat tepat apatah lagi di zaman di mana liberal merupakan ancaman besar buat umat Islam. Benar, liberal akhirnya mendambakan kebebasan dengan hawa nafsu. Sebagaimana mereka juga telah menafsirkan dalil-dalil Al-Quran dengan batil. Ada yang mencadangkan JAKIM untuk ubah istilah di dalam fatwa kepada "Islam Liberal". Saya rasa tidak perlu, kerana dua istilah ini ibarat air dengan minyak. Mana mungkin Islam itu ada liberalnya. Islam itu memang dikongkong dengan Syariat.

Jika ada yang kata Liberal ini luas, bukannya tentang agama. Tapi tentang ekonomi, sosial, dll juga. Saya juga ingin jelaskan Islam bukan agama kerohanian semata-mata. Islam juga ada ekonomi ada sosial ada sahsiah dll. Islam itu syumul, menyeluruh, luas dan sepatutnya tiada hak atas kita menggantikan kesempurnaan itu dengan hawa nafsu kita atas alasan 'kebebasan berfikir'. Apa hak kita sebagai Muslim menggantikan politik cara Islam dengan politik liberal? Jika Islam telah menetapkan sesuatu hukum dan kaedah, lalu kita mengubahnya dengan akal kita sendiri, apakah itu tidak dianggap melawan aturan Allah? Lalu apakah status yang layak diberikan kepada yang melanggar aturan Allah?

Walaupun akhirnya saya sedar, ini ialah zaman yang sukar. Bukan kudrat saya dan majoriti yang membaca juga untuk mengubah apa-apa yang telah termaktub. Maka ini ialah keuzuran yang jelas. Jangan lah pula kita mengkafirkan sesiapa di dalam Malaysia kerana ini bukanlah sesuatu yang kita mampu mengubahnya. Malah saya yakin jika ditanyakan para pemimpin Muslim kita memilih antara Islam atau Liberal, pastilah mereka akan menjawab Islam.

Maka berbalik kepada soalan adakah Liberal aliran yang sesat? Jelas sekali secara umumnya saya bersetuju dengan JAKIM. Sebagaimana ada yang berhujah, Liberal itu luas dan JAKIM tak layak buat fatwa seperti itu, saya juga berhujah, Islam itu luas dan tiada kebebasan akal manusia yang layak menggantikan kesyumulan Islam. Kebebasan akal manusia itu boleh, liberal itu boleh, selagi tidak melangkaui syariat Islam.

Suka saya kongsikan sedikit kisah lucu ketika saya bertemu dengan Ustaz Hidayat Shafie dalam keadaan memakai batik Jawa tak berbutang, di dalamnya t-shirt putih. Lalu ustaz pun berkata "liberal dalam fashion macam ni takpe" sambil ketawa berseloroh.

Lalu ada yang kononnya berkata itu hedonisme bukan liberal. Hakikatnya hedonisme juga muncul dari liberal. Jika liberal itu antonim kepada konservatif. Maka hedonisme lebih cenderung muncul dari arah mana? Arah yang dikongkong dengan syariat, atau arah yang ada keluasan berfikir sehingga melangkaui syariat?

wallahualam.


___________________________
Taufiq Tuah

Comments