Benarkah Hang Jebat Pembela Rakyat?

 OLEH: Saufy Jauhary

Hang Jebat menjemput rakyat jelata masuk ke istana dan menjamu mereka semuanya makan. Hang Jebat juga mengarahkan pegawai menyembelih dua ekor lembu, sepuluh ekor kambing dan seratus ekor ayam untuk dijamu pada rakyat jelata. Tidak cukup dengan itu, Hang Jebat memecahkan bilik Perbendaharaan Negara dan mengambil semua harta-harta seperti intan, berlian dan emas yang tersimpan di dalam bilik tersebut untuk diberikan pada rakyat. Kata Hang Jebat, “Ini hak rakyat, aku akan kembalikan kepada rakyat!” Maka diberikannya harta-harta tersebut kepada rakyat yang hadir di istana tersebut, “Haa..ambil ini semua, ini semua hak kamu, ambil semua..ambil!!” laung Hang Jebat sambil mencampakkan permata kepada mereka semua. Kemudian ketika rakyat jelata memberi sembah kepadanya sebagai ucapan terima kasih, segera Hang Jebat menolak seraya berkata: “Jangan, jangan sembah aku! Aku bukan gila disembah. Aku bukan sebagai Sultan Melaka yang mengagung-agungkan pangkat dan kebesarannya. Aku Jebat…rakyat biasa. Pangkat aku untuk kepentingan rakyat. Bergerak aku untuk memberi jasa kepada rakyat. Dan aku rela mati untuk rakyat. Kerana aku mahukan keadilan, keadilan, keadilan…!”


Begitulah dialog Hang Jebat yang dilakonkan oleh seniman Nordin Ahmad di dalam filem Hang Jebat tahun 1961. Dialog yang sungguh mempersonakan setiap orang yang mendengarnya. Lagak Hang Jebat bagaikan seorang wakil rakyat yang sedang memberikan khidmatnya kepada rakyatnya. Siapakah yang bergelar rakyat yang tidak akan terpesona dengan dialog tersebut? tidak mungkin ada melainkan individu itu bukan seorang rakyat. Maka hasil daripada kejayaan filem ini ramailah di antara kita yang hingga kini menanggapi Hang Jebat sebagai wira rakyat lebih daripada Hang Tuah, kerana Hang Jebat membela rakyat sedangkan Hang Tuah hanya membela rajanya. Namun adakah watak Hang Jebat yang dilakonkan di dalam filem tersebut menggambarkan peribadi Hang Jebat yang sebenarnya di dalam sejarah?

Untuk mengetahui hal tersebut hendaklah diselidiki daripada dua sumber utama karya sastera agung bangsa Melayu iaitu Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Mengapa dua karya ini perlu diambil kira? Kerana dua karya inilah sumber utama asal usul kisah keperwiraan Hang Tuah lima bersaudara. Jika nama Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya tidak ditulis di dalam dua buah karya ini maka pada hari ini masyarakat pasti tidak mengenal siapakah  gerangannya yang menjadi laksamana dan panglima-panglima di zaman kegemilangan  kesultanan Melayu Melaka.

Sebenarnya di dalam karya-karya tersebut tidak ada petunjuk bahawa Hang Jebat membela rakyat. Bahkan Hang Jebat dilihat melakukan kezaliman kepada rakyat dengan melakukan pembunuhan sesuka hatinya. Tujuan Hang Jebat melakukan penderhakaan adalah semata-mata untuk membela kematian Hang Tuah yang telah dihukum bunuh oleh Sultan Melaka. Hal tersebut berdasarkan ucapan Hang Jebat di dalam Hikayat Hang Tuah: “Hai Orang Kaya Laksamana, keranamulah (Hang Tuah) maka aku berbuat pekerjaan ini. Pada bicaraku, engkau tiada dalam dunia ini lagi. Jika aku tahu akan engkau ada hidup, demi Allah dan Rasul-Nya, tiada aku berbuat pekerjaan yang demikian ini.” Di dalam Sulalatus Salatin pula Hang Jebat berkata: “Hei Tuah! Adakah lagi engkau? Adalah sangka aku engkau sudah mati, maka aku mahu membuat pekerjaan terlanjur demikian ini.” 

Kezaliman Hang Jebat terhadap rakyat jelata dirakamkan di dalam Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Di dalam Sulalatus Salatin, dinyatakan bahawa Hang Jebat telah membunuh gundik raja dengan cara yang mengaibkan: “Maka dipandang oleh Hang Tuah gundik raja yang dibunuh dan dihiris Hang Jebat dari muka lalu ke farajnya dan ditelanjanginya; maka oleh Hang Tuah sambil bertikam itu dikuiskannya kain perempuan itu dengan kakinya, seperti diselimuti, tertutup semua tubuhnya.”

Manakala di dalam Hikayat Hang Tuah pula, setelah Hang Jebat ditikam oleh Hang Tuah, dengan nyawa yang masih bersisa Hang Jebat telah mengamuk dan membunuh segala rakyat jelata yang dijumpainya tanpa belas kasihan: “Maka Hang Jebat pun lalu keluar mengamuk di tengah pasar itu. Maka orang Melaka pun beribu-ribu mati dan luka daripada laki-laki dan perempuan. Maka negeri Melaka pun huru-haralah. Maka Hang Jebat pun masuk mengamuk daripada suatu kampung kepada suatu kampung, daripada satu lorong kepada suatu lorong, daripada suatu tempat kepada suatu tempat itu; banyak mati dan luka; keluar masuk membunuh seperti orang gila. Maka bangkai pun bertimbun-timbun, pada segenap lorong dan segenap kampung dan pintu dan jambatan penuh dengan bangkai. Maka hari pun hampir malam. Maka Hang Jebat pun keluar dari dalam negeri. Ia membunuh orang luar negeri seperti sewah menyambar ke sana ke mari. Maka rakyat isi negeri itu pun keluar dari negeri membawa anak bininya; setengah mendapatkan raja. Setelah baginda melihat demikian itu , maka baginda pun terlalu dukacita melihat rakyatnya demikian itu, seperti alah oleh musuh lakunya, masing-masing membawa dirinya ke sana ke mari. Arkian setelah genap tiga malam Laksamana khalwat itu, maka Laksamana pun hendak ke sungai. Maka dilihat oleh Laksamana Si Jebat mengusir orang di pasar itu, seperti helang menyambar ke sana ke mari. Maka Laksamana pun berseru-seru sambil berdiri melihatkan kelakuan Hang Jebat membunuh. Maka Laksamana pun berseru-seru dengan nyaring suaranya, katanya, “Hai Jebat, padalah engkau membunuh orang beribu-ribu ini, kerana engkau pun akan mati juga; sudahlah. Sekarang segala nyawa orang berpuluh-puluh ribu tiadakah tertanggung atas kepalamu?!” Arkian maka suara Laksamana itu pun terdengarlah kepada Hang Jebat; Hang Jebat pun segera datang mendapatkan Laksamana. Maka dilihatnya Laksaman ada terdiri. Maka kata Laksamana, “Hai Si Jebat, padalah engkau membunuh orang yang berpuluh ribu ini, kerana engkau pun akan mati juga!” Setelah Hang Jebat menengar kata Laksamana demikian itu, maka Hang Jebat pun segeralah menyembah kaki Laksamana, serta katanya, “Hai orang kaya, segeralah buangkan diperhamba. Daripada orang lain membunuh hamba, baiklah orang kaya mendapatkan tangan kepada diperhamba.””

Tindakan Hang Jebat membunuh ribuan rakyat jelata itu membuktikan bahawa Hang Jebat bukanlah pembela rakyat. Masakan orang yang membela rakyat tergamak membunuh rakyat jelata demi melampiaskan dendam semata-mata. Malah dialog Nordin Ahmad  seperti di dalam filem Hang Jebat itu tidak ditemui di dalam kedua-dua hikayat. Dialog tersebut adalah rekaan pengarah filem tersebut iaitu Hussain Haniff. Menurut Hidir Ali Razali, pengarah Hussain Haniff telah terpengaruh dengan pemikiran seorang sasterawan bernama Ali Aziz. Ali Aziz telah mencipta teorinya di dalam penulisan bertajuk “Hang Jebat Pelaku trajidi ”(1960). Penulisan Ali Aziz ini telah memaparkan Hang Jebat daripada watak protagonis kepada seorang yang berwatak antagonis yang bersih dari kejahatan serta sahabat yang setia. Ali Aziz telah mengolah watak Hang Jebat dengan menarik hingga keberkesanan olahan dari Ali Aziz itu telah menarik minat seorang pengarah muda yang mempunyai sifat memberontak bernama Hussain Haniff untuk menterjemahkan penulisan tersebut ke layar perak. 

Filem sulong arahan Hussain Haniff ini telah mencetuskan satu fenomena baru dalam kalangan masyarakat Melayu pada ketika itu. Sebelum itu masyarakat Melayu seringkali didendangkan dengan kepahlawanan Hang Tuah dan penderhakaan Hang Jebat. Setelah Hang Jebat ditayangkan di pawagam dengan sekelip mata persepsi masyarakat ketika itu telah berubah. Menurut Ali Aziz kebanyakan yang tertulis di dalam buku-buku berkaitan sejarah Hang Tuah sebelum ini menyatakan kisah Hang Jebat menderhaka seringkali dilihat dari sisi tidak bersih, dan dari situlah tercetus ilham untuk beliau menulis kisah ini. Hal ini disebabkan Ali Aziz  sangat terdedah dengan karya penulis tragedi seperti William Shakespeare antaranya Julius Caeser, Macbeth, King Lear, Hamlet dan Othelo.

Timbul persoalan, bolehkah kita menjadikan Hang Jebat sebagai simbol orang Melayu untuk tidak sentiasa hanya tunduk kepada Sultan dan pemerintah? Maka jawapannya tidak boleh. Pertama telah dibuktikan bahawa cerita Hang Jebat seorang pembela rakyat adalah tidak tepat, yang benarnya Hang Jebat adalah seorang penderhaka yang menderhaka kepada Sultan untuk menuntut bela di atas kematian sahabatnya. Tidak sepatutnya untuk menjadikan seorang penderhaka sebagai idola. Yang sepatutnya diangkat sebagai idola pastilah seorang tokoh yang mempunyai imej yang bersih, baik budi dan bukan orang yang berimej jahat.


Kedua, di dalam hukum syariat Islam, menjadi penderhaka kepada pemerintah adalah haram. Seorang pemerintah Islam itu wajib ditaati segala perintahnya selagi perintah tersebut makruf bukan perkara maksiat,bukan perkara yang merosakkan akidah dan akhlak. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam al-Quran:


 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ 

“Hai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul-(Nya) dan ulil amri (pemerintah)di antara kalian.” [An-Nisaa: 59]


Juga sabda Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam:

 عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيْمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، إِلاَّ أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

“Wajib atas seorang Muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada apa-apa yang dia cintai atau dia benci kecuali jika dia disuruh untuk berbuat kemaksiatan. Jika dia disuruh untuk berbuat kemaksiatan, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat.”

 [HR. Al-Bukhari (no. 2955, 7144), Muslim (no. 1839), at-Tirmidzi (no. 1707), Ibnu Majah (no. 2864), an-Nasa-i (VII/160), Ahmad (II/17, 142) dari Sahabat Ibnu ‘Umar. Lafaz ini adalah lafaz Muslim]


Daripada Abi Bakrah r.anhu, bahawa aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَهُ اللهُ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللهُ

“Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi. Barangsiapa yang memuliakannya maka Allah memuliakannya dan barangsiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6988)]

 [Hadith ini dinilai sahih oleh Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, 496/1]


Daripada Abu Hurairah r.anhu, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، يَأْوِيْ إِلَيْهِ الضَّعيفُ، وَبِهِ ينتَصِرُ المظلومُ، وَمَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ فِي الدُّنْيَا أَكْرَمَهُ اللهُ يَوْم َالقِيَامَةِ

“Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi yang mana orang yang lemah akan pergi kepadanya. Dengannya akan dibantu orang yang dizalimi dan barangsiapa yang memuliakan Sultan di dunia ini maka Allah akan memuliakannya di hari Kiamat.”

 [Lihat: al-Jami’ al-Saghir (4817)] [Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai hasan]


Kesimpulannya, tidaklah tepat tindakan sesetengah orang Melayu menjadikan Hang Jebat sebagai idola mereka. Tindakan Hang Jebat menderhaka kepada Sultan jelaslah bukanlah sifat yang mulia malah tidak menepati syarak. Hang Jebat bukan wira rakyat, Hang Jebat tidak pernah mengagihkan harta-harta negara kepada rakyat sebagaimana dalam filem Hang Jebat. Filem itu adalah sekadar filem dan telah diubah dan diolah dari fakta sejarah yang sebenar. Hendaklah rakyat khususnya orang Melayu Islam dan secara amnya rakyat Malaysia berbilang bangsa menumpahkan taat setia kepada kerajaan yang dipimpin oleh Yang Di-pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.


SUMBER:-

1) Filem Hang Jebat (1961)

2) Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, A. Samad Ahmad (Penyelenggara), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

3) Hikayat Hang Tuah, Kassim Ahmad (Penyelenggara), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

4) Hidir Ali Razali: Hang Jebat Pelaku Terajidi. Siapa Ali Aziz?, rencana Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik.

5) Ahlus Sunnah Taat Kepada Pemimpin Kaum Muslimin: https://almanhaj.or.id/1399-ahlus-sunnah-taat-kepada-pemimpin-kaum-muslimin.html


[Legasi Pemikir - LEKIR]


Comments