OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Babi Laut itu dikatakan kerabat kepada Teripang. Cumanya Babi Laut berada di laut dalam, jauh di bawah sana.
Sebenarnya kami pernah menyinggung tentang Babi Laut ini suatu masa dahulu.
Tentang Teripang pula, orang Melayu (menurut istilah di Malaysia) telah lama memungutnya sejak zaman dahulu.
Dalam sebuah buku tulisan orang Barat - yang telah terlupa jodol serta penulisnya - dinyatakan bahawa nelayan Melayu - yang jika tidak salah adalah suku Jawa atau Bugis - mengutip Teripang sampai ke laut Austalia.
Nelayan Melayu akan berkemah di pulau tersebut ketika mengumpul Teripang sementara menunggu musim angin kembali bertiup.
Teripang yang dikumpul itu kemudiannya dijual kepada pedagang China lantaran haiwan itu mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat sana.
Tidak dapat dipastikan apa nama sebenar untuk pulau besar itu pada lidah Melayu. Ada yang mengatakan sebagai Luca Antara, wallahu’alam.
Dalam catatan Jawa Kuno, ada disebut kata Pujut untuk nama Australia. Ini berdasarkan prasasti dari zaman Jawa Kuno, tepatnya Prasasti Garaman.
Prasasti Garaman dikeluarkan oleh Mapanji Garasakan dari Kerajaan Janggala yang bergelar Sri Maharaja Rake Halu pada tahun 975 Saka atau 1053 M sebagai penghargaan kepada penduduk Garaman yang berjasa dalam melawan Kerajaan Panjalu. Prasasti ini ditemukan pada 1985.
Disebutkan kerajaan Medang dan Kerajaan Kahuripan di zaman Airlangga mengalami kemakmuran sehingga memerlukan banyak tenaga buruh yang didapatkan dari Jenggi (Zanzibar), Pujut (Australia) dan Bondan (Papua).
Oh ya, mesti ada yang tertanya-tanya: apakah itu Teripang?
Menurut Kamus Dewan, Teripang itu adalah binatang laut yang berkerutu badannya dan berwarna coklat bertapuk-tapuk hitam dan biru. Ia lebih panjang dari Gamat dan lebih gemuk.
Gamat biasanya hidup di celah-celah atau di bawah batu, manakala Teripang pula hidup di dalam lumpur laut.
Jika menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia pula, Gamat adalah sejenis Teripang yang lebih besar saiznya. Manakala Teripang pula ditakrifkan sebagai binatang laut berkulit duri (berbulu-bulu hitam) sebesar mentimun muda.
Justeru jangan pening kepala. Anggap sahaja Teripang itu sebagai Gamat dan sejenis dengannya. Ini bersesuaian dengan takrifan dari Jabatan Perikanan Malaysia.
Comments
Post a Comment