Gajah Sudah Lama Pupus Di Tanah Arab, Dari Mana Datangnya Gajah-Gajah Abrahah?

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Gajah sudah lama musnah dari Tanah Arab, kononnya 7 juta tahun silam.

Namun dari mana datangnya gajah-gajah dalam armada Abrahah, pemerintah Yaman?

Ada riwayat menyebut 9 ekor gajah yang digunakan dalam pasukan Nasrani Yaman itu. Ada yang menyebutkan ada 12 gajah selain seekor gajah besar tunggangan Abrahah. Malah ada yang beranggapan jumlah gajahnya lebih banyak dari itu. Wallahualam.

Namun soalnya dari mana semua gajah ini datang jika gajah di Tanah Arab sudah lama pupus?

Jawapannya adalah dari Kerajaan Aksum (Habsyah).

Haiwan pemusnah ini sudah dihantar ke Yaman sebelum berlaku misi meruntuhkan Ka'abah lagi, iaitu ketika Raja Himyar (Yaman) membunuh kaum Nasrani, sehinggalah Raja Aksum menghantar armada untuk menuntut bela sekaligus membalas dendam.

Hanya sahaja gajah tunggangan Abrahah bernama Mahmud dihantar kemudian untuk merobohkan Ka'abah.

Setelah Dinasti Himyar dihapuskam, Yaman menjadi negara vassal kepada Dinasti Aksum dari Benua Afrika, sedangkan Abrahah dahulunya panglima Aksum yang ditugaskan menumpaskan pasukan Zu Nuwas, pemimpin Himyar.

Sebenarnya ketika kaum Nasrani dihapuskan oleh Zu Nuwas dengan menghumban mereka ke dalam parit berapi, terdapat seorang Nasrani yang selamat lalu melarikan diri ke Syria.

Ketika Daus atau nama lainnya Zu Sa'labain sampai di Syria lalu dia menceritakan hal ehwal yang menimpa nasib umat Nasrani Yaman.

Syria yang menjadi jajahan Rom Timur terlalu jauh untuk menuju ke hujung Tanah Arab berbanding Kerajaan Askum. Lalu sebuah utusan dihantar ke Askum meminta Raja Askum membela nasib umat Nasrani di sana.

Namun menurut catatan lain, menjelaskan bahawa seorang Yahudi bernama Yusuf Asar Yathar atau dipanggil Zu Nuwas merampas kendali Kerajaan Himyar setelah Raja Mukarrib Ya'fur wafat.

Setelah Zu Nuwas berkuasa maka dia membunuh kaum Nasrani termasuk rakyat Askum di Kota Zafar - ibukota Himyar. Kerana itulah angkatan tentera Askum datang melawan Zu Nuwas.

Mungkin ketika itu yang menjadi raja Dinasti Askum adalah Kaleb dan ketika Nabi Muhammad saw lahir, Dinasti Askum ditadbir oleh Alla Amidas. Sedangkan ketika para sahabat berhijrah ke Kerajaan Askum, pemerintahnya bernama Sahama ataupun Ashama Ibn Abjar. Dialah yang terkenal sebagai Najashi dalam literatur Islam.

Kerajaan Askum ini terus berhubung baik dengan Kaum Muslimin sehinggalah pada tahun 960 ketika dimusnahkan oleh Ratu Yodit @ Gudit yang dikatakan ratu dari kaum Yahudi.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments