OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya
Saya yakin ramai yang sebak kegembiraan apabila UMNO dan PAS mengumumkan perdamaian yang membawa kepada termeterainya Muafakat Nasional. Saya antara yang amat gembira dengan khabar tersebut kerana itulah antara impian saya dan sahabat dalam iLMU sejak tahun 2010 sedari awal kami menulis dan bercakap menegur dan kadang kala ‘membantai’ PAS. Impian kami agar PAS yang ketika itu masih bersama PR meninggalkan pakatan tersebut dan bersama dengan UMNO pada PRU13.
Alhamdulillah tahun 2019 adalah rahmat di sebalik musibah apabila berpindahnya tampuk pemerintahan kepada PH, sebuah pemerintahan yang gagal hampir semua sudut. Rahmatnya apabila dua parti utama Islam dan Melayu yang berdekad-dekad lamanya bergaduh dan bersengketa akhirnya berpeluk berkasih sayang serta menginsafi segala perbalahan lampau. Sejak itu saya dan sahabat-sahabat iLMU sebaik mungkin cuba menahan diri dari menulis serangan atau bantaian terhadap PAS sebagai menyokong dan menjiwai impian MN.
Bila saya lihat viral yang mengatakan DR ASYRAF WAJDI DUSUKI ‘membantai’ PAS dalam ucapan PAU 2020 beberapa hari lepas, terdetik di hati saya bahawa mustahil ia berlaku apatah lagi dengan kehadiran Ketua Pemuda PAS yang dijemput sebagai tetamu kehormat. Mengenali DAWD, beliau adalah seorang tokoh yang terkenal dengan sikap lemah lembut tutur dan adabnya. Yang lebih menyayangi PAS dan sahabat-sahabat di dalam PAS lebih daripada saya dan ahli UMNO yang lain.
Pernah sekali saya makan malam semeja dengan DAWD di Hotel Seri Pacific, saat itu sedang hangat di medsos artikel iLMU yang lantang dan tajam membantai PAS (saya lupa isunya secara tepat). Beliau terus bertanya saya tentang artikel tersebut dan menasihati agar iLMU janganlah terlalu keras membantai PAS. Jelas sekali harapan beliau disampaikan dalam nada dan lenggok badan yang penuh belas ihsan.
Jelas juga betapa beliau sangat berbesar hati dengan permuafakatan besar ini apabila beliau cuba melaksanakan transformasi dalam PPUM ke arah lebih cakna tentang pengisian agama. Lihat sahaja Skuad Sabil yang ditubuhkan, hampir mirip dengan Jabatan Amal (Unit Amal Malaysia) PAS. Sistem usrah juga diterapkan yang masyhur ia adalah sistem PAS zaman berzaman.
Logik akal juga dengan mudah boleh difikir bahawa mustahil Ketua Pemuda Umno memasang niat untuk membantai PAS dan menjemput Ketua Pemuda PAS mendengar sendiri bantaian secara langsung di dalam dewan PAU. Tindakan ini sudah boleh dibaca akan menimbul kecaman percuma yang bakal meranapkan wibawa UMNO yang jelas sekarang sedang giat membina wibawanya demi mendapat kembali kepercayaan rakyat pada PRU15 nanti.
Saya doakan agar kedua belah pihak UMNO dan PAS terutama PPUM dan DPPM agar boleh mengendurkan kembali ketegangan yang berlaku. Apa yang bakal kita dapat jika muafakat ini gagal. Penyatuan ini adalah tuntutan Allah dan Rasul. Jangan sekat rahmat dari penyatuan ini hanya kerana beralasankan dengan alasan-alasan politik. Muafakat ini hanya akan berjaya dengan keikhlasan dan pengorbanan sahaja. Ikhlas dan pengorbanan bukan dengan kata-kata semata tapi perlu berpasakkan tindakan yang wajib diterjemahkan.
Iman tidak cukup sekadar ucapan semata tapi berhajatkan amalan badan. Cinta juga tidak cukup sekadar tutur bait indah semata tapi perlukan bukti yang nyata dari belaian dan cakna hakiki. Begitu jugalah penyatuan ini, tak cukup sekadar retorik ucapan, tapi ia wajib diterjemahkan melalui tindakan yang lahir dari pendirian yang jelas. Jika pendirian pun sudah tidak jelas, doakan sahaja agar Allah selamatkan bumi Malaysia ini dari gelombang fitnah politik kedua pada PRU15 nanti.
Comments
Post a Comment