Ancaman Keselamatan Air Mesir : Dosa Besar Morsi Kepada Rakyat Mesir

 OLEH: Mohd Faizal Sabhon

1. Kita ingat Ethopia melalui sirah nabawiah berkisar tentang Hijrah pertama dalam Islam yang diketuai Saidina Jaafar Bin Abu Thalib kerana di sana terdapat seorang Raja yang adil yang boleh melindungi umat Islam.

2. Namun sejarah abad ke dua belas berubah pula menjadi pusat tentera perang salib dan tempat suci di sisi penganut Kristian Ortodoks yang menjadikannya bandar Lalibela sebagai tempat ibadat haji mereka.

3. Ethopia adalah kawasan strategik bagi keselamatan air Sudan dan Mesir kerana di dalam negaranya ditakdirkan Allah Tasik Tana adalah Sumber kepada pengaliran ke Sungai Nil Biru kemudian mengalir deras ke Sungai Nil Putih di Khartoum Sudan.

4. Dari Khartoum menuju ke Mesir melalui Aswan kemudian Luxor dan dari sana menuju ke Kaherah. Dari Kaherah ia mengalir ke dua cabang delta, Timur dan Barat.

5. Delta Sungai Nil atau cabang Timur mengalir ke Dumyat melalui Mansurah manakala Delta Sungai Nil cabang Barat mengalir dari Kaherah ke Rosetta رشيد dan kemudian ke Iskandariah.

6. Dari delta ini lah banyak terusan-terusan kecil ترعة dan yang paling menyerlah terusan mahmudiah. Anda boleh baca novel لا أحد ينام في الاسكندرية untuk menikmati khayalan penulis kembali ke zaman 1940 an perjalanan dari Kaherah ke Iskandariah melalui terusan ini.

7. Hakikatnya, Sungai Nil ini mempunyai 3 punca utama dan melalui 11 negara, dan panjang sungai ini adalah sejauh 6825 km.

8. Untuk isu yang kita nak cerita adalah yang berkaitan salah satu dari tiga sumber iaitu Tasik Tana Ethopia dan melibatkan 3 negara, Ethopia, Sudan dan Mesir.

9. Ini kerana, 86% dari pengaliran Sungai Nil di Mesir adalah dari sungai Nil Biru Ethopia.Mesir hanya menerima 55 bilion meterpadu sahaja dari 1600 bilion meterpadu tadahan hujan. Mesir hanya menikmati 4 hingga 5 peratus dari keseluruhan tadahan hujan dalam setahun. Berdasarkan perjanjian Sungai Nil (perjanjian antarabangsa) 1959, Mesir hanya menerima 55.5 bilion meterpadu air.

10. Berbanding Ethopia yang menerima 923 bilion meterpadu tadahan hujan setahun dan menerima 1023 meterpadu air dari Sungai Nil.

11. Dari segi sejarah, Ethopia telah ditawan oleh Mesir semasa zaman pemerintahan Muhammad Ali Pasha (1805-1841). Namun ia diberikan kemerdekaan oleh Ismail Pasha pada akhir kurun ke 19 dengan syarat tidak membuat empangan.

12. Dari segi sejarah juga, Mesir adalah pengguna utama Sungai Nil kerana ketamadunan bermula di sungai nil dan dibuktikan melalui artifak2 yang masih ada terutama rumah-rumah ibadat dan kesan tinggalan yang lain sekitar Luxor hingga Aswan.

13. Mesir cukup kuat untuk mempertahankan KESELAMATAN AIR yang diperoleh olehnya sama ada dari aspek sejarah mahupun undang2 antarabangsa melalui perjanjian 1929, 1959 dan terakhir 2010.

14. Mengapa Ethopia berani bina empangan walaupun jelas ia berisiko mengurangkan hak perolehan Mesir? 

15. Ini kembali ke zaman pemerintahan Ikhwan Muslimin melalui presiden Morsi yang telah menyatakan persetujuan awal pada mei 2013 dalam persidangan Negara-negara Afrika kira-kira sebulan sebelum Morsi dijatuhkan.

16. Inilah “dosa besar” Morsi dan sayang sekali Presiden Umar Bashir di Sudan yang juga Islamis bersekongkol dengan beliau bahkan beliau menyatakan persetujuan selepas itu.

17. Penglibatan Morsi dalam krisis ini boleh anda baca melalui buku الجيش والاخوان dan السيسي : الطريق إلى بناء الدولة kedua2nya tulisan Ahli Parlimen Mesir, Mustafa Bakri.

18. Kekecohan bermula sekali lagi apabila pihak Ethopia hendak memenuhi empangan berkenaan pada bulan Julai sedangkan Julai hingga Ogos adalah bulan pengaliran deras dari Tasik Tana ke Sungai Nil Biru ke Mesir yang dahulunya jika anda baca buku Stanley Len Paun tentang Kaherah, Julai hingga Ogos adalah musim banjir di Kaherah kerana air Sungai Nil yang melempah ruah.

19. Namun kerana bijaksana Al marhum Presiden Gamal Abdul Naser, beliau telah membuat empangan di Aswan yang menyebabkan Kaherah dan Delta tidak lagi mengalami banjir kerana lempahan air berkenaan dialirkan ke empangan Aswan.

20. Setiap tujuh tahun dari seratus tahun, Mesir akan mengalami pengurangan air (جفاف) seperti yang dialami dari tahun 1980-1987. Situasi berkenaan dapat diatasi apabila air yang mengalir deras pada musim Julai - Ogos sebelum-sebelum itu dialirkan ke Empangan Aswan.

21. Empangan Aswan tidak mengganggu hak Ethopia dan tidak mengurangkan air yang diperoleh negara sumber, namun sebaliknya berlaku jika Empangan Ethopia berfungsi pada bulan Julai.

22. Empangan Ethopia bakal mengurangkan hak perolehan Mesir sekaligus bakal menyebabkan Mesir kekurangan bekalan air. Bukan sahaja Mesir bahkan Sudan juga bakal mengalami musibah yang sama dan ini melanggar perjanjian 1929 dan 1959.

23. Apa yang perlu sekarang, Ethopia perlu mendapat kebenaran kesemua negara penerima Sungai Nil untuk memenuhi empangan berkenaan sesuai dengan kajian lengkap oleh pakar berkaitan pada masa yang sesuai supaya tidak mengganggu negara penerima yang lain.

24. Ethopia setakat ini berdegil dan Mesir kembali membawa perkara ini ke Majlis Keselamatan PBB yang mana jika majoriti terutama dari lima anggota tetap (US, Rusia, Francis, Uk dan China) menerima dan resolusi dikeluarkan, Mesir mampu bertindak untuk menyelesaikan krisis ini atas nama keselamatan air untuk kedua-dua negara, Mesir dan Sudan.

25. Setakat ini US, Francis dan Rusia telah mengeluarkan kenyataan tidak memihak kepada Ethopia dan jika gagal selesai secara diplomatik, tidak mustahil Mesir akan menyelesaikan dengan kekuatan ketenteraan dan Mesir sangat mampu untuk itu.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments