Duril Mazlum: Kitab Yang Dilazimi Pada Era Kejatuhan Melaka

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Ada khilaf pada nama kitab ini namun semua sepakat bahawa ia adalah sebuah kitab sufi yang dibawa dari perlabuhan Jeddah ke Melaka.

Nampaknya kitab aqidah sufi karangan Maulana Abu Ishaq yang dibawa oleh muridnya iaitu Maulana Abu Bakar dengan kapal itu tidak membawa perubahan malah ia adalah petanda kecelakaan agama sekaligus kejatuhan Melaka.

Kitab yang dijadikan pelajaran kepada para anak raja dan para pembesar itu, malah banyaknya rakyat kota Melaka yang mempelajarinya.

Tetapi ia tidak membaiki watak penduduk kota tersebut. Malah aqidah mereka makin hancur.

Malah Sultan yang menekuni kitab itu sehingga mahir dan dianggap berpengetahuan luas terhadap Islam telah bertanya soalan menguji: "apakah seluruh neraka dan syurga itu kekal abadi" kepada ulama Pasai dengan ganjaran hadiah serangkai emas dan hamba wanita.

Ini rupa bentuk soalan 'teka-teki' dari Sultan. Maka Mufti Pasai pun menjawab "Syurga dan Neraka itu kekal abadi" lalu membawakan dalil naql. 

Setelah itu berfikirlah pula dia tentang soalan tersebut punya hadiah lumayan lalu apakah semudah itu jawabannya? 

Jadinya dipanggil wakil Melaka secara sembunyi lalu berkata Sang Mufti Pasai: "di hadapan masyarakat awam maka itulah jawabannya". Sebaliknya dihadapan wakil Melaka secara sembunyi itu diberi Jawaban "tidak kekal".

Begitu pula ketika Hang Nadim ke India atas urusan membeli kain dengan menumpang kapal dagang Hang Isap. Maka di sana, bertelagahlah Hang Isap dengan rakan kongsinya seorang Maulana yang dianggap Wali Allah. Lalu ketika balik, takdir Tuhan maka karam kapal Hang Isap.

Apakah sebab karam itu adalah kerana maulana itu?

Pembesar Melaka percaya sehingga murkalah Sultan kepada Hang Nadim yang tetap mahu pulang dengan menaiki kapal yang 'sudah diketahui akan binasa' akibat 'tulah' dari sang wali.

Itu belum lagi dongengan tentang Pra Chu, Raja Ayudhiya di Siam sana yang ingin menyerang Melaka yang tiba-tiba mati dipanah secara sakti oleh ahli sufi dari Istana Melaka. 

Kalaulah sufi itu membawa kezuhudan maka pastilah penduduk Melaka akan zuhud. 

Sebaliknya pembaziran juga berlaku. Betapa Bendahara begitu kaya, menukar baju 7 kali sehari! Dia ada cermin bersaiz dari kaki hingga ke kepala. Emas juga dibuat barang mainan oleh anak saudaranya.

Rasuah menjadi-jadi sampaikan Raja Mandaliar banyak merasuah pembesar. Sampaikan Temenggung Hassan anak Bendahara Sri Maharaja, marah dengan berkata "Cis haram jadah. Dengan aku kau hendak rasuah? Dengan bapak-bapak yang lain itu boleh lah".

Bukan sahaja pembesar makam rasuah, rupanya pegawai kerajaan yang rendah juga. Petugas yang menguruskan 'lebuh' iaitu jalan di Melaka selalu mengambil rasuah dengan menipu. 

Undang-undang Melaka menetapkan bahawa rumah yang ditepi Lebuh harus lurus dan tidak masuk kawasan lebuh. 

Maka pegawai kerajaan ini sengaja mengatakan kepada penduduk bahawa rumahnya senget atau masuk sedikit, maka hendak di roboh. Lalu diambil wang sogokan.

Itu belum lagi kisah bagaimana permintaan Sultan untuk melarikan Tun Teja, anak Bendahara Pahang dan juga perangai para pembesar yang kepingin 'bersama' isteri Hang Biajid. Ketika Hang Biajid pulang dari wilayah jagaannya maka terlihat lah sultan keluar dari rumahnya. Dilambung -lambungnya tombak di tangan lantas berkata "jika aku bukan anak Hang Tuah, pasti tombak ini telah dilemparkan".

Dan lebih mengharukan adalah ada pembesar yang suka minum arak sehingga apabila dia ke istana lalu dihidangkan arak kepadanya.

Lebih parah, pada saat jatuhnya Melaka, di waktu malam setelah siang berperang, para askar tidak bertahajud atau membaca Al Quran! Sebaliknya membaca kisah Muhammad Al Hanafiyah / Hikayat Amir Hamzah.



[Legasi Pemikir - LEKIR]


Comments