Benarkah Arab Saudi Bina Istana Dajjal di Bukit Habsyi?

 OLEH: Ustaz Suhili Nain


Tersebar di Facebook, blog dan YouTube bahawa Arab Saudi telah membina istana Dajjal di bukit Habsyi.

Ketahuilah bagi anda yang terbaca perkara ini, terjemahan hadis Dajjal naik bukit Habsyi, lalu melihat ke arah Masjid Nabawi adalah tidak benar. Lafaz teks Bahasa Arab, tiada menyebut "Bukit Habsyi", tetapi bukit Uhud. Teks hadis juga tidak menyebutkan bahawa Dajjal mempunyai istana di atas bukit tersebut.

Terjemahan yang berselerak dalam media sosial dan YouTube adalah terjemahan yang salah.


Teks hadis adalah seperti berikut.

عَنْ مِحْجَنِ بْنِ الْأَدْرَعِ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ النَّاسَ، فَقَالَ : " يَوْمُ الْخَلَاصِ وَمَا يَوْمُ الْخَلَاصِ، يَوْمُ الْخَلَاصِ وَمَا يَوْمُ الْخَلَاصِ ". ثَلَاثًا، فَقِيلَ لَهُ : وَمَا يَوْمُ الْخَلَاصِ ؟ قَالَ : " يَجِيءُ الدَّجَّالُ فَيَصْعَدُ أُحُدًا، فَيَنْظُرُ الْمَدِينَةَ، فَيَقُولُ لِأَصْحَابِهِ : أَتَرَوْنَ هَذَا الْقَصْرَ الْأَبْيَضَ ؟ هَذَا مَسْجِدُ أَحْمَدَ. ثُمَّ يَأْتِي الْمَدِينَةَ فَيَجِدُ بِكُلِّ نَقْبٍ مِنْهَا مَلَكًا مُصْلِتًا، فَيَأْتِي سَبَخَةَ الْجُرُفِ ، فَيَضْرِبُ رُوَاقَهُ ، ثُمَّ تَرْجُفُ الْمَدِينَةُ ثَلَاثَ رَجَفَاتٍ، فَلَا يَبْقَى مُنَافِقٌ وَلَا مُنَافِقَةٌ، وَلَا فَاسِقٌ وَلَا فَاسِقَةٌ إِلَّا خَرَجَ إِلَيْهِ، فَذَلِكَ يَوْمُ الْخَلَاصِ ".

Daripada Mihjan bin Al-Adra' bahwa Rasulullah ﷺ berkhutbah kepada manusia seraya bersabda, "Hari Al-Khalash, dan apakah itu hari Al-Khalash? Hari Al-Khalash, dan apakah itu hari Al-Khalash? Hari Al-Khalash, dan apakah itu hari Al-Khalash?" beliau mengulanginya hingga tiga kali, lalu ditanyakanlah kepada beliau, "Dan apakah itu hari Al-Khalash?" beliau menjawab, "Iaitu, saat keluarnya Dajjal, lalu ia menaiki gunung Uhud sehingga ia pun melihat kota Madinah, dia pun berkata kepada para pengikutnya, 'Tidakkah kamu melihat istana yang putih ini? ini adalah Masjidnya Ahmad (yakni Masjid Nabawi)." Kemudian dia mendatangi Madinah, dan dia pun mendapati pada setiap jalannya satu Malaikat yang telah siap dengan hunusan pedangnya. Lalu dia mendatangi sabakhatul juruf (suatu kawasan yang masin tanahnya), kemudian ia memukul rumah-rumah disitu, kota Madinah pun bergetar dengan tiga kali getaran. Sehingga tidak seorang munafik pun baik lelaki ataupun perempuan dan tidak juga seorang fasik pun baik lelaki ataupun perempuan yang tersisa, kecuali semuanya keluar mengikuti Dajjal. Dan hari itulah yang dinamakan Yaumul Khalash."

(Musnad Ahmad, Al-Mustadrak)



Status hadis diperselisihkan. Inilai sahih oleh Al-Hakim, dan sahih dengan syawahid oleh Syaikh Musthafa Al-Adawi, namun dinilai dhaif oleh Syaikh Syuib Al-Arnauth, kerana terputus sanad, Abdullah bin Syaqiq tidak mendengar daripada Mihjan bin Al-Adra'.

Dikatakan antara Abdullah bin Syaqiq dan Mihjan terdapat Raja' bin Abi Raja', perawi yang majhul, tiada yang meriwayatkan daripadanya kecuali Abdullah bin Syaqiq. Justeru sekiranya benar, kekuatan sanadnya masih boleh dipertikaikan.

Lafaz mendaki bukit Uhud itu juga menyelisihi hadis sahih, kerana bukit Uhud termasuk tanah Haram yang tidak boleh dimasuki Dajjal.

Selain itu, Kingdom Palace yang dituduh istana Dajjal, bukan berada di bukit Habsyi, tetapi ia berada di atas bukit Taybah.


Kesimpulan.

Seandainya seseorang berpegang hadis ini sahih sekalipun, ia tetap tidak dapat menjadi dalil menuduh Arab Saudi membina istana Dajjal, kerana penuduh telah melakukan kesalahan:

1. Menukar terjemahan hadis, daripada bukit Uhud kepada bukit Habsyi. Bagaimana mereka berani mengubah teks sebegini?

2. Kingdom Palace dibina bukit Taybah, bukan di bukit Habsyi. Sekiranya peta daripada Google Map ini tepat penamaan lokasinya, kelihatan tiada sebarang binaan di bukit Habsyi.

3. Menyisipkan tambahan bahawa Dajjal akan mempunyai istana di atas bukit, sedangkan ia tidak dinyatakan dalam hadis tersebut, mengenai istana Dajjal.

Sebagai penutup, janganlah kebencian kita sesuatu kaum membuatkan tidak bersikap adil kepada sesuatu kaum.


Wallahu a'lam.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments