Penjawat: Santunilah Peniaga Kecil

 OLEH: Shahrul Aiman

Semalam selepas bersenam saya sedang mencari air kelapa segar. Di kawasan saya ini ada dua penjual air kelapa, satu popular dan satu lagi tidak popular. Sudah semestinya saya ke kedai yang popular. Namun semalam kedai tersebut tutup dan saya beralih ke gerai yang tidak popular. Gerai tersebut diusahakan oleh seorang wanita yang sudah agak berumur namun masih gigih mencari pendapatan harian. Meskipun seorang diri, dia tetap kelihatan bersemangat.

Harga air kelapanya adalah sama dengan kedai yang popular, ia menjadikan saya berfikir bahawa harga air kelapa disekitar ini adalah rasional dan tidak disebut sebagai "cekik darah". Saya memesan 3 biji air kelapa tanpa ais dan gula.

Ayah saya pula agak peramah orangnya mula membuka bicara menanyakan tentang dari manakah dia dapat bekalan buah kelapa? Jawabnya dari Perak sambil menyambung bahawa pembelian kelapa muda adalah terhad. Saya terfikir sekiranya pembekal tersebut jujur, maka pembekal tersebut telah melakukan kerja yang boleh saya katakan mulia kerana budaya kapitalis semakin menjadi-jadi dalam pengamatan saya.

Ayah saya bertanya lagi, adakah kuih digerai ini dibuat sendiri? Wanita itu menjawab, ya. Ayah saya berseloroh, kalau ambil dengan orang lain kena jual mahal pula ya. Sambil dia memotong kelapa, dia sempat mempromosikan cekodoknya yang sedang digoreng. Wajah dia tampak ceria. Ceria berbanding mereka yang duduk diatas kerusi empuk bertemankan penghawa dingin, selesa pada fizikal namun tertekan dari segi mental.

Walaupun saya sudah tahu jumlah keseluruhan jumlah harga pesanan saya, saya tetap bertanya berapa jumlah semua sekali? Wanita itu menjawab RM13 sahaja. Sepatutnya harga adalah RM13.50 untuk 3 biji kelapa muda. Sekali lagi saya berasa takjub dan terharu. Sudahlah gigih mengusahakan gerai kecilnya, sempat lagi dia bersifat pemurah dalam transaksi jualannya.

Kesimpulan daripada apa yang dapat saya ceritakan, disamping membantu kewangan peniaga kecil, kita juga digalakkan membantu mempositifkan moral mereka. Seperti yang dilakukan oleh ayah saya, beliau menyantuni peniaga dengan soalan yang biasa walau dianggap "cliche" bagi sebahagian golongan senang. Berkomunikasi bagi mereka yang dibawah tekanan hidup adalah suatu perkara yang amat berharga, menghidupkan impian, membakar semangat juang dan memberi keceriaan dalam melangsungkan kehidupan.

Akhir sekali saya mengajak para penjawat sektor awam, supaya santunilah peniaga kecil, minimumkanlah pembelian diatas talian bagi item seperti makanan dan minuman. Kitalah antara penggerak ekonomi negara, pemangkin kesenangan rakyat, dan pemacu keselesaan generasi.


[Legasi Pemikir - LEKIR]


Comments