OLEH: Taufiq Tuah
gambar via NST
Begitulah admin terbaca sebuah ciapan yang bertanya, berkata seolah-olah Hang Tuah tidak layak dianGkat di persada dunia. Kononnya kerana Hang Tuah bersifat feudal.
Maka di sini sanggahannya,
1. Melayu memangnya Feudal. Tiada aibnya tentang fakta itu. Melayu memang setia kepada raja. Itulah bezanya tamadun Melayu dengan tamadun lain yang porak peranda dek revolusi sana dan revolusi sini lalu menyebabkan perang saudara yang berpanjangan. Bukan nak nafikan Melayu ada perang saudara tetapi nak bagitau betapa orang awam yang tiba-tiba bangkit menentang raja sebenarnya satu yang buruk di mata masyarakat Melayu.
2. Hang Tuah layak dikehadapankan di persada dunia. Tanpa mengira apa pun namanya dikalangan sejarawan, masih tidak dapat menyangkal bahawa tokoh inilah yang menjadi duta kepada Kerajaan Lama Melaka. Dahulu, dunia telahpun mengenali Hang Tuah. Maka kita memperkenalkan Hang Tuah lagi sekali di persada dunia yang sama pada generasi yang berbeza.
3. Saya yakin rakyat Malaysia bukan hanya kenal Hang Tuah tanpa mengenal tokoh-tokoh lain. Rakyat Malaysia bukan tidak celik dengan identiti bangsa. Namun perlu ditekankan bahawa nilai yang terdapat pada 'story line' Hang Tuah yang sangat jelas dengan budaya Melayu umumnya. Ketika zaman itu, era Melayu sudahpun ada sistem pemerintahan yang sistematik, zaman yang sama pelabuhan kita sangat terkenal, zaman yang sama Melayu sudahpun ada tanjak dan samping yang diketahui sebagai pakaian tradisional Melayu. Tidak lupa juga zaman itulah Melaka menjadi pusat penyebaran Islam. Garis masa zaman Hang Tuah ialah garis masa yang ideal untuk diketengahkan ke mata dunia.
4. Ketika ada yang fobia dengan feudalnya Hang Tuah, lalu mereka suka mengetengahkan Hang Jebat kerana berani melawan sultan ketika itu. Apa cara kalian mengetengahkan Hang Jebat? Akhirnya kalian jugalah yang meletakkan nama Hang Jebat, sebaris dengan istilah 'derhaka'. Satu istilah negatif. Maka terlaung lah 'Jebat Derhaka' menjadi banggaan. Sepatutnya kita jadikan pengajaran.
5. Hang Jebat juga taat pada sultannya. Hanya kerana sayangnya kepada Hang Tuah yang membuat dia bertindak luar kewarasan. Ini ialah husnuzon admin walaupun seluruh 'darkside' Hang Jebat ada dirakamkan di dalam Sulalatus Salatin. Bila kita fikirkan kembali, adakah Hang Jebat akan mengamuk jika sultan tidak perintah membunuh Hang Tuah? Secara logiknya tidak. Tidak ada dendam lain Hang Jebat terhadap sultan.
6. Maka mengkehadapankan Hang Tuah ialah satu keputusan yang ideal. Jika kita ingin kehadapan kan tokoh lain juga, dipersilakan. Alangkah indah jika ramai tokoh kita yang dikenali dunia. Bosan juga jika dunia global menyebutkan tokoh, hanya berputar sekeliling Gandhi, Martin Luther, Abraham Lincoln dan Sun Tzu. Suatu hari nanti saya ingin lihat nama-nama seperti Hang Tuah, Datuk Maharaja Lela, Dato' Onn Jaafar atau sesiapa sahaja orang kita juga menjadi bual mulut positif masyarakat dunia.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment