Taknak Terima Parameswara Berbangsa Melayu?

 OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin


Masih juga ada yang enggan menerima bahawa Parameswara itu bangsanya Melayu, agamanya Hindu. Kan pernah saya tulis dahulu, kalau nak lihat wajah Melayu beragama Hindu, terbang saja ke Bali dan saksikan sendiri. Di sana hampir 90% penduduknya beragama Hindu. Anda boleh bertemu dengan Vishnu, Ganesha, Parameswari, Parameswara, Shiva, Widya, Santi dan macam-macam lagi. Ia digabungkan dengan nama tradisional budaya mereka seperti Gede, Ketut, Nyoman, Gusti, Anak Agung dan seumpamanya berdasarkan kasta mereka.

Itu belum nama-nama berunsur Hindu-Buddha dalam sejarah rantau Asia Tenggara dalam bahasa Sanskrit seperti Jayavarman, Suryavarman, Adityavarman, Udayadityavarman dan Rajasanagara. Nama-nama ini bertaburan di sekitar Jawa, Burma dan Kemboja. Mereka adalah etnik di tempat masing-masing tetap berfahaman Hindu-Buddha, dengan penerimaan unsur Sanskrit dalam upacara keagamaan dan sistem sosiopolitiknya. Dari situlah juga munculnya konsep seperti Devaraja, Brahma, dan Mandala yang bunyinya bukan keMelayuan tetapi lebih keIndiaan kerana pengaruh Sanskritnya.

Dalam konteks zaman sekarang, pengaruh Sanskrit digantikan oleh pengaruh Arab. Tetapi orang Melayu bukan orang Arab, mereka menerima pengaruh bahasa Arab yang merupakan bahasa kitab utama bagi agama Islam. Sebagai contoh, nama seperti Hafizah, Jamilah, Hafiz, Abdullah, Razi, Kamal itu semuanya adalah bahasa Arab bukan bahasa Melayu. Nama lama orang Melayu ada juga dari perkataan Melayu seperti Awang, Panjang, Bulat, Putih, Mawar dan Kenanga. Ia tidak menukar bangsa mereka, tetapi nama berevolusi mengikut zaman agama dan latar fahaman mereka.

Memang rantau ini mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang kuat dan berpanjangan tetapi mereka adalah Melayu yang berasal daripada kepulauan ini, Kepulauan Melayu. 

Jangan dikorek lagi, nanti ceritanya jadi lebih panjang. Sejarah manusia adalah sejarah evolusi (bukan Darwinisme!).



[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments