Wajarkah Menolak Kewujudan Hang Tuah?

 OLEH: Saufy Jauhary




Wajarkah menolak kewujudan Hang Tuah hanya kerana nama Hang Tuah ada disebutkan di dalam Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah tetapi tidak disebutkan dalam catatan Portugis dan China? Kalau diterima pendapat seperti ini bermakna bukan sahaja nama Hang Tuah, bahkan nama pembesar-pembesar Melaka yang lain di dalam Sulalatus Salatin pun perlu ditolak juga seperti Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu, Tun Perak, Tun Mutahir, Laksamana Khoja Hassan, Hang Nadim, Tun Hassan Temenggung dan lain-lain.


Bukan sahaja nama para pembesar, bahkan nama sultan-sultan Melaka juga patut dipertikaikan namanya bahkan kewujudannya. Masakan tidak, dalam catatan Portugis tidak disebutkan nama Sultan Melaka dengan betul. Sekadar disebutkan dengan pelat Portugis iaitu Paramjcura, Xaquem Darxa, Modafarxa, Mamsursa, Alaoadin dan Mafamut.


Setelah membuat rujukan terhadap Sulalatus Salatin barulah kita dapat mengetahui sebutan nama sultan-sultan di atas dengan tepat dan lengkap iaitu Parameswara/Permaisura, Megat Iskandar Syah, Muzaffar Syah, Mansur Syah, Ala'uddin Riayat Syah dan Mahmud Syah. Jika tidak dirujuk dengan Sulalatus Salatin maka hari ini pasti kita akan menyebut nama-nama Sultan Melaka dengan pelat Portugis, kerana tiada catatan Melayu yang lain boleh dirujuk.


Begitu juga dengan catatan China yang menyebutkan nama-nama Sultan Melaka dengan pelat China iaitu Pai-li-mi-su-la, Mu-kan-sa-yu-ti-er-sha dan Hsi-li-ma-ha-la-che. Sekali lagi terpaksa diselak Sulalatus Salatin, barulah dapat meneka nama mereka itu yang sebenar iaitu Permaisura/Parameswara, Megat Iskandar Syah, dan Seri Maharaja.


Persoalannya, berdasarkan logik mereka, kalau boleh ditolak nama Hang Tuah dan kewujudannya, mengapa tidak ditolak juga kewujudan Sultan-sultan Melaka tersebut? Mengapa diambil juga dari Sulalatus Salatin? Bukankah bagi mereka yang menolak kewujudan Hang Tuah menganggap Sulalatus Salatin hanyalah hikayat dongeng semata-mata? Tolak sekali semua nama-nama pembesar Melaka yang lain. Biar kita tak tahu nama-nama pembesar Melaka walau seorang pun. Itu semua dongeng Sulalatus Salatin. Biar kita pakai catatan Portugis dan China sahaja!


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments