Warkah & Sejarah : Raja Perlis kepada High Commissioner Negri-Negri Melayu – 1912.

 OLEH: Izmal Karim dan Saufy Jauhary




Deskrispi:
Terima Kasih dengan transliterasi Jawi lama kepada Roman Melayu oleh Fb Tuan Saufy Jauhary

Cap Mohor :
Alwi Ibni Saffi Jamalullail Raja Perlis
Al-Muhaq
Bahawa inilah Sahifat al-Ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang terbit daripada hati yang putih lagi hening jernih yang tiada menaruh syak dan waham di dalamnya dipersertakan pulak dengan beberapa kasih sayang yang tiada berkeputusan dan berkesudahan selagi ada peredaran cakerawala matahari dan bulan iaitu daripada beta, Sayyid Alwi ibni al-marhum Tuan Sayyid Saffi, Raja Perlis mudah-mudahan barang diwasilkan olehnya Tuhan Seru Sekalian Alam.

Apalah jua kiranya kehadapan manjelis sahabat beta Tuan Yang Terutama Sir Arthur Young K.C.M.G, Gabenor yang memerintah tiga buah negeri iaitu Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, High Commissioner bagi negeri-negeri Melayu yang bersekutu yang ada pada masa ini memegang pekerjaan di dalam bandar negeri Singapura dengan kesejahteraannya.

Waba'dahu kemudian daripada itu ehwal beta bermaklumkan adalah Tuan H.C. Eckhardt, ganti penasihat pada kerajaan Perlis ada beritahu pada beta mengatakan ia telah pinta cuti hendak pergi di dalam bulan Mac tahun 1913 ini. Oleh yang demikian itulah beta harap pinta sahabat beta antar (sic: hantar) satu orang lain yang patut digantikan penasihat pada kerajaan Perlis ini. Tiadalah yang lain lagi hanya berbanyak-banyak tabik beta akan sahabat beta adanya.

Termaktub dikarang pada 19 hari bulan Zulkaedah 1330. Tamat.
Antara koleksi warkah Raja-raja Melayu yang amat jarang di temui dan boleh di baca tetapi di simpan dengan baik sebagai rujukan serta kajian di Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Rujukan :
File HCO No Kedah 1383/1912 – OFA, Arkib Negara Malaysia.

[Legasi Pemikir - LEKIR]


Comments