Warkah & Sejarah : Tapak Pembinaan Hospital Kota Bharu– 20 Mar 1913

 OLEH: Izmal Karim dan Saufy Jauhary



Deskripsi :

Transliterasi dari jawi lama kepada rumi melayu oleh Fb Tuan Saufy Jauhary 

Nur al-Syams wa al-Qamar

Bahawa inilah warkah al-ikhlasiah wa tuhfat al-zakiyyah yang terbit daripada hati yang hening dan jernih yang tiada menaruh syak dan waham selagi ada peredaran cakerawala matahari dan bulan iaitu daripada beta al-Sultan Muhammad yang keempat K.C.M.G, yang memerintah negeri Kelantan mudah-mudahan barang ditaslimkan Tuhan Seru Alam sekalian jua kiranya kehadapan majlis Seri Paduka sahabat beta Yang Berhormat Sir Arthur Young K.C.M.G, Gabernor Negeri-negeri Selat dan High Commissioner bagi Negeri-negeri Melayu yang ada dengan beberapa kesejahteraannya.

Waba'dahu daripada itu adalah beta maklumkan ke majlis Seri Paduka sahabat beta darihal Yang Mulia Tengku Wok binti al-Marhum al-Sultan Muhammad Kelantan telah beberapa kali merayu hal beta citakan kepada beta dengan sangat berat harapannya pada beta supaya beta menambangkan rates rayu halnya itu iaitu sebuah kawasan tanah padanya yang ada dalam daerah Padang Garong, Kota Bharu.

Maka tanahnya itu kerajaan telah mengambil bagi guna membuat rumah-rumah hospital kerajaan dengan harga yang ditaksir oleh Office Tanah, rates tanah itu $1389 yang akan dibayar kepadanya. Maka di atas taksir yang diperhargakan sebanyak $1389 itu, Tengku Wok usahkan daripada menerimanya karena tiada berpatutan dengan harga yang tersebut itu.

Maka hal ini beta pun telah berkira dengan Tuan Bishop rates bayaran beberapa harga tanahnya itu tetapi Tuan Bishop tiada boleh selebihkan bagaimana yang telah ditaksir oleh Office Tanah sebanyak $1389 itu.

Syahdan hal yang berkenaan dengan perkara yang tersebut ini oleh sebab Tengku Wok itu sangat berat harapannya kepada beta, jadi beta pun meneruskan hal ini kepada Seri Paduka sahabat beta supaya Seri Paduka sahabat beta menambangkan bersama-sama beta karena harga yang ditaksirkan oleh Office Tanah itu tiada sampai separuh daripada harga yang telah diminta oleh orang-orang ramai daripada Tengku Wok dengan tawaran $3000, tetapi Tengku Wok tiada mahu menjual karena harga tanah itu  ada berlebih mahu lagi daripada $3000 itu ialah kalau difikirkan dengan pendapatan padi hasil yang dapat kepada Tengku Wok daripada tanah itu pada tiap-tiap tahun $360.

Di dalam hal yang demikian beta pun menghalusi lagi telah menyuruh orang-orang yang mengetahui di dalam perkara mentaksir tanah bagi mentaksirkan harga tanah itu. Maka di atas taksir orang-orang ramai berpatutanlah dengan harga $3000, ialah harga yang patut pada masa ini. Maka pada fikiran beta, patutlah dibayarkan mengikut seperti tawaran orang-orang ramai sebanyak harga $3000. Demikianlah beta maklumkan serta diiringi dengan tabik jua adanya. Tamat.

Tertulis di Balai Seri Kerajaan Kelantan,

Pada 12 Rabiul Akhir 1331 bersamaan 20 Mac 1913.

Rujukan:

Arkib Negara Malaysia.



[Legasi Pemikir - LEKIR]


Comments