OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Ketika pandemik menyurut, Arab Saudi menggemparkan kita dengan konsert hiburan besar-besaran, Musim Riyadh 2021. Syabas kepada yang membenci dan mengingkarinya, kerana itu tanda hati yang masih hidup. Tidak perlu menyindir Malaysia yang lebih teruk sejak azali kerana jazīrah Arab tidak terbanding dengan Malaysia dari sudut mana sekalipun, dan perkembangan itu menunjukkan pembaratan dan liberalisasi hampir berjaya menawan kubu terkuat yang kita miliki. Jika benteng sekukuh itu pun boleh runtuh, bayangkan kesannya kepada umat Islam di seluruh dunia. Ini yang kita takuti.
Pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah respons umat Islam dan ulama di sana? Kenapa mereka tidak membantah? Sebenarnya, mereka seperti kita. Yang fasiq akan menyukai, menyokong, dan menyertainya. Yang soleh akan membenci, mengingkari, dan menjauhinya; dan kebencian mereka terhadap kemungkaran itu lebih kuat, kerana berbanding kita, mereka lebih tegas dalam beragama. Cuma, disebabkan sistem politik dan manhaj agama di sana berbeza, sementara yang melakukan kerosakan itu adalah golongan diraja dan istana sendiri, pengingkaran terpaksa dibuat secara tertutup, atau terang-terangan tetapi halus dan berhati-hati.
Di sana ada jabatan khas untuk membantah kemungkaran, Lembaga Amar Makruf Nahi Mungkar namanya yang ditubuhkan pada tahun 1940, jauh lebih tua berbanding Lembaga Am Hiburan yang ditubuhkan pada tahun 2016. Ketika Musim Riyadh 2021 bermula, mereka mengadakan muktamar membentangkan kajian-kajian berkaitan amar makruf nahi mungkar. Antara tajuknya, “Garis Panduan Mengingkari dan Menasihati Pemimpin” dan “Mengambil Kira Implikasi dalam Amar Makruf Nahi Mungkar.” Ini antara bukti bahawa ulama-ulama mereka cakna tentang tugas masing-masing, cuma tidak berupaya menahan arus pembaratan dan liberalisasi yang sangat kuat.
Seperkara yang perlu difahami, pembaratan dunia Islam sudah lama berjaya, dan Arab Saudi sebenarnya terjebak sama – walaupun agak lewat berbanding negara lain – pada era 60 hingga 70-an. Televisyen dan radio yang menyiarkan hiburan diperkenalkan pada masa itu, dan wanita melancong ke luar negara serta bekerja sebagai jururawat dan pramugari yang tidak berhijab. Proses pembaratan bertukar perlahan pada era 80-an, zaman Raja Fahd dan Syeikh ‘Abd al-‘Azīz b. Bāz yang menyaksikan dakwah dan amar makruf nahi mungkar bergerak aktif dengan kerjasama pemerintah, ulama, dan masyarakat umum.
Walau bagaimanapun, keadaan yang baik itu tidak bertahan lama. Perkembangan pesat dunia teknologi memudahkan dakyah-dakyah fāsid dan fasiq menghasut rakyat Arab Saudi untuk meninggalkan syariat. Melalui drama Mesir yang ditonton di televisyen, mereka tertarik dengan kehidupan masyarakat Islam di tempat lain yang dilihat mudah dan menyeronokkan. Mereka ke United Kingdom untuk belajar, lalu terpikat dengan gaya hidup penduduknya yang maju tanpa terikat dengan hukum-hakam agama. Mereka tidak faham, kenapa mereka boleh makan bersama perempuan di luar negara, tetapi terpaksa makan berasingan dan dipisahkan oleh pengadang di negara sendiri? Mereka hairan, kenapa fatwa-fatwa ulama di tempat lain lebih mudah dan terbuka, tetapi ulama mereka sampai nasyid pun dilarang semata-mata kerana bermuzik?
Meskipun pendidikan agama di sana sangat tersusun, dengan tarbiah pemisahan antara jantina sejak sekolah rendah, dan ulama-ulama cergas berdakwah dan menyampaikan ilmu, namun hasutan-hasutan itu berjaya masuk melalui saluran-saluran tadi. Tidak pelik kalau ada lelaki dan wanita Saudi yang berjanggut lebat dan tertutup litup di luar, tetapi hatinya membenci syariat dan menyukai maksiat. Bagi mereka, Arab Saudi terlalu dikuasai ulama, dan hidup di sana ketat dan membosankan seperti di penjara. Mereka ternanti-nanti waktu untuk bebas dan bersuka ria. Datang Musim Riyadh, apa lagi, dinikmatinya seperti air yang dijumpai pengembara di tengah padang pasir.
Menghadapi perkembangan ini, kita sebagai umat Islam wajib mengingkari kemungkaran sekadar termampu. Elakkan menghebohkan kemungkaran sehingga tanpa sedar menormalisasikan dan mempromosikannya kepada masyarakat. Usah terlalu mengikuti berita-berita yang tidak elok, baik tentang Arab Saudi, artis Malaysia, atau siapa sahaja kerana kemungkaran memang berterusan sampai kiamat. Sibukkan diri dengan ilmu, ibadah, dan dakwah. Sama-sama kita perkukuhkan Islam dalam diri, keluarga, dan masyarakat kita sehingga mencapai reda Allah taala.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment